Semuanya bermula beberapa tahun yang lalu dimana saya singgah ke sebuah kedai kek yang popular dengan kek keju di Malaysia. Hati saya tertambat dengan High Fiber Cheesecake yang kelihatannya kosong sahaja tanpa hiasan. Seperti biasa apabila nampak sesuatu yang menarik minat, saya pun pesanlah sepotong. Dari luar nampak seperti berat dan padat tapi mempunyai rasa yang sangat menepati selera saya. Tidak terlalu manis dengan rasa keju yang ketara. Sedikit masam yang menyeimbangkan rasa lemak dan kaya dengan serat.


Sehingga kini, kek ini masih lagi dijual dikedai yang sama menunjukkan ia memang mendapat permintaan yang memuaskan. Cuma harganya hampir sekali ganda dari dulu. Kalau dah RM10 sepotong, lebih baik saya buat sendiri. Dapat juga saya berkongsi dengan kawan-kawan. 



Bahan-bahan untuk High-Fiber Cheesecake
250g Cream Cheese
60g Gula Castor
100ml Non-dairy Whipping Cream
1 cmt Lemon Paste
2 bj Telur C asingkan putih dan kuningnya.
15g Tepung Jagung
100g Rolled Oat
100g Biskut Coklat
50g Mentega



Cara Membuat High-Fiber Cheesecake
  1. Kisar biskut coklat bersama mentega sehingga bersatu. Tekankan pada dasar acuan sehingga rata. Ketepikan.
  2. Panaskan ketuhar 170˚C dengan turbo fan.
  3. Dadu kecil cream cheese dan pukul hingga kembang dengan kelajuan paling tinggi.
  4. Masukkan lemon paste dan pukul sebati dan kemudian baru dimasukkan whipping cream. Pukul Lagi hingga kembang.
  5. Masukkan telur kuning dan pukul dengan kelajuan sederhana hingga sebati.
  6. Dengan kelajuan paling perlahan, masukkan rolled oat. Pukul sebentar sahaja sekadar untuk sebatikannya. Ketepikan.
  7. Dalam bekas yang lain, pukul putih telur dengan kelajuan sederhana untuk membentuk merang dengan konsistensi medium peak.
  8. Ambil 1/3 adunan cheesecake, masukkan kedalam merang dan kaub balik hingga sebati. Kemudian barulah dimasukkan 1/3 lagi, kaub balik dan 1/3 yang terakhir dikaub balik hingga rata dan sebati.
  9. Tuangkan kedalam acuan yang telah disediakan tadi dan bakar dalam ketuhar secara double boil dengan kipas pada suhu 170˚C selama 45minit hingga 1 jam.
  10. Setelah masak, tutup suis ketuhar dan biarkan kek sebentar didalam oven dengan pintu terbuka. Apabila sejuk sedikit, masukkan dalam peti ais dan biarkan menyejuk 3 atau 4 jam sebelum boleh dipotong.



Tip Masakan Komersial.
  1. Acuan yang paling sesuai digunakan adalah acuan jenis spring form dimana bahagian dasarnya boleh ditanggalkan. Bagaimanapun, jika anda miskin macam saya, boleh gunakan acuan biasa tetapi alaskan dasar dan tepinya dengan aluminium foil. Jangan lupa lenserkan tepinya dengan mentega.
  2. Biasanya saya gunakan apa sahaja jenis biskut yang ada dirumah saya. Untuk resepi ini, saya utamakan biskut coklat. Jadi kalau ada apa-apa biskut yang dah lemau atau hampir tamat tempoh, bolehlah digunakan. Kisar sahaja dan untuk menteganya, anda gaulkan hingga serbuk menjadi lembab dan mudah di tekankan dalam acuan. Kalau berderai, tambahkan mentega lagi.
  3. Apabila mencampurkan adunan kek dengan merang, sentiasa bahagikan kepada 3 peringkat dan masukkan 1/3 adunan kek itu kedalam merang dan bukan merang dimasukkan dalam adunan kek. Ini dapat mengekalkan kegebuan adunan dan merang yang dipukul tak akan sia-sia.
  4. Kalau boleh ingin saya menggunakan mix fiber dalam resepi ini berbanding hanya oat sahaja namun apakan daya. Modal tak mencukupi. Tak de pulak yang sudi mendapatkan ebook Masakan Barat Komersial. Kalau ada, boleh la menambahkan berlebih-lebih sikit resepinya. Mix fiber adalah campuran berbagai jenis bijirin yang kaya dengan fiber seperti gandum, barli, sekoi, rhye, dan sebagainya. Ada juga yang mengandungi buah-buahan terhidrat seperti epal, ceri, anggur dan sebagainya. Lebih banyak jenisnya lebih meriah.
  5. Setelah kek keju ini masak, biasanya bahagian tengahnya masih sangat lembut dan bergoyang-goyang bila digerakkan. Oleh itu, jangan keluarkan dari acuan dahulu. Biarkan ia sejuk untuk set. Kalau setelah masak, bahagian tengahnya telahpun keras, bermakna apabila disejukkan, ia menjadi lebih keras namun rasanya masih sedap. Berhati-hati untuk mengelakkan kek kurang masak dimana apabila telah sejuk, bahagian tengah kek tetap cair.
  6. Kawalan oven paling sukar apabila membuat cheesecake ini kerana kita tak dapat menggunakan lidi yang dicucuk untuk memastikan kek telah masak. Biasanya saya menggunakan pemerhatian sahaja. Biasanya dalam masa 45 minit permukaan atas kek sudahpun menjadi keperangan. Jika 15 minit, kek telahpun perang, kurangkan suhunya atau matikan fungsi fan. Dalam 30 minit permukaan kek akan mula perang. Jika dibiarkan, kek akan kurang masak dan perlu masa membakar lebih lama. Namun apabila masak, kek akan mampat. Oleh itu, jika sudah 30 minit masih lagi belum mula perang, tambahkan suhu.
  7. Jika anda menggunakan ketuhar biasa, tanpa fungsi-fungsi yang boleh dikawal, hanya warna permukaan sahaja yang menjadi panduan sama ada kek sudah masak atau belum. Jangan risau jika kek menjadi perang kerana bahagian dalamnya masih sempurna.