Resepi Ikan Talapia Masak Stim
Posted by Norasikin Basri on Tuesday, April 19, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Ikan stim adalah salah satu hidangan yang perlu sering kita masak di rumah. Bukan hanya untuk menjaga tubuh badan supaya kekal langsing dan cantik tapi yang penting sekali, ia untuk menjaga kesihatan. Makanan yang dimasak menggunakan kaedah stim, mengelakkan kita menambah kuantiti lemak, kolesterol dalam makanan. Bagi saya pula, makanan sebegini amat saya gemari kerana rasa ikan akan dikekalkan dalam hidangan. Jika ikan yang digunakan manis, maka manislah hidangan kita. Tidak seperti hidangan lain, masak ikan rasa rempah, masak ayam rasa lemak. Ciri-ciri asal ikan dan ayam langsung tak terasa.
1 ekor ikan talapia (500g)
1 cm halia
1 ulas bawang putih
1/4 bj bawang besar
2 bj cili padi
1 cmt sos tiram
1 cmt sos ikan
1/2 cmt kicap manis
1 cmt jus limau nipis
1/2 cwn air rebusan ikan/ayam
Garam dan gula jika perlu
Sayur-sayuran jika suka
- Racik halus semua bahan yang boleh termasuk sayur-sayuran.
- Masukkan semua bahan kecuali ikan dan sayur-sayuran ke dalam kuali.
- Masak sehingga mendidih dan perasakan dengan garam dan gula.
- Masukkan ikan dan simbahkan dengan kuah.
- Tutup kuali dan biarkan merenih dengan api kecil selama 10 minit.
- Masukkan sayur-sayuran dan tutup lagi untuk 1 minit.
- Tutup api. Angkat ikan dahulu kedalam pinggan hidang kemudian baru dituangkan kuahnya.
Tip Masakan Komersial
- Kenapa ikan stim tapi tak dikukus? Tak banyak yang saya lihat, ikan betul-betul dikukus untuk masakan stim. Biasanya ikan hanya akan direbus sahaja. Dengan cara merebus, ikan akan masak lebih cepat. Daging ikan akan menyerap rasa dari bahan-bahan yang digunakan dengan lebih baik. Siapa yang tahu sama ada ikan itu direbus atau dikukus kecuali orang itu memang selalu masuk dapur.
- Jika anda mahukan ikan yang benar-benar di stim, anda boleh melumur ikan dengan sos tiram, kicap, sos ikan dan jus limau. Letakkan diatas pinggan tahan panas. Susun bahan-bahan lain diatas ikan dan stimkan didalam pengukus. Abaikan garam, gula dan air rebusan. Cubalah kedua-dua cara dan bandingkan rasanya.
- Pada masa ini dirumah saya cuma ada carrot sahaja. Anda boleh gunakan pelbagai sayur-sayuran lain seperti jagung muda, leek, daun bawang, lada bengala dan sebagainya. Saya paling suka menggunakan pak choy atau baby kailan. Susun je cantik-cantik. tak perlu nak susah payah masak sayur lagi.
Suka masakan yang menggunakan ikan goreng? Cuba ikan tiga rasa dan ikan bercili
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: resepi masakan ikan ikan talapia tilapia stim steam menyihatkan rendah lemak
blog comments powered by Disqus



