Terdapat dua jenis ikan tenggiri yang biasanya dijual di pasar. Pertama adalah tenggiri batang yang besar dan banyak isi dan kedua adalah ikan tenggiri bunga yang saiznya lebih kecil dengan sedikit corak dibadannya. Kalau masyarakat barat, mereka mempopularkan ikan mereka yang bersaiz besar seperti cod dan salmon. Sebenarnya tekstur isi ikan ini hampir sama, jadi tak ada salahnya kalau kita memasak ikan tenggiri menggunakan resepi masakan barat. Hasilnya hampir sama malahan harganya jauh lebih murah. Tapi kali ini saya memasak ikan tenggiri masak kicap sahaja dari resepi masakan melayu kerana ia sangat sesuai dimakan dengan nasi. Omputeh tu lain. Diaorang makan protin lebih banyak dari karbohidrat. Dalam tip masakan komersial pula, saya akan ceritakan jenis-jenis masak kicap mudah yang saya suka.

Bagi mereka yang berserabut kepala, hari-hari fikir nak masak apa, sampai gugur rambut, boleh cuba #SunsilkSmoothManageable. Sila Klik disini.


Bahan-bahan untuk Resepi Ikan Tenggiri Masak Kicap Paling Simple
2 keping Ikan Tenggiri Batang (setebal 2 cm setiap satu)
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
1 bj Cili Merah
½ cwn Kicap Lemak Manis
1 cmb Jus Limau Kasturi atau cuka
2 bj Tomato Segar
½ bj Carrot
½ cwn Air
½ cmt Garam
1 cmb Gula Pasir
3 cmb Minyak Masak
Sedikit garam dan serbuk kunyit untuk menggoreng ikan


Cara membuat Ikan Tenggiri Masak Kicap Paling Simple
  1. Bersihkan ikan tenggiri dan lumurkan dengan garam dan serbuk kunyit.
  2. Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis. Halia dimayang dan cili merah dibelah dua. Carrot dipotong kasar berbentuk baton.
  3. Panaskan minyak masak dan goreng ikan tenggiri sehingga masak. Ketepikan.
  4. Dengan minyak gorengan yang sama, tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga wangi.
  5. Masukkan air dan carrot. Masak sehingga carrot sedikit lembut.
  6. Masukkan kicap, cili merah, tomato dan perasakan dengan garam, gula dan jus limau.
  7. Masukkan ikan tenggiri goreng dan didihkan sebentar sebelum dihidangkan panas-panas.

Dah menyampah makan ikan? Cuba Resepi Ayam Masak Kicap atau Daging Masak Kicap.


Tip Masakan Komersial
  1. Ikan tenggiri tak sepatutnya digoreng terlalu lama. Biasanya saya menggoreng ikan tenggiri dengan api sederhana. Sebentar sahaja yang diperlukan untuk merangupkan bahagian luarnya manakala bahagian dalamnya saya suka yang lembut. Untuk menguji sama ada ikan tenggiri sudah masak atau belum, anda hanya perlu cucuk dengan garfu. Jika isinya pecah berkeping-keping (flaky), itu menandakan ia telah masak.
  2. Saya menggunakan cili padi untuk rasa yang sedikit pedas. Cili merah berfungsi lebih kepada hiasan. Bagaimanapun, saya sangat suka makan cili merah dan kalau ada, saya akan masukkan lebih.
  3. Masak kicap juga sesuai dimasak secara berempah. Hanya masukkan rempah tumis iaitu kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga dan tumiskan bersama bawang. Selain bau rempah yang wangi, rasa masak kicap akan berbeza dan menjadikan ia lebih istimewa.
  4. Saya juga sukakan masak kicap yang pekat. Biasanya saya akan didihkan kicap tanpa menggunakan air untuk menjadikan kuahnya sedikit berkaramel. Ini menjadikan masakan lebih sedap dan wangi. Bagaimanapun, carrot memerlukan masa yang lebih untuk empuk. Jadi saya gunakan air untuk menjadikan ia empuk kerana jika carrot dimasak dalam kicap terlalu lama, warna carrot akan menjadi tidak cantik.
  5. Kadang-kadang saya menggunakan sos cili atau tomato untuk menjadikan kuah masak kicap lebih pekat. Kandungan kanji dalam sos boleh menjadikan ia pekat. Ini adalah cara yang mudah selain dari menggunakan tepung jagung. Malah rasa masak kicap juga akan berbeza.
  6. Harga ikan tenggiri memang lebih mahal. Mungkin itu sebabnya tak banyak restoran dan gerai nasi campur menjualnya. Sebenarnya ada cara mudah menentukan. Pertama dapatkan harga seekor ikan tenggiri tu. Kemudian bahagikan dengan separuh harga jualan sekeping ikan tenggiri siap dimasak yang anda mahu. Kemudian, barulah dipotong ikan tenggiri itu sama rata mengikut jawapan yang anda dapat tadi. Contohnya jika harga seekor ikan tenggiri adalah RM30. Anda mahu menjual sekeping ikan tenggiri masak kicap pada harga RM3. Jadi bahagikan RM30 dengan RM1.5 bersamaan 20 bahagian. Oleh itu potonglah ikan tenggiri tadi kepada 20 bahagian dan juallah pada harga RM3 setelah dimasak. Dengan cara ini, harga jualan anda akan sentiasa sama walaupun setiap hari harga ikan turun dan naik.