Bila cerita ikan air tawar, saya pasti pilih jenis masakan yang masam. Lagi masam lagi bagus. Masak asam rebus seperti ini memang sesuai dengan ikan patin. Bagi yang sedang berdiet, inilah jenis masakan yang baik untuk anda. Tanpa minyak,  santan dan lemak. Berkhasiat dan rendah kalori. Cara memasaknya juga lebih mudah dan tak banyak karenah. Inilah antara masakan kampung yang popular dikalangan warga tua. Kini, anak-anak kita lebih menggemari masak lemak dan masakan berempah yang tinggi kandungan kolesterolnya. Semuanya lebih menggemari ayam berbanding ikan.

Banyak lagi resepi ikan air tawar dalam blog ni. Klik Ikan Jelawat, Ikan Talapia, Ikan Keli dan lain-lain


Bahan-bahan untuk Resepi Ikan Patin Masak Asam Rebus
1 ekor Ikan Patin
½ bj Bawang Besar
1 Ulas Bawang Putih
1 bj Cili Merah
1 inci Halia
1 ketul Kunyit Hidup sebesar kelingking
1 keping Asam Gelugur
1 ½ L Air
1 cmt Garam


Cara memasak Ikan Patin Masak Asam Rebus
  1. Ikan patin dibersihkan dan dipotong selebar 2 atau 3 jari
  2. Bawang besar, bawang putih, halia, kunyit dan cili ditumbuk kasar. Hiris dahulu untuk memudahkan menumbuk.
  3. Masukkan semua bahan kedalam periuk, kacau sedikit.
  4. Nyalakan api kecil dan masak dengan api sederhana selama 10 minit selepas kuah mendidih. Tak perlu di kacau.
  5. Rasa dan tambahkan garam lagi jika perlu.
  6. Hidangkan bersama nasi putih sewaktu masih panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Secara mudahnya, cara masak patin asam rebus hanya masukkan semua bahan sekaligus dan didihkan. Tak perlu dikacau untuk mengelakkan ikan hancur. Kalau ingin menambahkan garam, hanya perlu kacau kuahnya sahaja dan bukan ikan. Jika sebelum ikan masak, masih boleh dikacau lagi. Jika ikan dah masak, isi ikan terlalu lembut dan mudah pecah.
  2. Ramai yang berpendapat, ikan air tawar terlalu hanyir. Anda boleh melakukan apa sahaja kaedah untuk menghilangkan bau hanyir ini agar anak-anak lebih menyukai ikan air tawar. Cuci dengan air asam, tepung, jus limau nipis, garam atau apa sahaja yang mudah bagi anda. Tak dapat hilangkan semua bau, dapat hilangkan sedikitpun jadi la.
  3. Ikan patin mengandungi banyak lemak. Jika anda nampak lemak-lemak ni terutamanya pada ikan patin yang gemuk gedempol tu, anda trim lah sikit. Ini juga membantu mengurangkan bau hanyir ikan tadi.
  4. Saya gemarkan masakan yang masam begini untuk ikan patin. Jika anda tak suka, boleh kurangkan asam. Jika anda rasa kuahnya dah cukup masam, keluarkan asam gelugur tadi. Sedap juga jika menggunakan limau kasturi. Bau limau kasturi yang wangi memang sesuai untuk masakan ini.
  5. Jika anda menggunakan serbuk kunyit, mungkin anda perlu kurangkan sedikit penggunaannya untuk mengelakkan kuahnya menjadi terlalu kuning. Kunyit hidup paling baik kerana warnanya tidak terlalu kuning dan yang penting rasa kunyit tu dapat dikekalkan.
  6. Jika anda gemarkan tempoyak, anda boleh tambahkan tempoyak dalam masak asam rebus ini. Patin tempoyak memang popular. Patin tempoyak yang sedap, tak semestinya pekat. Ada rasa tempoyak sudah cukup. Kurangkan asam jika tempoyak dah cukup masam. Asalkan seimbang garam dan asamnya, masakan anda pasti meletup. Bagaimanapun tempoyak kurang sesuai untuk orang yang ingin mengurangkan berat badan.