Saya ingat lagi sewaktu kecil, ibu sering membuat kek marble untuk acara-acara tertentu seperti kenduri, hari raya dan sebagainya. Namun waktu itu kek marble yang saya tahu hanyalah kek butter biasa dengan bahan utama iaitu tepung, majerin dan gula yang lebih kurang sama banyak. Persamaannya pula adalah warnanya yang dicampur menyerupai batu marmar. Resepi kek marble dalam artikel ini mengandungi cecair dan mempunyai beberapa kelebihan. Mungkin ada yang kurang menggemari kek marble seperti ini namun ia tetap menjadi pilihan saya. Dalam tip masakan komersial dibawah nanti saya akan terangkan mengapa saya lebih suka kek marble seperti resepi ini berbanding kek marble zaman 80an.

Bilakah kali terakhir anda menanam pokok? Anda boleh melancong percuma ke Sabah untuk menanam pokok bersama Senheng jika anda klik ayat ini sekarang!


Bahan-bahan untuk Kek Marble
380g Gula Castor
350g Majerin
6 bj Telur A
280g Tepung Gandum Pelbagai Guna
1 cwn Susu Cair
1 cmb Baking Powder
1 cmt Esen Vanila
Sedikit Pewarna atau 1 cmb Serbuk Koko


Cara Membuat Kek Marble
  1. Panaskan oven pada suhu 170˚C tanpa turbo fan dan lenserkan acuan 8” x 8” dengan sedikit majerin.
  2. Ayak tepung gandum dan baking powder.
  3. Pukul majerin dan gula dengan mixer dengan kelajuan maksimum sehingga kembang lebih kurang 10 minit.
  4. Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil terus dipukul. Seterusnya masukkan esen vanilla.
  5. Perlahankan kelajuan mixer dan masukkan tepung gandum dan susu cair secara berselang-seli beberapa kali.
  6. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut kesukaan.
  7. Tuangkan adunan setompok-setompok mengikut warna kedalam acuan. Gunakan batang sudu untuk mengacau sedikit agar warnanya bercampur membentuk marble. Ratakan permukaannya.
  8. Bakar dalam oven selama 45 hingga 1 jam. Uji dengan mencucuk bahagian tengah kek marble menggunakan lidi. Jika lidi yang dicucuk masih basah apabila dikeluarkan, tambah masa membakar lagi.


Tip Masakan Komersial
  1. Kek marble yang paling popular adalah kek marble yang berwarna kuning dan coklat kerana rasa coklat sangat digemari ramai. Untuk membuat kek marble begini, anda hanya perlu campurkan 1/3 bahagian adunan dengan 1 cmb serbuk koko. Kaup balik sehingga rata. Adunan selebihnya dibiarkan pada warna semulajadinya.
  2. Kini kek marble mempunyai berbagai warna dan rasa. Seharusnya jika anda ingin menghasilkan kek marble dengan warna yang berlainan, gunakan perisa yang sesuai dengan warnanya. Warna kuning untuk lemon, hijau untuk epal, merah untuk strawberi dan sebagainya. Ia lebih baik berbanding hanya warna tanpa perisa.
  3. Kek marble sesuai menggunakan majerin berbanding mentega kerana kuantiti lelemaknya yang digunakan adalah banyak. Sebuku mentega seberat 250g boleh menghasilkan kek yang lebih besar untuk kek lain tetapi kecil sahaja untuk kek marble. Gunakan mejarin berperisa vanila atau mentega untuk resepi ini agar lebih sedap.
  4. Telur tidak boleh dicampurkan sekaligus kedalam adunan kerana dikhuatiri akan menyebabkan adunan mendadih. Ini bermakna adunan kek anda tidak akan kelihatan berkrim dan minyak daripada majerin akan terpisah. Adunan kek begini jika dibakar akan menyebabkan kek padat dan berminyak.
  5. Untuk mencampurkkan tepung dan susu juga perlu betul caranya. Susu tidak akan bercampur dengan minyak dari majerin. Oleh itu tepung diperlukan untuk mengikat ia menjadi emulsi. Tambahkan tepung dan susu berperingkat-peringkat. Andaikan tepung dibahagikan kepada 3 bahagian dan susu kepada 2 bahagian.
  6. Adalah lebih baik mencampurkan tepung dan susu kedalam adunan menggunakan kaedah kaup balik sahaja berbanding mixer. Jika menggunakan mixer, ia perlu diperlahankan pada kelajuan paling kecil. 
  7. Anda boleh menggunakan tepung naik sendiri untuk resepi ini dan perlu mengurangkan penggunaan baking powder kepada 1 cmt. Tepung naik sendiri dibuat dari tepung rendah protin. Jadi kek yang terhasil tidak akan liat serta lebih gebu.
  8. Kek marble tanpa susu mempunyai tekstur yang lebih berat dan berderai. Manakala kek merble dalam resepi diatas lebih lembab dan tidak muak apabila dimakan. Ada juga penggemar kek marble yang kering dan berderai tetapi saya lebih suka yang ini kerana saya boleh makan banyak.
  9. Kali ni saya tak nak bincangkan masalah-masalah yang timbul dalam membuat kek marble. Setakat ini, resepi ini tidak mengecewakan saya. Belum pernah lekuk atau retak jadi saya tak dapat mengkaji penyelesaiannya.