Banyak restoran nasi kandar di Malaysia yang popular kerana Kari Kepala Ikannya. Ada juga yang popular kerana rojak mamaknya atau ayam gorengnya namun tak begitu meletup seperti nama kari kepala ikan. Penduduk Malaysia memang sudah biasa sangat dengan kari. Ramai sangat yang tahu masak kari namun, kari kepala ikan nasi kandar terlalu banyak keistimewaannya bagi penggemar tegar nasi kandar.  Mudah sahaja mereka mengenali masakan dari restoran kegemarannya.


Ada beberapa perkara yang kita terlepas pandang ketika menyediakan kari kepala ikan nasi kandar. Bahan yang berbeza memang menghasilkan rasa yang berbeza bagaimanapun, bahan yang sama jika dimasak dengan kaedah yang berbeza juga akan menghasilkan rasa yang berlainan. Dibawah ini adalah resepi kari kepala ikan nasi kandar yang paling mudah yang boleh anda pelajari. Dalam tip masakan komersial pula saya cuba menerangkan kelainan yang terdapat dalam resepi kari kepala ikan nasi kandar.



Bahan-bahan untuk Resepi Kari Kepala Ikan Nasi Kandar
1 ketul kepala ikan (200-300g)
2 cmb Serbuk Kari Daging
3 cmb Cili Boh
½ btg Kulit Kayu Manis
1 kuntum Bunga Lawang
3 kuntum Bunga Cengkih
2 b Buah Pelaga
½ bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
½ cwn Daun Sup (dadu)
1 tangkai Daun Kari
1 kpg Asam Gelugur
¼ cwn Minyak Masak
500ml Air
1 cmt Garam
½ cmb Gula



Cara membuat Kari Kepala Ikan Nasi Kandar
  1. Bersihkan kepala ikan. Serbuk kari dan cili boh digaul bersama sehingga mendapat pes yang pekat. Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris nipis.
  2. Panaskan minyak masak dan tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih sehingga wangi. Masukkan daun kari, bawang besar, bawang putih dan halia.
  3. Apabila bawang sudah layu dan wangi, masukkan pes kari tadi dan masak sehingga pecah minyak kemudian baru dimasukkan daun sup.
  4. Apabila daun sup menjadi layu, masukkan air. Kacau dan tunggu sehingga mendidih. Perasakan dengan garam,  gula dan asam.
  5. Setelah mendidih, masukkan kepala ikan. Boleh masukkan sayur-sayuran yang memerlukan masa untuk empuk seperti lobak merah atau kentang jika suka.
  6. Apabila ikan masak, barulah dimasukkan aksesori lain jika ada seperti cili merah, bendir, terung dan sebagainya.
  7. Masak sehingga anda mendapat  kepekatan kuah yang anda suka. Perasakan sekali lagi dengan garam dan gula jika perlu dan bolehlah dihidangkan.



Tip Masakan Komersial
  1. Saya biasanya menyimpan satu jenis rempah kari sahaja iaitu kari daging dan ayam. Rempah kari ikan biasanya mengandungi lebih banyak serbuk cili jadi saya menambahkan cili boh untuk kari ikan. Jadi tak perlulah saya menyimpan segala jenis rempah untuk kegunaan harian.
  2. Jika anda menggunakan serbuk kari ikan, cuba kurangkan sedikit cili boh untuk mengelakkan kari anda terlalu pedas. Kari ikan sepatutnya lebih pedas san masam berbanding kari ayam atau daging.
  3. Saya suka menggunakan minyak yang lebih untuk menumis kari ikan. Ini untuk memastikan proses pecah minyak berlaku dengan baik. Apabila rempah telah pecah minyak, bahan tumisan akan terasing dari minyak dan warna minyak akan bertukar menjadi merah. Jika anda tak suka terlalu berminyak, anda boleh keluarkan minyak yang berlebihan ini.
  4. Daun sup terdiri dari daun bawang dan daun saderi. Ramai surirumah menganggap daun sup hanya sebagai hiasan sahaja tetapi sebenarnya daun sup penting untuk memberikan rasa dan bau. Bagi saya, sup yang menggunakan daun sup jauh berbeza rasanya dengan sup tanpa daun sup. 
  5. Kebanyakkan kari kepala ikan nasi kandar yang popular yang dapat saya perhatikan, mereka menumis daun sup bersama-sama bahan tumisan yang lain dan bukan hanya menaburkannya apabila masakan siap. Ini memberikan perbezaan rasa yang nyata berbanding restoran yang tidak menggunakan kaedah ini. Daun sup ini juga menjadikan kari kepala ikan lebih meriah dan kelihatan lebih pekat.
  6. Setakat ini tak banyak restoran nasi kandar yang saya lihat menggunakan santan dalam kari kepala ikan mereka. Susu lagi la saya tak pernah nampak. Tanpa susu atau santan dah cukup menjadikan masakan mereka popular.
  7. Selalunya, restoran nasi kandar akan menggunakan kepala ikan segar yang dipesan setiap hari. Nak sedap, mestilah menggunakan bahan yang berkualiti. Ikan yang menjadi pillihan mereka kebanyakkannya ikan merah dimana ikan ini bersaiz besar, tidak terlalu mahal. Apa yang saya tak suka, mereka tidak membersihkan bahagian dalaman ikan. Hanya di lalukan dbawah air sahaja. Kalau insang tak dibuang, saya masih ok lagi tapi kalau sampai perut ikan pun tak buang, itu dah melampau. Mungkin ini yang menyedapkan masakan mereka. Bahagian dalaman ikan inilah yang memberikan rasa ikan yang kuat dalam kuah kari. Bagaimanapun jangan risau. Ikan adalah haiwan yang halal dimakan dan tak perlu disembelih.