Biasanya kalau membeli-belah di hyper market, kami sekeluarga akan ke medan selera dan biasanya hidangan mi akan menjadi pilihan. Tetapi sekarang, kami sangat jarang menikmati mi disana lagi memandangkan kualiti hidangan mereka semakin lama semakin berkurang. Begitu juga dengan kuantitinya. Hanya harga yang semakin bertambah. Itu yang membuatkan saya frust sangat. Kalau dulu banyak jenis sayur yang diguna, kemudian cuma tinggal sawi dan kini sawi dah diganti dengan kobis. Untuk memenuhi selera makan keluarga saya yang besar, saya rajinkan diri untuk membuat sendiri. Bukan susah sangat masakan cina ni. Yang penting mesti ada bawang putih dan kicap. Sekurang-kurangnya bila masak sendiri, boleh juga saya sumbat segala yang ada dalam peti ais tu masuk dalam mi. Puas hati saya!

Bahan-bahan diperlukan
2 keping yee mee kering
2 ulas bawang putih
2 cmb kicap cair
2 cmb sos tiram
1 cmt minyak bijan
100 gram ayam dipotong kecil
3 kuntum cendawan bunga direndam dalam air panas selama 30 minit dan diperah airnya. Hiris 4
3 tangkai sawi
1 cmb tepung jagung dibancuh dengan 100ml air sejuk
2 L air rebusan ayam
Garam dan gula secukup rasa
3 biji cili padi diketuk


Cara-caranya
  1. Tumis bawang putih yang telah dihiris nipis sehingga wangi.
  2. Tuangkan air rebusan ayam, sos tiram, kicap cair, cili padi, cendawan bunga, hirisan ayam, minyak bijan, garam serta gula.
  3. Setelah ayam masak, sewaktu kuah mendidih, tuangkan air bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit dan kacau dengan laju. Berhenti menambah air bancuhan tepung jagung setelah mendapat kepekatan kuah yang dikehendaki.
  4. Masukkan sawi dan biarkan masak sebentar.
  5. Panaskan hotplate dan letakkan yee mee diatasnya.
  6. Tuangkan kuah dan biarkan yee mee kembang. Hidangkan panas-panas

Tip masakan komersial

  1. Jika diteliti dengan betul, perencah penting yang memberikan rasa dalam hotplate yee mee ini hanyalah bawang putih, kicap, sos tiram, cendawan bunga dan minyak bijan. Bahan-bahan ini memberikan bau dan rasa yang kuat yang menjadi ciri-ciri masakan cina khususnya. Bahan-bahan lain hanyalah penambah perisa. Anda boleh masukkan berbagai jenis sayur, daging, makanan laut atau telur mengikut selera. Jika ingin berniaga, bahan diatas sudah mencukupi untuk dijual dengan harga RM4.50 sepinggan.
  2. Saya tidak mempunyai hotplate, jadi saya campurkan sahaja semua bahan dalam satu kuali. Menggunakan hotplate hanya sebagai satu kaedah yang kreatif dalam menarik pelanggan ke gerai. Mi claypot pula lebih popular dengan kuah sup.
  3. Yee mee adalah sejenis mi kering kegemaran masyarakat cina yang biasanya dijual dengan harga sekitar RM2.00 untuk 4 atau 5 keping dalam sebungkus. Saya jarang membeli mi di kedai jadi saya gunakan mi telur yang saya buat sendiri. Boleh dapatkan resepinya dalam entri mi telur sup cara komersial.