Sewaktu menyesatkan diri ke Kuantan, saya sekeluarga tak melepaskan peluang menikmati masakan popular disana iaitu Ikan Patin Masak Tempoyak. Saya pun tak sangka anak saya boleh menggemari masakan ini. Sebelum ni pun bukan tak pernah saya memasak patin tempoyak tapi tak de la dia suka sampai macam tu sekali. Cuma dah lama saya tak makan ikan patin sejak isu PABIN beberapa tahun lepas. Rasa kembang pulak tekak ni.

Biasa la anak saya ni. Bila dah tengok harga Ikan Patin Masak Tempoyak barulah nak rasa masakan tu sedap. Dulu masa kecil, durian pun dia tak suka. Bila pokok durian atuknya di kampung merajuk, tak nak berbuah lebat, terpaksa bersaing dengan tupai-tupai ditambah pula harga durian yang mula tak masuk akal, tiap-tiba durian menjadi kegemaran dia. Sabar je la.



Bahan-bahan Ikan Patin Masak Tempoyak
1 ekor Ikan Patin
3 bj Cili Padi Merah
3 cmb Tempoyak
½ bj Bawang Besar
½ L Air
Sedikit Garam dan Gula
Serbuk Kunyit dan Asam Keping jika perlu




Cara membuat Ikan Patin Masak Tempoyak
  1. Bersihkan, potong ikan patin dan tuskan
  2. Cili padi dan bawang besar ditumbuk halus. 
  3. Apabila semuanya telah halus, tumbuk bersama tempoyak. 
  4. Masukkan bahan tumbuk kedalam periuk bersama air secukupnya.
  5. Perasakan dengan garam dan gula. Kacau sehingga semuanya sebati dan tempoyak tidak berketul.
  6. Masukkan serbuk kunyit dan asam keping jika perlu.
  7. Masukkan ikan patin dan buka api sederhana.
  8. Kacau perlahan-lahan agar ikan tidak pecah sehingga mendidih.
  9. Setelah mendidih selama lebih kurang 5 minit, bolehlah dihidangkan.



Tip Masakan Komersial.
  1. Ada beberapa jenis ikan patin yang sangat berbeza harganya. Semakin sukar ia diperolehi, semakin tinggilah harganya. Biasanya patin yang sukar didapati dikaitkan dengan rasanya yang lebih sedap. Di bandar, memang tak banyak pilihan. Patin yang dijual dibandar kebanyakkannya patin ternak. Harganya jauh lebih murah berbanding patin liar kerana rasanya yang kurang sedap. Bagaimanapun, bile membeli ikan patin di pasar, saya akan memilih ikan patin sangkar berbanding ikan patin kolam. Kalau ada patin liar, tentulah ia menjadi pilihan utama saya. 
  2. Saya pernah menulis artikel mengenai cara membuat tempoyak. Jika anda meneliti artikel saya ini, anda akan dapati saya menggunakan serbuk kunyit untuk tempoyak saya. Jadi untuk resepi ikan patin masak tempoyak ini, saya tak memerlukan serbuk kunyit lagi kecuali jika warnanya tidah cukup cantik lagi. Begitu juga asam keping. Lebih lama tempoyak di simpan, ia akan menjadi lebih masam. Jika tempoyak dah cukup masam, tidak perlu asam keping lagi. Semuanya bergantung kepada selera masing-masing. Bila masak ikan darat, adalah lebih baik jika kuahnya sedikit masam.
  3. Saya suka masakan cara tradisional. Tak perlu menumis tak ada minyak. Masakan lebih sihat. Bila tidak ditumis, saya tak akan menambahkan bawang putih. Saya tak suka rasa bawang putih tanpa ditumis. Ikan patin mengandungi banyak lemak. Tanpa menumis pun, kuah patin tempoyak dan nampak berminyak.
  4. Untuk Ikan Patin Masak Tempoyak, biasanya saya tak menggunakan santan. Saya akan menggunakan lebih banyak tempoyak untuk mendapatkan kuah yang lemak dan pekat. Tempoyak juga perlu ditumbuk supaya kuahnya licin dan halus. Bagaimanapun, lebih banyak tempoyak digunakan, kuah akan menjadi lebih masam. Pastikan anda gunakan semua deria yang ada untuk mendapatkan hasil yang seimbang. Cukup pekat, cukup masam, cukup lemak, cukup rasanya, cukup serba-serbi.
  5. Dari dulu, ciri masakan saya adalah menggunakan bahan yang paling minima. Semakin sedikit bilangan bahan, lebih mencabar. Semakin sedikit kuantiti bahan, kalau dapat menghasilkan hidangan yang lazat baru hebat. Ada orang tu buat nasi goreng, guna ayam lebih banyak dari nasi tapi tetap tak sedap jugak. Tak pasti la nak panggil nasi goreng atau ayam goreng.