Saya pernah melihat ada usahawan yang berniaga kastard karamel sahaja di pasar malam. Diawal jualan, meja kecilnya penuh dengan kastard karamel yang disusun bertingkat dalam mangkuk plastik seperti taufu fah. Sebelum saya meninggalkan pasar malam, gerainya hanya tinggal meja sahaja. Tindakannya berniaga kastard karamel di pasar malam memang suatu tindakan yang bijak. Dengan strategi yang betul, tidak mustahil dia akan mendapat kejayaan dalam perniagaannya.

Kastard karamel memang tak tahan lama tanpa disimpan di tempat sejuk. Jadi peniaga pasar malam hanya membawa jualan yang mencukupi sahaja untuk sesuatu tempoh jualan. Jadi jika cuaca baik, biasanya desert ini akan habis dijual dalam masa yang sekejap sahaja. Tentu ramai yang tak merasa. Bagi yang teringin sangat, boleh la mencuba resepi yang saya paparkan ini. Mudah sahaja untuk membuatnya. Lebih kurang macam tart telur je. Peralatannya pun tak banyak. Kalau tiada oven, boleh pakai pengukus. Kalau tiada pengukus, boleh reka sendiri menggunakan segala peralatan dapur yang ada asalkan berfungsi seperti pengukus.

Bahan-bahan untuk Kastard Karamel
150g gula pasir
3 cmb air
6 bj telur A
1/2 L susu segar
100g gula halus (Kisar)
1 cmt esen vanila

Cara membuat Kastard Karamel
  1. Masukkan gula pasir dan air kedalam kuali dan masak diatas api sederhana untuk membuat karamelnya. Jangan dikacau sehingga ia bertukar menjadi keperangan.
  2. Setelah masak, masukkan kedalam acuan dan sejukkan.
  3. Didalam mangkuk adunan, larutkan gula didalam telur dengan cara mengacau perlahan-lahan tanpa menyebabkan telur kembang atau berbuih.
  4. Masukkan susu dan esen vanila dan kacau lagi sehingga sebati.
  5. Kalau perlu, tapis dahulu adunan supaya licin dan halus.\
  6. Masukkan kedalam acuan yang mengandungi karamel perlahan-lahan.
  7. Tutup acuan dengan aluminium foil dan bakar pada suhu 180C selama setengah jam, jangan lupa gunakan teknik water bath. Jika menggunakan pengukus, kukus dengan api perlahan dalam jangkamasa yang sama.
  8. Hidangkan dan hiaskan dengan buah-buahan dan karamel lagi. Kalau ada lebihan sos coklat dari kek coklat moist tu boleh la digunakan sekali.

Tip Masakan Penting

  1. Sewaktu melarutkan gula ke dalam telur, amat perlu untuk mengelakkan adunan berbuih untuk mendapatkan hasil yang cantik. Buih-buih akan menyebabkan kastard karamel yang terhasil mempunyai lubang-lubang dan tidak licin.
  2. Buih-buih itu juga akan muncul kalau terlebih lama masa memasaknya.
  3. Ada juga resepi yang menambahkan tepung kastard untuk membuat hasil lebih keras tetapi bagi saya ia bukanlah sesuatu yang original. Mereka biasanya mengurangkan telur dan menggunakan susu yang lebih cair untuk menjimatkan kos.
  4. Menggunakan campuran gula pasir dan gula merah untuk membuat karamel adalah suatu langkah bijak. Ia akan menjimatkan masa memasak. Bagaimanapun tambahkan sehelai daun pandan untuk mengurangkan bau gula merah yang kuat.