Jangan ingat saya buat blog resepi masakan barat, hari-hari saya makan sedap je dirumah. Walaupun semua masakan yang ada dlam blog ini, saya masak sendiri tapi biasanya saya membuat dalam kuantiti yang kecil. Cukup sekadar melengkapkan penerangan saya dan memberikan kefahaman kepada anda. Gaji saya pun bukan besar sangat. Buat blog ni pun tak dapat apa. Nuffnang pula asyik tidur je sepanjang bulan.

Inilah yang selalunya saya masak untuk makan tengah hari dan malam. Ikan masak kicap yang ringkas, cepat dan menjimatkan. Saya cuba sedaya upaya menjimatkan kos hidangan ini memandangkan harga ikan dah mahal, kicap pun mahal. Harga barang dapur semuanya dah naik. Nak tak nak, resepi masakan perlu diubahsuai supaya lebih jimat sambil mengekalkan keenakkannya. Saya rasa semua dah tau macam mana nak masak ikan cara ini. Bukan resepi yang ingin saya tonjolkan. Saya minta anda fikir bagaimana untuk berjimat dalam masakan. Ini bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan anda malah jika nasib baik anda boleh gunakan sebagai produk di restoran anda.

Bahan-bahan Ikan Masak Kicap
1/2 kg ikan. Sesuai digunakan untuk kebanyakkan jenis ikan seperti kembung, selar, kerisi, cencaru, tenggiri.
1/2 labu bawang besar dihiris
1 inci halia dihiris
2 ulas bawang putih
1 bj lada merah. Saya gunakan cili padi.
1/2 cwn kicap manis
1/2 cwn air
1 cmt serbuk kunyit
1/4 cwn minyak masak untuk menggoreng dan menumis
1 cmb jus limau nipis atau asam jawa
Garam dan gula

Cara memasak Ikan Masak Kicap
  1. Ikan dilumur dengan garam dan serbuk kunyit. Dan digoreng sehingga garing. Ketepikan.
  2. Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia sehingga wangi.
  3. Masukkan lada merah yang dibelah 2 tanpa putus.
  4. Masukkan air dan kicap manis.
  5. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau.
  6. Masukkan ikan yang telah digoreng. Gaul dan hidangkan panas.

Tip Masakan Berguna

  1. Kalau ada rempah tumis kat rumah tu, boleh la ditumis dahulu sebelum menumis bawang. Gunakan 1 inci kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 2 kuntum bunga cengkih dan 1 bj buah pelaga.
  2. Oleh kerana kicap dirumah saya cepat sangat habis, masak lauk apa pun semuanya nak makan dengan kicap, jadi saya tambahkan air dalam masakan. Tapi kena adjust semula rasanya dengan garam dan gula supaya rasanya tetap sama.
  3. Masak lauk mesti kena letak sayur, baru la berkhasiat. Saya tambahkan karet 1/2 batang sebab anak saya suka karet.
  4. Saya gunakan minyak 1/4 cawan sahaja kerana selepas menggoreng ikan, minyak tu boleh digunakan untuk membuat kuah kicapnya pula. Rasa kuah akan lebih sedap dengan minyak gorengan ikan. Bagaimanapun minyak itu tak cukup banyak untuk menggoreng semua ikan sekaligus. Terpaksa la menggoreng 2 atau 3 kali baru habis.