Suatu ketika dahulu, saya pernah memaparkan resepi Kek Mentega Lemon dalam blog ini. Kali ini masih lagi menggunakan resepi Kek Mentega Lemon yang sama namun saya telah baiki sedikit resepi dan kaedahnya untuk hasil yang lebih baik. Kalau dulu, saya hanya menggunakan hand mixer tapi kali ini saya menggunakan stand mixer yang lebih berkuasa dan lebih stabil hasilnya. Paling ketara adalah ketika memukul telur dan ketika memasukkan tepung. Memandangkan zaman sekarang semuanya nak mudah, nak cepat dengan menggunakan peralatan yang terkini, jadi saya rasa kaedah ini lebih baik. Tiada lagi masalah kek lekuk ditengah, tak masak dalam atau tak cukup naik. Namun semua yang anda akan baca hanya berguna apabila anda mencuba berulang kali. Kalau setakat baca sahaja, anda akan dapati resepi ini sama sahaja dengan resepi-resepi yang lain.




Bahan-bahan untuk Kek Mentega Lemon
250g Mentega
240g Tepung Naik Sendiri
10g Tepung Jagung
250g Telur B (5 bj)
250g Gula Castor
2 cmt Lemon Paste
1 bj Lemon 



Cara membuat Kek Mentega Lemon
  1. Panaskan oven 150°C tanpa turbo fan dan lenser acuan bulat 9” dengan mentega dan Alaskan bawahnya dengan kertas minyak.
  2. Pukul mentega dan gula castor dengan kelajuan paling tinggi sehingga kembang.
  3. Sementara itu, dapatkan 1 cmb parutan kulit lemon dan 1 cmb jus lemon dari lemon tadi.
  4. Ayak tepung naik sendiri dan tepung jagung bersama.
  5. Setelah adunan kembang, masukkan telur sebiji demi sebiji sehingga habis semuanya.
  6. Masukkan lemon paste, jus lemon dan parutan kulit lemon. Pukul sebentar sahaja lagi sekadar untuk meratakan adunan.
  7. Perlahankan kelajuan mixer kepada yang paling rendah. 
  8. Masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit sehingga habis dan hentikan mixer.
  9. Kaub balik adunan untuk meratakan tepung yang tidak bercampur terutama dibahagian tepinya.
  10. Masukkan dalam acuan dan bakar selama 45 minit hingga 1 jam atau sehingga masak.



Tip Masakan Berguna
  1. Saya menggunakan stand mixer yang murah jadi memang banyak kelemahannya. Bukan kitchen aid atau kenwood. Harganya hanya RM450. Beberapa kali terpaksa memberhentikan mixer untuk mengaup bahagian tepi mangkuk adunan yang tak terkena pukulan. Jadi tip dibawah ini mungkin disebabkan kekurangan pada mixer saya namun ia sangat berguna untuk saya.
  2. Anda perlu dapat membezakan warna mentega yang belun dipukul dan warna mentega setelah kembang dipukul. Biasanya warna mentega yang belum dipukul lebih kuning. Setelah dipukul, ia akan menjadi lebih cerah dan berkrim. 
  3. Saya menggunakan gula castor kerana ia lebih cepat larut. Biasanya apabila gula castor hampir larut semuanya, mentega yang dipukul pun cukup kembangnya. Jadi 2 perkara yang perlu tahu sewaktu memukul mentega dan gula castor adalah warna mentega dan keadaan gula castor sama ada dah larut atau belum. Apabila tiada lagi butiran gula castor, kemungkinan besar anda dah terlebih pukul.
  4. Apabila telur dimasukkan sebiji demi sebiji, adunan akan menjadi cair kerana telur adalah cecair. Kemudian apabila telur kembang, ia akan menjadi pekat semula. Jika anda terus memukul, adunan akan menjadi cair semula dan ini dikatakan terlebih pukul juga. Jadi sebaik sahaja adunan menjadi pekat, barulah dimasukkan sebiji lagi telur. 
  5. Untuk tepung pula, berlainan dengan cara memasukkan telur. Saya masukkan tepung sesudu demi sesudu sehinggalah habis tanpa henti. Sebaik habis sahaja semua tepung, saya terus hentikan mixer. Tepung menyebabkan udara yang terperangkap dalam adunan terbebas. Lagi lama adunan dipukul, lagi banyak udara terbebas.  Jadi kek akan menjadi mampat. 
  6. Selebihnya setelah dimasukkan semua bahan, cuba gunakan spatula sahaja dengan kaedah kaup balik. Tak perlu lama-lama. Asalkan sudah bercampur rata, itu sudah memadai.
  7. Tepung jagung yang saya tambahkan dalam resepi ini memberikan tekstur yang saya gemari pada kek mentega. Pertama, walaupun kek masih berderai macam kek mentega biasa, namun, deraiannya lebih halus. Kedua, Tanpa tepung jagung, saya dapati kek mentega lebih berminyak. Kemudian apabila disimpan lama, minyak ini akan mendak kebawah menjadikan bahagian atasnya kering sedangkan bawahnya sangat berminyak. Ketiga, Kek mentega dengan tepung jagung menjadikan rasanya kurang muak. Selalunya apabila saya makan kek mentega, saya memerlukan air yang banyak kerana kek mentega menjadikan saya sangat haus dan mungkin boleh tercekik kalau makan banyak. Dengan tepung jagung, saya boleh makan banyak tanpa air.
  8. Badam diatas tu hanya hiasan.