Lama tak bersiaran nampaknya. Sejak sebelum Tahun Baru Cina lagi, memang rasa macam tak de mood nak menulis. Kebanyakkan masa terluang yang seciput tu digunakan untuk bereksperimen kuih-kuih yang mudah dibuat tapi susah sangat nak jadi. Tahun Baru Cina kali ni saya dapati dah banyak usahawan yang menjual kerepek ngaku. Tahun lepas macam tak nampak pulak. Setiap balang kerepek ngaku yang saya nampak, semuanya dikeluarkan oleh usahawan cina. Memang la Tahun Baru Cina untuk cina, tapi apa salahnya kita menumpang kuih-kuih kita. Sedangkan Hari Raya Aidilfitri pun ramai usahawan cina menjual kuih raya. Siap ada gambar masjid lagi kat labelnya. Anak saya kata kerepek ngaku ni rasa macam susu krim Purnama. Maksudnya rasa kerepek ngaku ni lemak macam susu pekat manis jenama Purnama. Memang kerepek ni lemak dan yang istimewanya, kerangupannya lebih kepada keropok dan bukan kerepek. Cuba la buat. Mesti tak nyesal punya. Harap tahun depan, ada usahawan melayu yang mengusahakan kerepek ngaku ni. Bukan susah nak buat. Macam kerepek-kerepek yang lain je.




Bahan-bahan untuk Kerepek Ngaku
2 kg Ngaku
2 L Minyak Masak

Cara membuat Kerepek Ngaku
  1. Ngaku di buang kulitnya, dicuci dan dituskan.
  2. Panaskan minyak dengan api sederhana sehingga 230˚C.
  3. Ngaku dihiris nipis atau gunakan alat seperti slicer untuk memudahkan kerja.
  4. Gorengkan ngaku dalam minyak panas sehingga kuning keemasan dan garing. Sentiasa di kacau agar ia masak dengan rata.
  5. Angkat dan tuskan minyaknya.
  6. Ngaku boleh disimpan dalam balang kedap udara untuk mengekalkan  kerangupannya.



Tip Masakan Komersial
  1. Ngaku berbentuk seperti bawang putih dan isinya menyerupai sengkuang. Kulitnya kekuningan dan coklat. Isinya berwarna putih. Ngaku banyak dijual di pasaraya besar seperti Giant dan Tesco. Setakat ni saya tak pernah jumpa ngaku di pasar-pasar biasa. Dalam bahasa inggeris, ngaku dipanggil arrowhead atau arrowroot.
  2. Menjelang perayaan kaum cina, ngaku banyak dijual dipasaraya. Kadang-kadang baru saya jumpa ngaku dijual pada hari biasa. Pokok ngaku banyak tumbuh di bahagian utara China hingga ke Rusia. Mungkin ini sebabnya ngaku tak banyak dijual pada hari biasa. Permintaan kebanyakkannya dari kaum Cina terutama musim perayaan.
  3. Sebenarnya dah bertahun-tahun kerepek ngaku berasa dipasaran. Tapi masih belum dikenali dikalangan masyarakat Melayu. Bila tengok label balang semuanya bertulis cina dengan warna terang, memang tak berani kita nak pegang. Mungkin suatu hari nanti ada usahawan Melayu berminat menjual kerepek ini kerana ia sangat berpotensi seperti kerepek-kerepek yang lain. 
  4. Harga ngaku tak de la mahal sangat. Lebih kurang harga ubi kayu dan keledek juga. Ngaku yang kecil mungkin menyukarkan kerja-kerja mengupas kulit tapi tetap akan memberikan keuntungan dalam perniagaan.
  5. Apabila menggunakan slicer untuk menghiris ngaku, hirislah dari tepi. Jika hiris dari atas ke bawah, anda mungkin mendapat bentuk kerepek yang bulat dan besar tetapi ngaku akan mudah patah sewaktu digoreng. Jika dihiris dari tepi, kerepek ngaku akan berbentuk lonjong tetapi ia lebih selamat.
  6. Ngaku yang digoreng, perlu sentiasa dikacau agar masaknya sekata. Jika minyak terlalu panas, ngaku akan mudah hangus dan warnanya juga tidak sekata. Bahagian tepi ngaku sangat mudah hangus. Oleh itu, lebih baik menggoreng dengan api sederhana untuk warna yang cantik tetapi ia memerlukan masa menggoreng yang lama.
  7. Kerangupan ngaku memang istimewa. Ia mudah rangup walau digoreng bagaimanapun caranya. Kandungan kanji yang tinggi dalam ngaku, menjadikan ia rangup seperti keropok. Jika anda suka makan kerepek kentang seperti pringles, mr potato dan sebagainya, mesti anda suka kerepek ngaku. Kalau diperasakan seperti kerepek kentang dengan perasa bbq, kari atau keju, tentu ia jadi lebih menarik.
  8. Saya tak menggunakan garam dalam kerepek ngaku. Bagi saya rasanya dah cukup sedap. Jika anda inginkan garam, anda boleh larutkan 1 cmb garam dalam 1 cwn air. Apabila menggoreng, masukkan ngaku dalam minyak panas, kemudian terus masukkan 1 sudu makan larutan garam. Goreng seperti biasa sehingga garing.
  9. Jangan goreng kerepek ngaku terlalu banyak dalam satu-satu masa. Untuk 2 L minyak masak, gorenglah 2 atau 3 biji sekali. Ini membolehkan kerepek ngaku lebih cepat garing dan lebih sekata.
  10. Ngaku mempunyai rasa seperti kentang apabila dibakar. Ia juga sesuai dibuat sup. Suatu masa dahulu, masakan cina lebih tertumpu kepada cara ini. Kini mereka juga menggemari ngaku yang digoreng dengan minyak banyak seperti kaum melayu.