Sekarang ni ramai yang dah tak minat sangat nak buat kacang salut seperti ni. Pertama, mungkin ia terlalu mudah. Kedua sebab kacang salut seperti ini dah banyak sangat dijual di pasaran. Malah bermacam-macam jenis, rupa dan perisa. Bagaimanapun saya tetap akan buat sendiri untuk mengelakkan terlalu banyak bahan-bahan yang saya saya tak tahu asal usulnya, masuk kedalam badan saya dan keluarga saya. Ayah saya memang gemar sangat makan kacang. Rasanya semua makanan yang berasaskan kacang goreng seperti rempeyek, mesti dia suka. Bila buat kacang salut ni, teringat la kat dia. Saya pulak, sebenarnya tak boleh makan kacang atau produk-produk yang banyak mengandungi purin. Kalau makan jugak, terpaksa la saya menggunakan kerusi roda.

Sebenarnya entri hari ni santai-santai je. Itu sebabnya saya pilih resepi yang mudah pada kali ini. Hadiah kereta saya pun dah nak keluar sehari dua lagi. Buku Nota dan Latihan PMBT yang saya tulis pun dah sampai ke tangan pelajar yang sepatutnya. Cuti sekolah pun dah bermula dan JomHeboh diadakan di Johor Bahru semuanya menyenangkan hati saya. Jadi saya tak mau la memberatkan lagi dengan entri yang leceh-leceh. Cuba-cuba la membuat kacang salut ni yang banyak dihidangkan sebagai kuih raya ni. Sambil-sambil tu semak-semak la harga kacang bersalut yang ada di pasaran.

Bahan-bahan asas Kacang Bersalut
500g Kacang Tanah
2 biji Telur A
2 bj Bawang Merah
2 cwn Tepung Gandum
3 cmb Gula
1 cmt Garam
1L Minyak Masak untuk menggoreng tenggelam.

Bahan perasa Kacang Bersalut (Boleh pilih salah satu atau semuanya)
2 cmb Serbuk Kari
1 cmb Lada Boh
1 cmb Bijan

Cara membuat Kacang Bersalut
  1. Kacang tanah dibersihkan dan ditus kering.
  2. Campurkan semua bahan-bahan lain kecuali tepung gandum dan bijan dan kisar bersama.
  3. Tuangkan bahan-bahan kisar ke atas kacang tanah dan bijan, gaul rata.
  4. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sambil digaul menggunakan garfu. Berhenti menambahkan tepung jika dirasakan salutan dah cukup tebal atau kacang telah cukup kering.
  5. Gorengkan dalam minyak panas dengan api yang kecil.

Tip Masakan Berguna

  1. Jika adunan terlalu lembab menyebabkan kacang melekat sesama mereka. Tambah tepung lagi sambil dileraikan kacang yang melekat dengan lembut. Pastikan tepung tidak tertanggal dari kacang.
  2. Jika adunan terlalu kering. Biarkan sebentar sehingga kelihatan adunannya melembab. Gaul semula sehingga semua tepung melekat pada kacang. Adunan yang kering, jika digoreng, berkemungkinan besar akan terpisah dari kacang. Rupa kacang juga menjadi tidak cantik apabila terdapat tepung yang keputihan menyalutinya.
  3. Dalam industri kecil, kacang ini disalut beberapa kali untuk mendapatkan salutan yang tebal. Caranya, basahkan kacang dengan adunan telur. Golekkan kacang yang lembab pada tepung dan tapis kacang untuk mengasingkan dari tepung yang berlebihan. Celup sekali lagi dalam adunan telur selama beberapa saat. Elakkan mengaul supaya tepung sedia ada tidak tanggal. Golekkan lagi sekali dalam tepung dan tapiskan. Ulangi langkah celup dan golek sehingga mendapat salutan yang tebal. Akhir sekali baru digolekkan bersama bijan.
  4. Paling penting untuk diketahui adalah sifat kacang itu sendiri. Kacang mengandungi banyak kandungan minyak. Jadi kacang yang digoreng lebih lambat untuk sejuk. Bila menggoreng makanan dengan sifat seperti ini, timing ketika memasak perlu diambil kira. Kacang goreng perlu diangkat sebelum ia menjadi garing. Setelah diangkat dan dituskan, suhu kacang yang masih panas akan terus memasak kacang. Jangan pelik jika kacang yang diangkat setelah betul-betul masak akan hangus setelah dikeluarkan dari kuali. Gunakan penapis besi supaya penapis kita tidak cair.