Nenong! Nenong! Tengah kritikal sekarang ni. Stok kuih raya semuanya dah abis. Boring la tak ada benda nak dikunyah sewaktu menonton sinetron. Kebetulan serunding ayam raya masih ada lagi. Perkara pertama dan terbaik yang dapat saya fikirkan adalah karipap serunding mini. Sekejap je membuatnya kalau setakat untuk sebalang sua. Kalau ada tetamu datang hujung minggu nanti, ada la jugak benda yang nak dikunyah sambil berborak. Tak de la nak makan chicken chop je semata-mata.

Pasti anda terfikir, setakat karipap tak perlu diajar. Semua orang tahu. Hakikatnya membuat karipap mini ni pun ada teknik-tekniknya. Kita mestilah mahukan karipap mini yang rangup, tahan lama dan senang diurus. Saya akan ceritakan lebih lnjut dalam tip masakan komersial dibawah. Sekarang ni mari kita belek dulu resepi yang saya gunakan. Sengaja saya menggunakan majerin pada kali ini berlainan dengan resepi kulit karipap terdahulu. Saya harap anda dapat membezakan hasilnya serta tujuannya.


Bahan-bahan untuk Karipap Serunding Mini
400g Tepung Gandum
150g Air
1 cmt Garam
4 cmb Majerin
1 cwn Serunding
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam


Cara membuat Karipap Serunding Mini
  1. Larutkan garam dalam air.
  2. Gaul ramas majerin dan tepung sehingga tidak nampak lagi butiran-butiran majerin.
  3. Masukkan semua air sekaligus dan uli sehingga mendapat doh yang sedikit keras.
  4. Kandungan air bergantung kepada tepung jadi jika adunan terlalu lembut, anda boleh menambah tepung. Begitu juga jika adunan terlalu keras sehingga tak boleh dicanai. Tambahkan air jika perlu.
  5. Canaikan adunan senipis 1mm. Isi inti dan bentukkan menjadi karipap menggunakan pencetak. Buat sehingga habis semua doh.
  6. Panaskan minyak dengan api perlahan. Gorengkan karipap mini sehingga kekuningan.
  7. Angkat dan sejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.


Tip Masakan Komersial

  1. Faktor paling penting dalam menghasilkan karipap mini adalah kerangupannya. Kerangupan karipap mini berlainan dengan kerangupan karipap biasa. Doh karipap mini menggunakan minyak yang sedikit supaya kerangupannya menyamai kerangupan biskut cream cracker. Ia perlu digoreng dengan api perlahan agar dapat menjadikan bahagian dalam kulit karipap juga garing. Ini bererti keseluruhan kulit karipap masak sepenuhnya dan menjadi garing. Berbeza dengan karipap biasa yang hanya garing diluar malah kulitnya lebih rapuh dengan penggunaan minyak yang banyak.
  2. Biasanya karipap mini yang dibeli sering berbau hapak malah rasanya juga berubah setelah lama disimpan. Disinilah kegunaan majerin. Ia dapat mengurangkan risiko ini untuk membolehkan ia disimpan lebih lama walaupun dibungkus dalam plastik.
  3. Jika membuat karipap biasa, kita akan menyusun karipap yang siap dibentuk satu persatu dalam dulang supaya tidak melekat sesama mereka. Apabila menggunakan minyak yang sedikit dalam doh, kebarangkalian doh untuk melekat semula lebih tinggi. Jadi anda perlu menguli doh dengan lebih keras lagi. Takkan nak susun karipap mini yang halus-halus tu satu-persatu. Lambak je karipap mini dalam dulang tanpa perlu risau karipap berubah bentuk. Bagaimanapun saya nasihatkan supaya anda tidak menindih terlalu tinggi. Cukuplah setakat 3 lapisan sahaja.