Dulu pernah saya ceritakan, saya membeli projector sebagai alat bantuan mengajar. Mudah sikit kerja saya walaupun terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri. Contohnya, sewaktu mengadakan kelas menganyam ketupat percuma penghujung Ramadhan yang lalu, saya hanya perlu pancarkan sahaja video teknik menganyam ketupat. Bila hujung minggu pula, dimasa lapang, saya pancarkan movie pula ke dinding rumah saya. Biasanya kartun untuk anak saya. Dengan movie kualiti bluray, tonton pula skrin besar, memang terasa macam menonton dipanggung wayang. Sambil menonton mesti mengunyah popcorn. Baru ada feel.


Bahan-bahan untuk Resepi Popcorn
2 cmb Jagung Popcorn
1 cmb Mentega/Majerin
3 cmb Minyak Masak
1 cmb Gula Castor


Cara membuat Popcorn
  1. Panaskan mentega dan minyak masak dalam periuk yang besar dengan api sederhana.
  2. Setelah semua mentega cair, masukkan jagung popcorn.
  3. Goreng sebentar sahaja kira-kira 10 saat.
  4. Masukkan gula castor dan kacau dengan pantas, terus tutup periuk.
  5. Besarkan api maksimum dan jagung akan meletup dalam beberapa saat sahaja.
  6. Goncang-goncangkan periuk supaya semua jagung dapat meletup dengan sempurna.
  7. Matikan api apabila letupan mula berkurangan tetapi biarkan jagung terus meletup diatas dapur. Biasanya dalan 15 saat semua jagung sudah meletup.
  8. Setelah tiada letupan kedengaran lagi, barulah dihidangkan.


Tip Masakan Berguna
  1. Resepi diatas bukanlah resepi komersial kerana ia hanya untuk kegunaan surirumah yang teringin memakan popcorn dengan menggunakan peralatan biasa yang terdapat didapur.
  2. Jagung popcorn berbentuk lebih bulat dan kecil berbanding jagung biasa. Ia dijual kering di kebanyakkan pasaraya dan kedai barangan bakeri. Saya membeli di Giant je.
  3. Setelah jagung meletup, saiznya meningkat berkali-kali ganda. Tengok sahaja gambar popcorn saya tu. 2 cmb je tapi setelah menjadi popcorn, periuk inci pun tak muat.
  4. Gunakan periuk yang tebal atau dengan tapak yang tebal supaya habanya lebih rata. Kalau boleh biarlah tutupnya rapat kerana apabila menggunakan api dapur gas, haba hanya tertumpu dari bahagian bawah sahaja. Apabila penutupnya rapat, haba lebih sekata didalam periuk. Saya menggunakan periuk bertangkai supaya mudah menggoncangnya.
  5. Mentega bertujuan untuk memberikan rasa dan bau wangi pada popcorn. Minyak masak pula untuk mengelakkan mentega dan gula hangit. Tak payah cerita pasal gula la. Kalau tak manis, tak de sesiapa nak makan pulak tapi gunakan gula castor supaya lebih cepat cair. Garam tak perlu lagi bila mentega dah masin.
  6. Untuk yang banyak penyakit tu, tak payah la gunakan gula, minyak atau mentega. Campak je jagung tu dalam periuk dan bukak api besar-besar. Tetap meletup juga.
  7. Letak warna untuk lebih menarik. Untuk warna, pandai-pandai sendiri la. Jangan dimasak popcorn berbagai warna dalam satu periuk, sudahlah..