Kek Keju Cheddar seperti ini banyak dijual di pasaraya besar seperti Giant, Jusco, Tesco dan sebagainya. Bezanya, saya tak tahu jenis keju yang mereka gunakan sama ada cheddar, cream atau lain-lain. Saya juga tak tahu berapa banyak keju yang mereka gunakan sama ada banyak, sikit atau mungkin tak menggunakan keju langsung. Kek keju cheddar ini bolehlah dikatakan senang kerana saya memerlukan 5 kali percubaan sahaja untuk mendapatkan resepi ini. Saya juga rasa, saya dah faham segala yang perlu untuk menghasilkan kek keju cheddar dan lain kali apa bila saya membuat kek keju cheddar, Insya Allah pasti jadi. Untuk anda, pembaca blog saya, saya harap anda dapat cuba kerana saya dah terangkan semua yang penting dalam resepi kek keju cheddar dibawah. Tak perlu risau kek keju tak jadi asalkan anda tak ulangi kesilapan yang saya lakukan dalam eksperimen-eksperimen saya sebelum ini.


Bahan-bahan untuk Kek Keju Cheddar (Cheddar Cheesecake)
100g Keju Cheddar
100g Susu Segar
100g Mentega Tanpa Garam
100g Gula Castor
100g Tepung Gandum
6 bj Telur A



Cara membuat Kek Keju Cheddar (Cheddar Cheesecake)
  1. Lenserkan acuan bulat diameter 9 inci dengan mentega dan Alaskan dasarnya dengan kertas minyak. Panaskan oven 150°C tanpa kipas, api atas dan bawah bersama dulang yang berisi sedikit air didalamnya.
  2. Pertama sekali anda perlu cairkan mentega dan keju didalam susu segar menggunakan double boiler. Jadi potong keju dan mentega menjadi kecil supaya lebih senang cair. Kalau boleh, gunakan pemarut.
  3. Setelah semuanya larut, keluarkan dari double boiler dan biarkan ia suam sedikit.
  4. Sementara itu, asingkan telur putih dan kuning dalam dua bekas  berbeza dan ayak tepung gandum.
  5. Pukul telur kuning dan gula castor sedikit menggunakan whisk. Tak perlu lama. Asalkan sebati sudah. 5 saat dan mencukupi.
  6. Kemudian, campurkan adunan telur kuning dan adunan keju cheddar suam sekaligus. Whisk lagi beberapa saat untuk menyatukan keduanya. 
  7. Masukkan tepung yang sudah diayak dan whisk sehingga mendapat adunan yang halus dan tidak bergentel. Ketepikan.
  8. Dalam bekas yang berasingan, pukul putih telur dengan mixer kelajuan paling tinggi untuk mendapat merang yang halus dan kental.
  9. Campurkan adunan tadi kedalam putih telur. Gunakan spatula dan kaup balik adunan sehingga semuanya sebati.
  10. Masukkan adunan kek keju cheddar dalam acuan dan letakkan diatas dulang berisi air tadi. Bakar dalam oven selama 45 minit hingga 1 jam. 
  11. Uji mencucuk lidi seperti biasa untuk memastikan kek masak sepenuhnya. Setelah masak, biarkan ia sejuk sedikit didalam oven barulah dikeluarkan dari acuannya.



Tip Masakan Komersial
  1. Adalah sangat penting menggunakan double boiler untuk memasak semua yang menggunakan keju kerana keju sangat mudah menjadi perang kecuali jika anda memang inginkan ia begitu.
  2. Apabila mencairkan keju dan mentega didalam susu, pastikan anda tidak memasaknya terlalu lama hingga menyebabkan cecairnya tersejat. Sentiasa dikacau supaya ia cepat cair dan sekata. Anda sepatutnya mendapat adunan yang cair seperti susu sejat. Jika adunan menjadi pekat, mungkin kerana anda memasak terlalu lama atau anda menggunakan keju yang dah lama dan kering. Oleh itu, apabila anda dapati dah banyak keju yang cair, jauhkan dari haba dan terus kacau sehingga semuanya cair.
  3. Anda boleh menggunakan susu sejat menggantikan susu segar. Bagaimanapun jika menggunakan susu segar sepenuhnya, kemungkinan adunan keju cair anda menjadi pekat lebih tinggi. Saya akan ceritakan kenapa adunan keju yang pekat tak baik untuk kek keju cheddar ini kemudian. Jika anda mampu mengawal adunan agar sentiasa cair, anda boleh menggunakan susu sejat sepenuhnya kerana rasa kek keju cheddar anda akan lebih sedap. Namun lebih selamat jika anda mencampurkan sedikit air dengan nisbah 60% susu sejat dan 40% air.
  4. Keju lebih tumpat dari bahan-bahan lain yang digunakan. Jadi bila dicampurkan semuanya, keju akan termendak kebawah. Itulah sebabnya anda perlu memastikan adunan keju susu dan mentega ini cair dan tak boleh pekat. Kita membakar menggunakan suhu rendah perlahan-lahan. Ini member cukup masa untuk keju mendak kebawah. Ini menyebabkan kek anda tak naik.
  5. Adunan ini tidak menggunakan sebarang bahan penaik. Kegebuan kek sepenuhnya bergantung kepada putih telur. Kegagalan mendapatkkan merang yang kental dan halus menyebabkan kek keju anda tak naik dan mampat.
  6. Tepung yang paling sesuai digunakan adalah tepung kek kerana ia halus dan rendah gluten. Bagaimanapun tepung pelbagai guna yang paling murah juga tak mengandungi gluten yang banyak. Sewaktu whisk tepung dengan adunan keju, tak perlu dikacau terlalu lama untuk mengelakkan gluten ini bersimpul. Ini untuk mengelakkan kek yang anda perolehi menjadi keras dan liat. Bagaimanapun, selagi anda menggunakan tepung gandum yang paling murah, ia tak akan menjadi masalah.
  7. Adunan keju tak boleh panas ketika memasukkan telur kuning.  Adunan yang panas menyebabkan telur kuning menjadi masak. Tak perlu saya ceritakan suhu untuk masak telur. Telur yang masak juga menyebabkan adunan keju menjadi pekat. Oleh itu, pastikan suhu adunan keju mentega dann susu telah suam atau sejuk.
  8. Adunan susu mentega dan susu akan menjadi kering permukaannya dalam proses kita menyejukkannya. Ini adalah biasa, sama seperti selaput yang terdapat dibahagian atas air panas seperti milo, teh susu, kopi susu dan sebagainya. Anda boleh mengacau adunan ini sekali sekala dalam proses menyejuk. Cara yang paling baik adalah dengan menutup permukaannya supaya kedap udara namun cara ini menyebabkan adunan terlalu lambat sejuk. Oleh itu, tak mengapa jika anda dapati permukaannya kering. Jika adunan anda cair seperti yang sepatutnya, lapisan ini sangat nipis dan tak memberi kesan apa-apa. Kacau semula sebelum dicampurkan telur dan tepung sudah memadai.
  9. Merang yang baik adalah merang yang betul-betul kental dan halus. Biasanya, jika diterbalikkan bekasnya pun tak akan jatuh. Merang yang tak halus menyebabkan kek mempunyai ruang-ruang udara yang besar. Ini menjadikan kek tak kukuh.
  10. Dalam 5 percubaan yang saya buat, 3 daripadanya menggunakan telur yang disejukkan dalam peti ais.Bagaimanapun, hanya satu sahaja yang naik. Itu pun tak tinggi. Percubaan yang selebihnya menggunakan telur [ada suhu bilik dan semuanya cantik sempurna. Kesimpulannya, merang yang dibuat dari telur pada suhu bilik lebih sesuai untuk kek ini. Bagaimanapun saya tak pasti sebabnya.
  11. Bahagian yang paling penting adalah ketika mengaup balik semua adunan bersama merang (Putih telur yang dipukul) Pertama, adunan mestilah rata dan halus. Namun untuk mendapatkan adunan yang rata dan halus memerlukan anda mengacau lebih lama. Masalahnya, apabila anda mengacau lama, merang akan turun. Oleh itu perlu teknik kaup balik yang betul agar anda dapat menyatukan semuanya untuk mendapatkan adunan yang halus tanpa menyebabkan merang turun. Caranya adalah dengan memotong merang sedikit-sedikit dan kaup balik dalam adunan. Potong lagi, kaup lagi sehingga semuanya sebati.
  12. Oleh kerana kita menggunakan air sewaktu membakar kek ini, jadi bahagian bawahnya sukar hangus manakala bahagian atasnya terdedah terus keoada haba. Oleh itu, rak yang paling baik untuk membakar kek ini adalah rak yang paling bawah atau yang kedua dari bawah supaya ia jauh dari api atas. Jika anda dapati bahagian atasnya terlalu hangus, bolehlah menggunakan sesuatu yang dapat menghalang haba terus kepada permukaan kek. Saya cadangkan anda meletakkan satu lapisan surat khabar di bahagian rak yang paling atas sekali. Bagaimanapun, sila berhati-hati agar surat khabar itu tidak terbakar atau gunakan benda yang tak boleh terbakar dan nipis.
  13. Saya menggunakan oven europa jet cook. Anda perlu biasakan dengan oven anda. Jika oven anda jenis biasa tanpa pilihan fungsi kipas,, turbo, dan sebagainya, anda mungkin perlu membakar kek pada suhu 180°C - 190°C.
  14. Selepas masak, kek keju cheddar ini sangat lembut ketika panas. Sebab itulah ia perlu disejukkan sebentar didalam oven agar ia kukuh sedikit dan tidak turun ketika digerakkan. Apabila anda Nampak bahagian tepi kek mulai renggang dari acuannya, barulah boleh dikeluarkan dari acuan. Jangan biarkan ia berada didalam acuan terlalu lama kerana bahagian tepinya akan berpeluh dan berair. Air ini menyebabkan tepi kek menjadi lembik. Ini menyebabkan bahagian tepinya turun dan kek menjadi ramping. Keluarkan dari acuan dengan segera dan sejukkan ditempat berangin agar tiada perpeluhan berlaku. Bahagian tepi kek akan lebih kukuh dan rata apabila kering.
  15. Jika anda perhatikan resepi diatas, saya hanya menggunakan 100g keju cheddar sahaja tapi anda akan mendapat kek yang besar bersaiz 9 inci. Bahan-bahan lain murah sahaja. Sebab itulah kek keju yang dijual di pasaraya murah sahaja harganya. Hanya sekitar RM10 hingga RM12 sahaja. 
  16. Anda juga boleh menggunakan cream cheese menggantikan keju cheddar dengan kaedah yang serupa. Anda juga boleh menggunakan keju-keju yang lain asalkan anda dapat tahap kepekatan yang sama sepert yang saya ceritakan panjang lebar diatas.
  17. Ada kemungkinan anda akan mendapat lapisan bawah kek yang liat dan kenyal. Lapisan ini adalah adunan keju yang termendak seperti yang saya ceritakan. Sebaiknya, tiada lapisan ini namun jika setakat 1 mm ketebalannya, kek anda dikira masih ok. Semakin tebal lapisan ini. Semakin rendah kek yang anda dapat. Kalau anda mahukan kek yang besar dan tinggi, sebaiknya lapisan ini jangan tebal atau tiada langsung lebih baik.
Mungkin ada maklumat yang saya tertinggal, jadi sila tanya di kotak komen dibawah ini.