Belimbing buluh sangat serasi dengan masakan ikan berkuah sama ada asam rebus atau masak lemak. Rasanya yang masam akan meneutralkan rasa hanyir ikan jadi masak ikan dengan belimbing buluh banyak digunakan dalam masakan ikan darat. Bagaimanapun, saya tak pernah menghadkan masakan ini. Apa sahaja ikan akan saya gunakan terutamanya ikan yang banyak lemak seperti jelawat, patin, ikan merah, baung dan sebagainya.

Ada orang yang tak suka makan belimbing dalam masakan. Tapi bagi saya inilah yang saya cari. Tak dapat ikan pun tak mengapa asalkan dapat belimbingnya. Jadi jika membuat masakan ini, saya akan letak belimbing buluh 2 kali lebih banyak. Jika letak banyak belimbing, tentu kuahnya terlampau masam, jadi saya ceritakan tipsnya dalam tips masakan komersial. Mari kita belek resepinya dahulu.


Bahan-bahan untuk Ikan Masak Asam Rebus Belimbing Cara Kampung

300g  Ikan

10 bj Belimbing Buluh

¼ bj Bawang Besar

5 bj Cili Api Merah

½ inci Halia

½ inci Kunyit Hidup

1 cmt Garam

1 L Air


Cara Membuat Ikan Masak Asam Rebus Belimbing Cara Kampung

  1. Bersihkan ikan seperti biasa. Boleh gunakan apa-apa petua untuk menghilangkan hanyir jika perlu.
  2. Bahan-bahan lain kecuali belimbing, ditumbuk kasar menggunakan lesung batu.
  3. Belimbing di belah dua setelah dibersihkan.
  4. Masukkan semua bahan kedalam periuk. Hidupkan api.
  5. Biarkan ia mendidih lebih kurang 5 minit dan hidangkan bersama nasi.


Tips Masakan Komersial

  1. Masakan kampung memang mudah, cepat dan yang paling penting, ia menyihatkan. Itulah yang paling saya gemari dengan masakan seperti ini. Tidak perlu ditumis, tak perlu dimasak lama-lama. Tiada syarat keberhasilan. Asalkan seimbang garam dan asamnya, hasilnya pasti sedap.
  2. Satu lagi yang saya suka dengan masakan ini ialah, rasa ikan akan kekal semulajadi. Jika lidah anda peka, anda akan dapat membezakan jenis ikannya dengan hanya merasai kuahnya sahaja. Setiap jenis ikan yang anda gunakan, hasilnya akan berbeza.
  3. Bagaimanapun, kesegaran ikan sangat penting jika memasak resepi cara kampung ini. Sedikit sahaja kekurangan pada kualiti ikan, akan jelas terasa pada kuahnya. Pastikan anda gunakan ikan yang segar sepenuhnya.
  4. Saya menggunakan cili api berbanding cili merah untuk mendapatkan warna kuah yang kuning. Jika menggunakan cili merah, kuahnya akan menjadi merah. Kalau anda gunakan cili merah segar, pastikan cili tidak ditumbuk kasar. Ini dapat mengurangkan warna merah pada kuah ikan.
  5. Menumbuk menggunakan lesung batu jauh berbeza hasilnya berbanding menggunakan blender atau food processor dari segi rasanya. Anda tak akan dapat rasa ikan masak asam rebus yang sebenar tanpa lesung batu. Dengan lesung batu, kuahnya lebih jernih dan rasanya lebih seimbang.
  6. Ikan yang banyak minyak, isinya lebih halus, licin dan berwarna putih. Anda boleh cuba dengan ikan toman atau haruan yang istimewa. Saya tak mampu ikan-ikan mahal ni. Jadi saya guna ikan laut yang murah sahaja.
  7. Jika anda suka makan belimbing buluh seperti saya, anda boleh menambahkan lebih banyak belimbing lagi dalam masakan. Bagaimanapun penggunaan belimbing yang banyak akan menyebabkan kuah ikan terlalu masam. Jadi saya akan merebus dahulu belimbingnya untuk mengurangkan sedikit masam. Buangkan airnya kemudian barulah belimbing dimasak seperti biasa.