Mari bercerita sikit tentang ikan keli ni sebelum belek resepi Ikan Keli Masak Pecel. Ada orang tak suka makan ikan keli. Ada juga yang geli nak makan. Bapa mertua saya juga tak mahu makan ikan keli tapi tak tahu pula sebabnya. Nak kata dia geli, selamba je dia pegang ikan keli hidup. Nak kata dia tak suka, saya rasa semua benda halal dia makan cuma sedap makan banyak, tak sedap makan sikit. Mungkin ada nilai-nilai kesihatan yang menyebabkan dia tak mahu makan. Seperti organ dalaman haiwan yang diceritakan oleh penceramah agama yang menurutnya tidak elok dimakan dan perlu dielakkan.

Bagaimanapun sekarang ni industri penternakan keli sangat berkembang di Malaysia sehingga berlebihan stoknya. Biasanya ikan keli yang sesuai dipasarkan adalah keli yang bersaiz kecil dan keli yang tak dapat dipasarkan akan terus membesar dan akhirnya menjadi lebih sukar untuk dipasarkan. Jadi ikan keli yang bersaiz besar ni akan diproses menjadi produk lain seperti bebola ikan, kek ikan, keropok, serunding dan sebagainya. Kepada yang geli dengan ikan keli, bila dah tahu jenis ikan yang digunakan untuk produk-produk ini, adakah anda akan tetap makan bebola ikan macam biasa? Hehehe


Bahan-bahan untuk Ikan Keli Masak Pecel | Pecel Lele
4 ekor Ikan Keli
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
5 ketul Isi Cekur
½ inci Halia
1 cmb Jus Limau Nipis
½ cwn Santan Pekat
5 bj Cili Api
3 cmb Minyak Masak
Air
½ cmt Garam
½ cmb Gula


Cara membuat Ikan Keli Masal Pecel
  1. Panggang ikan keli sehingga masak supaya minyaknya keluar dan ketepikan. Sebaiknya menggunakan dapur arang. Jika menggunakan dapur gas pun boleh juga cuma perlu dijaga apinya supaya masak lebih rata.
  2. Kisar atau tumbuk bawang besar, bawang putih, isi cekur, halia dan cili api. Jangan lupa buang kulit halia dan cekur dulu. Kalau gunakan pengisar, boleh tambah air.
  3. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar sehingga wangi.
  4. Masukkan santan pekat dan kacau supaya tidak mendadih. Tambah air jika mahukan kuah yang lebih cair.
  5. Perasakan dengan garam, gula dan asam.
  6. Akhir sekali masukkan ikan keli bakar dan gaul perlahan sehingga rata. Boleh juga kalau nak curahkan sahaja kuah keatas ikan keli. Hidangkan panas-panas bersama nasi.


Tip Masakan Berguna
  1. Orang Indonesia memanggil ikan keli dengan nama lele. Pecel lele adalah masakan tradisional jawa yang popular di gerai masakan padang dan Indonesia. Hidangan ini sangat berbeza dengan masak lemak yang biasa kita makan terutama dari segi rasanya dan patut dicuba.
  2. Bagi yang tak pernah menjamah rasa cekur, rasa masakan ini mungkin sedikit pelik. Bagaimanapun setelah beberapa kali makan, kita akan merasai kelazatannya. Cekur adalah tumbuhan yang hidup merayap seperti rumput. Isinya seperti kunyit dan halia tetapi saiznya sangat kecil seperti hujung jari kelingking sahaja. Penat juga membersihkan benda kecil ni.
  3. Memang banyak herba di negara kita yang unik dan istimewa. Selalunya herba begini lebih popular dalam perubatan berbanding kulinari. Tetapi sekarang, isi cekur dah banyak dijual di pasar-pasar basah. Sekarang ni yang susah saya nak jumpa antaranya adalah isi temu. Kalau lengkuas tu memang dah banyak.
  4. Dalam masakan diatas, saya menambahkan sedikit kunyit untuk memberi warna kuning. Tapi, saya rasa resepi asli tanpa kunyit lebih sedap. Saya juga menambah 2 helai daun cekur yang dirampai. Saja je nak menguatkan bau cekur dalam masakan.