Jarang jumpa kek yang rangup. Biasanya semua orang suka kek yang gebu. Sebenarnya, kek epal rangup ni cuma rangup pada permukaan keknya sahaja. Kemudian potongan epal juga menjadikan kek ini terasa rangup. Kek epal rangup ni mengingatkan saya kepada pai epal McDonalds. Bila makan kek ni, terubat jugak la kerinduan pada pai epal.

Kek epal rangup memang sangat sedap tapi rupanya tak cantik. Permukaan atasnya yang rangup akan pecah ketika memotong kek. Namun, bahagian inilah yang paling sedap. Kalau anda pun suka bahagian ni macam saya, saya nasihatkan anda bakar kek ini dalam bekas yang besar supaya mendapat kek yang nipis diantara 1 hingga 2 inci. Dengan cara ini, permukaan yang rangup ni akan lebih lebar.



Bahan-bahan untuk Resepi Kek Epal Rangup
60 g Mentega
190g Gula Castor
1 bj Telur A
100g Tepung Gandum Pelbagai Guna
200g – 300g Epal Hijau
½ cmt Esen Vanila
1 cmt Serbuk Kulit Kayu Manis
¼ cmt Soda Bikarbonat
Secubit Garam

Bahan-bahan untuk Resepi Sos Butterscotch
15g Mentega
¼ cwn Whippping Cream
1 cmt Gula Merah



Cara membuat Kek Epal Rangup
  1. Campurkan dan ayak bahan-bahan kering iaitu, tepung gandum, soda bikarbonat dan serbuk kulit kayu manis. Kemudian campurkan garam.
  2. Epal dibuang kulit dan bijinya kemudian didadu lebih kurang 1 cm tebal.
  3. Pukul mentega bersama gula castor sehingga menjadi warna krim. 
  4. Masukkan telur dan pukul lagi sehingga kembang. Masukkan esen vanilla.
  5. Masukkan bahan kering kemudian kaub balik sehingga sebati.
  6. Masukkan epal dan kaub balik lagi sehingga rata.
  7. Masukan adunan kedalam acuan 6 x 6 inci dan bakar dalam oven 180°C dengan turbo van selama 30 hingga 45 minit. Uji dengan lidi untuk memastikan kek benar-benar masak.
  8. Untuk sos butterscotch, panaskan mentega hingga cair kemudian masukkan whipping cream dan gula merah. Masak dengan api kecil sambil sentiasa dikacau sehingga sedikit pekat.



Tips Masakan Komersial
  1. Kek ini menggunakan gula yang banyak jadi rasanya memang sangat manis. Kalau tak suka terlalu manis, anda boleh mengurangkan gula sehingga ¾ dari kuantiti asal. Resepi ini dibuat ketika saya hanya ada epal yang sangat masam jadi gula perlu banyak untuk seimbangkan rasanya.
  2. Kalau boleh, jangan gunakan kulit kayu manis yang dikisar sendiri. Gunakan serbuk kulit kayu manis yang khas dibuat untuk kek dan banyak dijual di kedai-kedai bakeri. Kulit kayu manis ini mempunyai rasa yang kurang kuat dan ia lebih halus.
  3. Boleh juga menambahkan serbuk biji buat pala untuk rasa yang lebih kuat. Bagi saya, kulit kayu manis dah mencukupi. Untuk kanak-kanak mereka mungkin kurang menggemari rasa kulit kayu manis dan buah pala. Ada juga yang mengatakan rasa ini hanya untuk orang-orang tua. Kalau anda penggemar pai epal atau kek lobak merah, anda pasti sukakan kek epal rangup ini.
  4. Resepi kek ini menggunakan hanya sedikit soda bikarbonat jadi ia memang tak naik sangat. Jadi anda perlu pukul adunan mentega dan telur sehingga cukup kembang untuk kek ini naik cantik. Tapi pastikan tidak terlebih pukul supaya kek tidak turun semula.
  5. Epal yang paling sesuai adalah epal hijau granny smith. Epal ini mempunyai rasa yang masam, isi lebih keras dan rangup serta tahan bla dimasak lama didalam oven. Semua epal yang sesuai untuk pai epal, juga sesuai untuk kek epal ini.
  6. Selepas masak, kek perlu dimakan panas-panas barulah kita dapat menikmati kerangupannya. Setelah sejuk pun masih sedap juga tetapi epal mengandungi jus yang banyak jadi kek akan menjadi lembab dan mungkin basah.
  7. Untuk sos butterscotch, anda perlu mencairkan mentega dengan api yang kecil tetapi minyak mentega terpisah dari airnya. JIka minyak terpisah, sos yang akan anda dapat sedikit bergentel dan kasar.
  8. Gula merah digunakan untuk memberikan warna dan rasa lemak pada sos. Jika anda menggunakan dairy cream anda perlu mencampurkan gula pasir untuk memberikan rasa manis. Saya menggunakan cream non-dairy yang sedia manis. Anda juga boleh menggunakan susu segar atau susu sejat.