Ini adalah contoh masakan yang mudah dan cepat disediakan. Goreng atau gril sahaja bahan utamanya kemudian barulah dicurahkan sos. Contoh masakan thai seperti ini yang popuar adalah masak 3 rasa dan masak masam manis. Dalam masak barat pun banyak hidangan seperti ini cuma sosnya dalam kuantiti sangat sedikit. Kita makan dengan nasi, tentu la syok kalau kuah banyak. Kadang-kadang, saya rasa apa la istimewanya masakan seperti ini. Serupa makan ikan goreng je. Kalau kita, goreng dengan kunyit tapi orang barat lebih suka gril dengan lada sulah. 

Sejak 2 bulan yang lepas, saya kemaruk drama Korea la pulak. Sekarang ni kat Malaysia pun dah ada drama ala-ala Korea. Jom tengok Kisah Chenta #CornettoUdaNDara yang suspens. (Klik) Artikel ni je ambik masa 3 hari nak tulis sebab asyik layan drama k-pop!


Bahan-bahan untuk Ikan Sos Manis Thai
400g Ikan
3 bj Cili Kering
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
1 cmb Sos Tiram
1 cmb Sos Ikan
200ml Air
Garam dan Gula
1L Minyak Masak


Cara membuat Ikan Sos Manis Thai
  1. Ikan perlu digoreng terlebih dahulu. Terpulang kepada anda bagaimana caranya. Boleh menggunakan garam dan serbuk kunyit atau tepung jagung. Sebaiknya digoreng dengan minyak banyak supaya kulitnya lebih garing.
  2. Cili kering direndam dan dikisar sehingga menjadi pes. Bawang besar, bawang putih dan halia dihiris nipis.
  3. Panaskan 3 cmb minyak masak dan tumiskan bahan-bahan yang dihiris. Masukkan sos ikan.
  4. Setelah tumisan wangi dan layu, masukkan pes cili. Goreng hingga garing.
  5. Masukkan air dan sos tiram. Biarkan mendidih.
  6. Perasakan dengan garam dan gula.
  7. Curahkan diatas ikan yang teah digoreng dan hidangkan ketika panas.



Tip Masakan Komersial
  1. Rasa masakan ringkas ini sepenuhnya bergantung kepada kemahiran penggunaan garam dan gula anda. Rasanya tidak pedas malah lebih manis sesuai dengan namanya. Jika anda pernah rasa sos cili thai yang sebenar, anda boleh tiru kemanisannya.
  2. Seperti sos cili thai, sos dalam masakan ini juga mempunyai ciri-ciri yang hampir sama iaitu warnanya merah, jernih dan berkilat serta manis. Kamera saya ni gilo sikit. Keruh je sos manis tu. Kelikatan sos manis diperolehi dari gula. Campuran antara gula dan minyak, menjadikan sos ini berkilat.
  3. Jika anda belek sos cili thai di pasaran, mereka memekatkan sos menggunakan tepung jagung dan cili dikisar menggunakan pengisar. Jadi hasilnya lebih pekat tetapi tidak jernih. Sebaiknya cili dihancurkan menggunakan lesung batu atau mincer sahaja jika menggunakan cili segar. Barulah hasilnya lebih jernih.
  4. Saya tak mengkhususkan ikan yang sesuai digunakan. Anda boleh gunakan segala jenis ikan yang sedap dan garing apabila digoreng seperti siakap, kerapu, kembung dan lain-lain.
  5. Hidangan seperti ini juga sesuai untuk masakan pengantin. Kekalkan resepi ringkas seperti itu tetapi hiaskan dengan sayuran segar berbagai warna.
  6. Masakan Thai kaya dengan penggunaan herba-herba yang wangi. Saya tak menggunakan mana-mana herba agar anda boleh mencuba mana-mana herba yang ada disekitar anda.