Saya mengaku, kek tradisional seperti kek mentega ini memang terasa sukar bagi saya. Sewaktu zaman kanak-kanak dahulu, kek inilah yang selalu saya jumpa. Masa itu, tiada lagi bahan-bahan kek yang membantu menjadikan kek gebu dan lembut. Kek segera pun tiada. Yang ada hanya bahan-bahan asas yang biasa. Faktor utama yang menyebabkan kek mentega saya rasa sukar adalah fungsi oven zaman sekarang yang semakin canggih. Saya berpendapat, resepi kek zaman dahulu amat sesuai dengan oven zaman dahulu juga. Namun, mana nak cari lagi oven macam yang mak saya pakai dulu. Berkali-kali saya mencuba menyesuaikan oven Europa Jetcook saya ni dengan resepi kek tradisional namun tak berjaya. Kalau suhu tinggi, keknya hangus sedangkan dalamnya masih mentah. Kalau suhu rendah, keknya jadi padat. Kalau matikan fungsi turbo fan pula, keknya jadi kering. 


Akhirnya, inilah kaedah yang saya rasakan paling sesuai untuk resepi kek mentega zaman dahulu menggunakan oven zaman sekarang dan saya sangat gembira. Untuk kek mentega dibawah, saya masih mengekalkan resepi tradisional iaitu Kek Mentega Lemon. Sebelum ini, dalam Resepi Kek Marble yang menggunakan bahan yang lebih banyak dengan susu pun tak dapat menghasilkan kek sebesar ini.



240g Tepung Naik Sendiri
240g Gula Castor
240g Mentega / Majerin
4 bj Telur A
1 cmt Baking Powder
2 cmt Lemon Paste
1 cmb Parutan Kulit Lemon
1 cmb Jus Lemon



Cara membuat Kek Mentega Lemon
  1. Campur dan ayak tepung dan baking powder. Panaskan oven dengan suhu 140˚C dengan fungsi turbo fan.
  2. Dengan menggunakan mixer, pukul mentega dan gula castor sehingga kembang dengan kelajuan paling tinggi.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil dipukul sehingga kembang. Tambahkan lemon paste
  4. Gunakan kelajuan paling rendah dan masukkan tepung sedikit demi sedikit.
  5. Kaup balik parutan kulit lemon dan jus lemon menggunakan spatula hingga sebati.
  6. Masukkan dalam acuan bulat 9” yang telah dilenser dengan majerin dan dialas bawahnya dengan kertas minyak.
  7. Bakar dalam oven selama 1 – 1¼ jam atau sehingga kek masak.



Tip Masakan Komersial
  1. Tepung naik sendiri menggunakan tepung kek iaitu tepung gandum berprotin rendah. Tepung ini amat sesuai untuk kek kerana ia lebih halus dan kurang gluten. Tepung gandum biasa akan menyebabkan kek menjadi liat dan berat.
  2. Jika tiada tepung naik sendiri, boleh gunakan tepung kek dan lebihkan baking powder 1 cmt lagi. Jika ingin menggunakan tepung gandum pelbagai guna pun boleh juga. Tepung ini paling murah di pasaran dan juga tidak mengandungi protin yang terlalu tinggi.
  3. Jika menggunakan tepung pelbagai guna, jangan sekali-kali mengadun tepung dan mentega menggunakan mixer. Ia akan menyebab gluten tersimpul dan akhirnya kek menjadi keras.Gunakan spatula sahaja dengan teknik kaup balik. Jika guna tepung berprotin rendah pula, boleh menggunakan mixer tetapi dengan kelajuan paling rendah dengan masa yang paling minina.
  4. Membuat kek tradisional memang leceh sikit sebab ia tiada bantuan dari bahan-bahan kimia terkini untuk menjadikan kek cantik, gebu dan sedap. Jadi timing mesti sentiasa tepat. Terlebih pukul tak boleh, terkurang pukul lagi tak boleh. Jika menggunakan mixer elektrik, kemungkinan gula castor belum sempat larut sedangkan mentega telahpun menjadi warna cream. Jangan teruskan memukul. Ia akan larut bila telur dicampurkan.
  5. Telur dimasukkan sebiji demi sebiji untuk mengelakkan ia mendadih. Setiap kali memasukkan telur, adunan akan cair sedikit. Apabila dipukul dan telur kembang, adunan akan memekat semula. Ketika ini barulah dimasukkan telur lagi sebiji.
  6. Saya pernah membakar tanpa turbo fan, dengan turbo fan, dengan menutup bahagian atasnya untuk mengelakkannya hangus dan macam-macam lagi. Diatas ini adalah yang terbaik setakat ini jika anda menggunakan oven yang sama seperti saya. Tak perlu ditutup, hanya gunakan suhu yang rendah dengan turbo fan.
p/s: Saya dah banyak kali membuat kek mentega dan dan banyak kali putus asa dengan kek ini. Kemudian minggu depan atau bulan depan saya akan cuba lagi dengan setting oven yang berbeza akhirnya berjaya juga. Saya harap anda juga tak akan berputus asa walaupun banyak kali gagal dalam membuat sesuatu.