Resepi ini sebenarnya amat sesuai untuk masakan ketam seperti di restoran-restoran masakan thai. Memandangkan saya ni tak mampu nak makan ketam, jadi saya gunakan ikan talapia tempoh hari yang masih berbaki seekor. Bila gunakan ikan talapia, hasilnya memang tak sama dengan ketam. Ketam mengandungi banyak air didalamnya jadi kuahnya akan menjadi lebih cair. Lagipun rasa ketam akan meresap dalam kuah. Bila digantikan dengan ikan talapia, inilah hasilnya. Kuahnya terlalu pekat. Rasa kuahnya tiada rasa ikan. Nasib baik ikannya garing sampai boleh dikunyah tulang dan kepalanya. bagaimanapun, ok juga masakan begini dijadikan produk jualan. Asyik ikan tiga rasa dan masam manis, lama-lama jemu juga. Sebenarnya masakan ni cepat dan mudah memang sesuai untuk saya yang malas masak pada hari ni. Resepi ini juga sangat berbeza dengan sambal balado dari masakan Indonesia. Asal-usulnya berlainan, tentu rasanya juga lain.

Bahan-bahan Ikan Talapia Bercili
1 ekor ikan talapia
1 cmb tepung jagung
2 cmb cili boh
1 cmb sos cili
1 cmt sos tiram
1 ulas bawang putih
1/2 ulas bawang besar
1 cmb sos ikan
1 cmt garam
2 cmt gula
1 cmt jus limau nipis
1 bj telur
1/2 cwn air rebusan
Minyak untuk menumis dan menggoreng tenggelam

Cara membuat Ikan Talapia Bercili
  1. Bersihkan ikan, kelar jika perlu. Lumurkan dengan tepung jagung dan garam.
  2. Goreng ikan dalam minyak yang banyak sehingga garing.
  3. Bawang besar dihiris, bawang putih diketuk.
  4. Panaskan 2 cmb minyak masak. Tumiskan bawang dan bawang putih sehingga wangi.
  5. Masukkan cili boh dan segala jenis sos. Kacau sebentar.
  6. Tuangkan air rebusan dan perasakan dengan garam, gula dan jus limau apabila mendidih.
  7. Tutup api. Pecahkan telur dan kacau dengan laju sehingga pekat. 
  8. Tuangkan keatas ikan goreng tadi, hias dan hidangkan.

Tip Masakan Komersial

  1. Di restoran thai, mereka menggunakan hanya sedikit cili boh dan digantikan dengan thai chilli paste. Suatu ketika dahulu, thai cilli paste ini hanya dikeluarkan di Thailand tanpa label yang boleh saya fahami. Logo halal, jauh sekali. Kini sudah ada thai chilli paste keluaran Malaysia yang halal tapi mahal. Thai chilli paste ini digunakan untuk membuat tomyam, paprik dan kebanyakkan masakan thai. Kandungan thai chilli paste ini antaranya cili boh, bawang dan asam jawa.
  2. Telur dalam resepi ini adalah sebagai agen pemekat. Sebelum telur dimasukkan, dadar dahulu untuk mencampurkan kuning dan putihnya. Kuah mestilah mendidih kuat sebelum ditutup api dan dimasukkan telur.