Apabila seruis untuk mengejar kejayaan dalam perniagaan makanan, kita sepatutnya berusaha untuk menghasilkan sendiri setiap produk dari asasnya. Walaupun ini bermakna kerja akan bertambah namun ia adalah cara yang paling baik untuk mengurangkan kos sekaligus memaksimumkan keuntungan yang diperolehi. Usahawan kuih kecil-kecilan biasanya gemar menggunakan produk siap seperti inti kacang merah ni. Namun, usahawan pau kebanyakkannya membuat sendiri inti kacang merah mereka terutama usahawan yang berjaya mengedarkan produk mereka ke banyak daerah. Bagi usahawan kecil, mereka seringkali beralasan tidak cukup masa. Bagaimanapun bagi usahawan sederhana, mereka berpendapat, pekerja mereka yang akan melakukan semua kerja ini. “Selagi dalam waktu kerja, saya berhak menyuruh mereka membuat segala macam kerja yang berkaitan. Kalau tak buat begitu, saya tak akan berjaya seperti hari ini.”




Bahan-bahan untuk Inti Kacang Merah | Red Bean Paste
1kg Kacang Merah
1kg Gula Pasir
1 helai Daun Pandan
¼ cwn Minyak Masak
1 cmt Garam
Air



Cara Membuat Inti Kacang Merah
  1. Rendam Kacang Merah semalaman sehingga kembang dan lembut.
  2. Setelah lembut, rebus dengan air yang banyak sehingga empuk lebih kurang ½ jam.
  3. Tuskan kacang merah tetapi air rebusannya jangan dibuang. Biarkan kacang merah dan air rebusannya sejuk sedikit untuk memudahkan proses seterusnya.
  4. Kacang merah perlu dikisar sehingga betul-betul halus. Gunakan air rebusan tadi sewaktu mengisar.
  5. Masukkan semua kacang merah yang dikisar kedalam kuali. Masukkan juga gula, garam dan daun pandan.
  6. Masak kacang merah dengan api sederhana sehingga hampir kering. Sentiasa dikacau agar inti tidak hangus.
  7. Apabila hampir kering, keluarkan daun pandan dan masukkan minyak masak.
  8. Masak lagi sehingga betul-betul pekat. Matikan api dan biarkan menyejuk.
  9. Inti sedia digunakan untuk aneka kuih-muih.


Tip Masakan Komersial.
  1. Kacang merah senang dijumpai di kebanyakkan pasaraya dan kedai runcit seluruh Malaysia. Ia dijual kering dan pilihlah kacang yang lengkap sebiji tanpa dibelah atau dibuang kulit. Harga pasaran sekarang adalah sekitar RM4 – RM5 sekilogram. Selepas direndam saiz dan beratnya akan bertambah sekali ganda.
  2. Inti kacang merah siap digunakan dipasaran berharga lebih kurang RM15 sekilogram. Kos bahan untuk inti kacang merah sebanyak ini sebenarnya tak sampai RM5. Kos ini akan lebih kecil sekiranya inti dibuat dalam kuantiti yang besar.
  3. Untuk menjimatkan kos, masa memasak perlu dikurangkan. Oleh itu, gunakan air yang paling minima untuk mengisar kacang merah. Asalkan dapat menghasilkan inti yang sangat halus, sudah cukup. Jika air rebusan untuk mengisar tidak mencukupi boleh ditambahkan air lagi. Jika berlebihan, air rebusan ini hendaklah dibuang. Bagaimanapun, inti kacang merah yang dimasak lebih lama adalah lebih sedap dan tahan lama.
  4. Sewaktu kacang merah kisar dimasak, ia perlu dikacau sentiasa untuk mengelakkan ia hangus terutama dibahagian bawah dan tepi kuali. Inilah sebab utama kenapa ramai usahawan lebih gemar menggunakan produk inti kacang merah segera. Namun, jika sudah terbiasa perkara ini akan menjadi mudah sahaja.
  5. Kilang memproses inti kacang merah biasanya menggunakan mesin untuk mengacau inti diatas kuali. Dengan cara ini, mereka tak perlu menunggu lama dihadapan kuali. Alat ini juga membolehkan inti dikacau rata dan kekuatannya memudahkan inti kacang merah yang pekat. Satu perkara yang saya tak suka pada inti kacang merah dipasaran adalah,  intinya terlalu berminyak sehingga menyukarkan untuk dimasukkan kedalam doh.
  6. Setelah sejuk, inti kacang merah akan menjadi lebih pekat dan mudah digentel. Oleh itu, jangan biarkan inti menjadi terlalu pekat sewaktu panas kerana apabila sejuk, kemungkinan ia akan menjadi terlalu kering dan berderai. Jika ini berlaku, tambahkan sedikit air dan masak semula diatas api.
  7. Inti kacang merah banyak digunakan dalam kuih-muih seperti aneka pau contohnya pau kukus, pau goreng, pau kacang merah hakka. Inti kacang merah paling banyak digunakan untuk roti. Untuk peniaga apam balik pula, mereka menggunakan inti kacang merah yang tak dikisar atau yang dikisar kasar. Kaedah pembuatannya hampir sama namun mereka tidak menggunakan minyak masak atau hanya sedikit minyak masak yang digunakan.
  8. Kelebihan menggunakan inti kacang merah yang anda buat sendiri untuk produk keluaran anda adalah, anda boleh mempelbagaikan rasanya supaya lebih unik dan tak sama dengan inti kacang merah peniaga kuih-muih yang lain.. Cubalah menambahkan santan atau susu untuk mendapatkan rasa yang lebih lemak. Anda juga boleh menambahkan rempah-rempah untuk rasa dan bau yang berlainan.