Resepi Ikan Pari Asam Pedas
Posted by Norasikin Basri on Wednesday, May 4, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Asam pedas memang sangat sesuai dengan ikan pari. Kali ini saya membuat asam pedas cair je sebab nak cepat sangat. Tak sempat nak kisar cili kering. Guna je apa yang dah ada dalam peti ais. Bukan suatu masalah untuk surirumah yang sibuk untuk menyediakan asam pedas. Sesuai dengan namanya, untuk membuat asam pedas perlu bahan yang masam dan pedas sahaja. Selongkar je la apa yang ada didapur asalkan masam dan pedas maka jadilah asam pedas. Dibawah ni ada resepi yang sangat simple khas untuk surirumah yang sibuk mengalahkan perdana menteri.
300g isi ikan pari dipotong tebal
4 cmb cili kering kisar
1 bj bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3 cmb jus limau nipis/kasturi atau cuka
1/2 cmt garam
1 cmt gula
1L air
1/4 cwn minyak masak
- Bawang besar, bawang putih dan halia dikisar halus dan dicampurkan dengan cili kisar.
- Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan kisar sehingga wangi..
- Masukkan air, biarkan mendidih.
- Perasakan dengan garam, gula dan jus limau. Jika sukakan kuah yang masam, boleh gandakan jus limau.
- Masukkan ikan dan biarkan sehingga masak kira-kira 10 minit sebelum ditutup api dan dihidangkan.
Tip Masakan Berguna
- Untuk membuat asam pedas, itu sahaja la bahan yang penting. Memang terasa sedikit kekurangan apabila tiada herba mengiringi. Sudah pastilah dengan herba seperti bunga kantan dan daun kesum, masakan asam pedas menjadi lebih menyelerakan kerana baunya yang wangi dan rasanya lebih sedap. Walau bagaimanapun jangan jadikan alasan ketiadaan bahan seperti ini menyebabkan anda tidak mahu memasak dirumah. Saya pula mempunyai lebihan serai didalam peti ais, jadi saya campakkan sekali.
- Rasa masakan asam pedas juga lebih unik dan berbeza sekiranya kita menggunakan bahan yang berlainan untuk memberikan rasa masam. Gunalah apa sahaja. Jus limau, cuka, asam gelugur, belimbing, tomato asalkan masam walaupun tak pernah ada orang guna untuk asam pedas, semuanya boleh dicuba.
Bak kata suami saya, kalau tak de asam, tenyeh je ikan tu kat ketiak.Maksudnya tiada alasan yang boleh diterima. Fikir, cari dan masak apa yang boleh. - Tentulah tak lengkap masakan asam pedas tanpa sayur-sayuran. Saya paling suka mencampurkan bendir atau keladi. Campurkanlah apa yang anda suka. Anda yang masak, anda yang makan, sukahati anda la. Ramai usahawan makanan yang pada awalnya ditertawakan semata-mata dia membuat perubahan dalam masakannya.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: resepi ikan pari asam pedas masakan kampung tradisional melayu
blog comments powered by Disqus



