Saya rasa macam ada spy memerhatikan saya dari jauh. Hehehhe. Setiap apa yang saya buat, setiap apa yang saya ada dan setiap apa yang saya boleh buat seolah-olah sedang dianalisis. Mungkin orang tu ada dalam salah satu mailling list saya. Jadi, setiap satu ilmu yang saya curahkan dalam blog ini, dia tak akan terlepas dari membacanya. Apa la salahnya menghubungi saya terus jika ingin meminta sesuatu pendapat atau tunjuk ajar. Mana la tau kalau-kalau kita boleh melakukan usahasama. Dapat la untung sikit untuk saya. Lupa lak pasal Ikan Bakar dengan Air Asam. Entri ini sebenarnya khusus untuk anda pelajari teknik keseimbangan garam, gula dan asam dalam masakan. Ini adalah asas yang menentukan kesedapan semua masakan anda. Jadi saya tak ambil berat mengenai ikan kali ini.


Bahan-bahan untuk Resepi Ikan Bakar dengan Air Asam
1 ekor Ikan Cencaru (Besar)
1 cmb Asam Jawa
150ml Air Masak
½ bj Bawang Besar
4 bj Cili Api
1 cmt Gula
¼ cmt Garam


Cara membuat Ikan Bakar dengan Air Asam
  1. Ikan disiang dan dibersihkan. Bakar diatas bara api di kedua-dua permukaan sehingga masak.
  2. Asam jawa diramas bersama air masak dan ditapis. Jika menggunakan asam jawa tanpa biji, lebih kurang 1 hingga 2 cmt sahaja.
  3. Bawang besar dan cili api dihiris nipis. Masukkan kedalam air asam jawa tadi.
  4. Perasakan dengan garam dan gula. Kacau sambil melenyek sedikit bawang besar dan cili api agar jus dan rasanya keluar.
  5. Hidangkan bersama ikan bakar tadi. Sesuai untuk makan tengah hari dan malam bersama nasi.


Tip Masakan Komersial
  1. Ada usahawan yang berjaya dan popular dengan masakan yang mudah dan ringkas begini. Sepatutnya semua orang boleh buat cuma keseimbangan diantara garam, gula dan asam yang membezakan kesedapannya dan ramai yang gagal. Bahan lain semuanya sama walau dimana ia dijual.
  2. Ada kalanya gerai ikan bakar membuat air asam yang sangat pekat. Ini berpunca dari kualiti asam jawa yang tidak begitu masam. Jadi perlu menggunakan lebih asam jawa. Ini bermakna, resepi bukanlah segala-galanya. Resepi diatas berdasarkan bahan-bahan yang ada dirumah saya. Jika asam jawa dirumah anda lebih masam, mungkin anda perlu hanya sedikit sahaja. Apa yang ingin saya sampaikan ialah, anda perlu menyeimbangkan sendiri garam, gula dan asam kerana bahan kita mungkin berbeza. Buat sehingga mendapat rasa yang paling sedap untuk ikan bakar.
  3. Kesegaran ikan tentulah penting. Siapa nak makan ikan yang dah tak segar. Tanpa apa-apa rempah, memang akan ketara jika ikan tak segar. Air asam seperti ini sedap untuk ikan yang sesuai dibakar seperti cencaru, pari, terubuk, kembung dan lain-lain. Pilih ikan yang tak terlalu berminyak dan tidak pula terlalu kering.
  4. Selain ikan, air asam juga sesuai untuk karangan laut dan makanan laut. Karangan laut seperti kerang, kupang, lokan sedap dibakar terus tanpa apa-apa perisa. Hanya panaskan sahaja kuali leper diatas api dan taburkan karangan laut diatasnya. Tunggu sampai kulitnya terbuka terus dihidang bersama air asam.
  5. Saya tiada dapur arang. Takkan nak buat unggun api pulak semata-mata nak bakar ikan seekor. Jadi saya hanya panggang ikan ini diatas api terus dari dapur gas saya. Cara ini sesuai untuk ikan dengan kulit yang tebal seperti cencaru. Jadi tak de la isinya hangus. Untuk ikan bersisik juga sesuai seperti terubuk. Sisiknya akan melindungi isi dari hangus.
  6. Saya tak suka ikan yang terlalu kering. Bila saya bakar, saya akan gunakan api yang sederhana yang tidak menyebabkan ia kering dan tidak juga menyebabkan isinya hangus sebelum bahagian dalamnya masak. Jika bakar dengan api yang kecil, rupanya lebih menarik. Tak de la nampak hangus walaupun keseluruhannya masak. Tetapi isinya akan kering.

Kalau suka ikan bakar yang lebih berperisa, boleh cuba Resepi Ikan Bakar Bazaar Ramadhan. Tambah bunga kantan banyak-banyak. Terangkat oooooo!