Resepi Kari Kental Ikan Kembung
Posted by Norasikin Basri on Monday, May 23, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Kat bawah ni ada resepi kari kental khusus untuk wanita kental. Anak saya, si Mat Untung tu memang penggemar kari. Kadang-kadang makan di kedai mamak, saya perhatikan dia paling suka kari jenis ini. Pekat, penuh rasa, kurang lemak tapi terlalu pedas untuk dia. Jadi sayapun masak kari kental mengikut selera anak saya. Lagipun saya tak suka bazirkan kuah kari yang berlebihan sedangkan dalam kuah itu mengandungi jus-jus lauk yang saya masak. Jika anda rebus ayam dalam air yang sedikit dibanding dengan air yang banyak, sup mana yang lebih kuat rasa ayamnya? Jadi jika saya membuat kuah dalam kuantiti yang secukupnya sahaja, kuah saya akan lebih sedap dan penggunaan bahanpun lebih menjimatkan. Untuk resepi ini saya gunakan ikan kembung sahaja sebab ikan tu je yang murah. Lain tahun baru masak tenggiri.
5 ekor ikan kembung
5 cmb serbuk rempah kari ayam/daging
½ inci halia
½ bj bawang besar
2 ulas bawang putih
½ cwn air
½ cwn susu cair
½ cmt garam
1 cmb gula
¼ cwn minyak masak
Sedikit asam
- Halia, bawang besar dan bawang putih dikisar bersama ½ cawan air sehingga lumat
- Gaulkan rempah kari dengan bahan yang dikisar. Biarkan seminit untuk rempah mengembang.
- Panaskan minyak masak dalam kuali, tumiskan bahan yang dikisar sehingga wangi dan pecah minyak.
- Masukkan susu cair dan perasakan dengan garam, gula dan asam.
- Setelah mendidih, susunkan ikan kembung dalam kuali. Pastikan ikan tenggelam dalam kuah. Kalau terlalu pekat, boleh tambahkan sedikit lagi air.
- Biarkan kari merenih dengan api perlahan 5 – 10 minit.
- Hidangkan panas-panas bersama nasi.
- Tak payah la serai, daun kari atau rempah tumis tu. Wanita kental macam kita ni mana sempat nak selongkar almari mencari rempah atau mencabut serai di belakang rumah. Pakai apa yang dah ada depan mata je. Kalau ada, pasti lebih sedap.
- Dalam serbuk kari memang dah mengandungi serbuk lada jadi saya tidak menambahkan lada lagi. lagipun kuantiti serbuk kari yang saya gunakan agak banyak. Dah cukup pedas la tu. Ada jugak serbuk kari yang kurang pedas. Anda boleh ubahsuai tahap kepadasan ikut citarasa anda.
- Asam memang penting terutama bila memasak makanan laut. Gunakan apa sahaja yang ada, asam jawa, asam gelugur, cuka, jus limau. Saya gunakan lemon sebab itu je yang saya ada. Saya campakkan dengan kulit-kulitnya sekali sebab saya suka bau kulit lemon.
- Jangan lupa tambahkan sayur kegemaran anda. Barulah jimat masa. Tak perlu nak masak sayur lain lagi. Semuanya dah lengkap dalam satu masakan. Boleh masukkan carrot, terung, bendir dan lain-lain. Boleh juga dicampurkan kacang-kacang yang anda suka seperti dhal, kacang kuda, gajus..
- Anda yang masak, anda yang makan jadi anda tahu apa yang baik untuk anda. Suka hati la kalau anda nak masukkan apa benda pun. Selagi ia halal, ia tak akan memudaratkan anda. Apa yang ada dirumah tu, masukkan je. Mana ada orang peduli. Ada orang nak marah ke kalau anda masukkan pucuk ubi dalam kari ikan? Suka hati la nak buat kari sotong ke, kerang ke, tiram ke, timun laut ke. Tak de siapa yang peduli. Yang penting, anda mahu terus masak dan belajar.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: resepi kari ikan kembung pekat rendah lemak jimat mudah ringkas cepat
blog comments powered by Disqus



