Resepi Kerabu Betik Muda
Posted by Norasikin Basri on Friday, December 10, 2010
Under: Sembang-sembang dan tip masakan

Resepi kerabu betik ini adalah hidangan pembuka selera dari kategori masakan Thai. Saya juga mendapati kerabu betik ini benar-benar membuka selera saya sebelum menikmati hidangan utama makan tengah hari. Rasanya yang manis, masam dan masin ini amat sesuai dihidangkan di majlis-majlis kenduri kerana rupanya yang cantik, mudah dibuat dan dipelbagaikan serta kosnya yang sangat murah. Cubalah resepi dibawah ini dan berikan kelainan dalam hidangan anda.

Bahan-bahan Kerabu Betik
3 cawan betik muda yang diracik halus
5 tangkai cili padi
2 ulas bawang merah
1 cmt udang kering
3 cmb jus limau nipis
1 cmt gula
1/2 cmt garam
1 cmt sos ikan
Cara membuat Kerabu Betik
- Pilih betik yang hampir masak dimana warna isinya mulai kemerahan dan masih keras. Racik halus menggunakan parut keju. Jadikan ia sebesar batang mancis dengan panjang kira-kira setengah jengkal.
- Cili padi dan bawang putih dihiris nipis.
- Udang kering di rendam dalam air dan ditumbuk kasar setelah dituskan.
- Masukkan bahan semua cecair dalam mangkuk. Kacau sehingga semuanya larut. Pastikan rasanya seimbang. Ubahsuai kuantiti garam gan gula jika perlu.
- Masukkan semua bahan yang lain dan gaul sambil diramas-ramas lembut supaya perasanya meresap dalam betik.
- Simpan dalam peti sejuk sebelum dihidangkan. Hidangan ini sesuai dihidangkan sejuk.

Tip Masakan Berguna
- Jika anda perhatikan gambar kerabu yang saya buat, anda akan dapati saya menggunakan sedikit bunga kantan untuk memberikan bau dan rasa yang lebih menarik kepada kerabu saya. Masakan Thai banyak menggunakan tumbuh-tumbuhan yang wangi dalam hidangannya seperti serai, daun limau purut, daun ketumbar dan sebagainya. Racik halus bahan-bahan ini untuk memberikan kelainan dalam kerabu anda.
- Satu lagi ciri masakan Thai yang ketara ialah penggunaan sos ikan. Saya tak menggunakan bahan ini kerana saya hanya makan bahan-bahan yang asli yang saya buat sendiri sahaja. Jika dapat dielakkan, saya akan elakkan penggunaan bahan seperti ini.
- Saya juga menggunakan jus limau nipis kerana saya suka baunya yang wangi sayangnya jus limau kasturi kurang masam. Jadi anda memerlukan lebih jus limau kasturi berbanding limau nipis. Anda juga boleh menggunakan cuka menggantikan jus limau. Menggunakan cuka boleh menjadikan kerabu betik anda tahan lebih lama didalam peti ais. Betiknya juga akan lebih rangup.
- Cuba juga menggunakan mangga muda menggantikan betik. Selagi rasa masam, manis dan masinnya seimbang, hidangan ini pasti menyelerakan.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: "pembuka selera" resepi percuma kerabu betik muda masakan thai hidangan kenduri pengantin
blog comments powered by Disqus



