Saya sangat suka masak kicap. Sama ada masak kicap jenis cair atau masak kicap jenis pekat, kedua-duanya saya suka. Dengan rempah atau tanpa rempah juga kedua-duanya saya suka. Dah memang hidup dengan kicap. Orang kata, kicap ni makanan orang miskin. Nampaknya sekarang ni kicap pun dah mahal harganya. Ada yang mencecah RM5 sebotol kecil. Walaupun banyak jenis kicap dipasaran, kicap jenis mahal tetap mengekalkan harganya. Mungkin kerana rasa dan baunya yang kuat menjadikan ia istimewa.

Saya hanya menggunakan kicap berharga sederhana. Tak terlalu murah dan tak terlalu mahal. Kalau jenis murah, memang kurang sedap. Jadi saya pilih yang sedang-sedang sahaja kerana saya akan ubah ia menjadi kicap yang sedap, melalui masakan. Mari lihat contoh Resepi Hati Ayam dan Tauhu Masak Kicap dibawah ini. Lebih kurang sama dengan resepi Daging Masak Kicap dan Ikan Masak Kicap yang pernah saya ceritakan dulu tapi, rasanya dan rupaya memang berlainan. Warnanya je yang sama.


Bahan-bahan untuk Resepi Hati Ayam Masak Kicap dengan Tauhu
4 ketul Hati Ayam
2 Keping Tauhu Keras
½ bj Lobak Merah
½ bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
¼ cwn Kicap Cair
1 cwn Air
2 cmb Sos Cili
1 cmt jus limau nipis/kasturi
Garam dan Gula
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam


Cara membuat Hati Ayam Masak Kicap dengan Tauhu
  1. Panaskan minyak masak lebih kurang 1 cwn untuk menggoreng.
  2. Tauhu didadu sebesar ibu jari. Dan digoreng sehingga kulitnya kekuningan. Angkat dan tuskan.
  3. Gorengkan pula hati ayam yang telah dibersihkan sehingga garing. Angkat dan tuskan.
  4. Keluarkan minyak gorengan dan tinggalkan hanya 3 cmb sahaja
  5. Hiris bawang besar tebal-tebal. Bawang putih dan halia dimayang halus. Tumiskan sehingga wangi.
  6. Masukkan kicap dan biarkan mendidih dan berkaramel.
  7. Masukkan air dan lobak merah. Biarkan mendidih sehingga lobak merah empuk sepenuhnya. Kuah akan mengering dan menjadi sedikit pekat.
  8. Perasakan dengan jus limau, garam dan gula. Masukkan juga sos cili agar kuah menjadi lebih pekat.
  9. Akhir sekali, masukkan hati ayam yang dipotong kecil setelah sejuk sedikit. Masukkan juga tauhu goreng.
  10. Didihkan sebentar lagi dan hidangkan.


Tip Masakan Komersial.
  1. Hati ayam yang saya suka biasanya garing diluar dan lembut didalam. Saya tak suka hati ayam yang terlalu garing dan keras kerana rasanya muak. Perlu minum air yang banyak untuk makan hati ayam begini. Jadi saya akan menggoreng hati ayam tanpa dipotong dengan api yang besar sebentar sahaja dan memotongnya selepas digoreng. Boleh juga menggunakan serbuk kunyit dan garam jika suka.
  2. Sifat tauhu akan menyerap kuahnya kerana strukturnya yang berongga apabila digoreng. Jadi saya akan memotong tauhu dahulu sebelum digoreng. Ini dapat mengelakkan tauhu menyerap kuah terlalu banyak. Jika tauhu digoreng dahulu baru dipotong, isinya tidak kukuh dan akan pecah apa bila digaul.
  3. Saya tak banyak menggunakan bahan dalam masakan kali ini. Kalau ada, memang saya akan masukkan. Bagaimanapun, perlu ada hadnya. Maksud saya, daripada saya masukkan berbagai bahan dalam masakan ini, lebih baik saya gunakan untuk bahan utama untuk masakan lain. Jadi saya hanya tambahkan lobak merah. Tambahkan cili api atau lada merah segar untuk lebih pedas dengan rupa persembahan yang lebih menarik. Belah dua sahaja dah cukup.
  4. Lobak merah dimasak bersama kicap sehingga empuk, akan meyebabkan warnanya kurang menarik bagaimanapun, ia amat menjimatkan masa dan memudahkan kerja. Kalau inginkan warna lobak merah lebih cantik, rebuskan lobak merah secara berasingan dengan air biasa sehingga empuk. Campurkan kedalam masak di akhir prosedur.
  5. Berbeza dengan resepi masak kicap saya sebelum ini adalah dengan kehadiran sos cili. Saya juga tak menggunakan rempah penumis. Sos cili bukan sahaja boleh menjadikan masakan lebih sedap malah, kuahnya akan menjadi lebih pekat. Ini adalah cara yang sedang untuk memekatkan kicap tanpa perlu membancuh tepung jagung. Ramai penjual pisang goreng menggunakan kaedah ini untuk memekatkan kicap pencicahnya. Kalau guna tepung jagung, kicap pencicah perlu dimasak dahulu. Bukan itu sahaja, sos pencicah akan lebih stabil kepekatannya serta tahan lebih lama.
  6. Secara peribadi, saya tak menggalakkan anda untuk makan hati ayam atau apa-apa sahaja organ dalaman haiwan seperti jantung, paru-paru, perut, ginjal dan sebagainnya. Kalau doktor kata ia untuk menambah darah dalam tubuh, lebih baik cari cara lain. Banyak lagi makanan yang kaya zat besi. Apa gunanya banyak darah jika penyakit lain yang timbul. Malah daya ingatan akan terjejas dan menjadi seorang yang pemarah.