Resepi Ikan Talapia Masak Tiga Rasa
Posted by Norasikin Basri on Wednesday, March 30, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan

Untuk resepi ini, saya menggunakan ikan talapia hitam sahaja. Nak guna ikan siakap atau kerapu, memang saya tak mampu. Nak tak nak, guna je la ikan talapia yang 3 kali lebih murah dari siakap mungkin kerana isinya tak banyak kerana kepalanya besar. Isinya tak kurang juga enaknya. Masih berisi putih, sama dengan siakap cuma sedikit kasar tapi tidaklah sekasar tenggiri. Banyak bahan yang tidak saya gunakan dalam resepi ini kerana bergantung kepada hanya bahan-bahan yang terdapat didapur rumah saya. Untuk menjadikannya masam, saya hanya menggunakan jus limau nipis sahaja menggantikan nenas. Kadang-kadang saya menggunakan epal. Bagaimanapun, resepi ikan talapia tiga rasa dibawah ini adalah resepi yang seharusnya anda cuba.

1 ekor ikan talapia yang paling besar
1/6 bj nenas hampir masak
1/2 bj lada merah
5 bj cili padi
1/2 bj bawang besar
1 ulas bawang putih
1/2 btg Carrot
1 cmt jus limau nipis
1/2 bj tomato
1 cmt gula
1 1/2 cmt garam
1 cmb sos ikan
1 cmt sos tiram
1 cmb sos cili
2 cmb minyak masak untuk menumis
1 cmb tepung jagung
1 cwn air rebusan ayam
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam

- Bersihkan ikan dan lumurkan dengan sedikit garam dan tepung jagung.
- Panaskan minyak masak untuk menggoreng tenggelam dengan kepanasan yang paling tinggi. Gorengkan ikan sehingga garing dan ketepikan.
- Dadu nenas dan tomato kecil-kecil. Bawang besar, bawang putih, Carrot, lada merah, cili padi dicincang.
- Panaskan 2 cmb minyak masak. Tumiskan semua bahan cincang sebentar sahaja.
- Masukkan air rebusan ayam, biarkan sehingga mendidih.
- Masukkan sos tiram, sos cili, sos ikan.
- Masukkan bahan yang didadu.
- Perasakan dengan garam, gula dan jus limau nipis.
- Curahkan keatas ikan dan hiaskan dengan daun ketumbar. Sedia untuk dihidangkan.

Tip Masakan Komersial.
- Ramai yang mengadu kepada saya, ikan yang mereka goreng tidak segaring yang dijual di restoran masakan thai. Sebenarnya, mereka menggunakan dapur gas bertekanan tinggi. Dapur sebegini mampu memberi haba yang lebih tinggi dengan stabil. Jika menggunakan dapur gas biasa, walaupun kita membiarkan minyak sehingga berasap, suhu minyak akan turun mendadak sebaik sahaja ikan dimasukkan.
- Menggoreng ikan menggunakan api yang besar menjadikan ikan sangat garing diluar dan isinya lembut. Jika menggunakan kepanasan biasa, isi ikan akan menjadi terlalu masak dan keras sementara menunggu kulit luarnya garing.
- Sekali-sekala gantikan nenas dengan buah-buahan yang masam seperti epal hijau granny smith. Boleh juga menggunakan mangga muda. Pasti rasanya sangat berbeza. Asalkan anda beri nama yang gempak, hidangan ini pasti diterima di restoran anda.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: resepi ikan talapia masak tiga rasa komersial masakan thai seafood thaifood
blog comments powered by Disqus



