Mungkin orang yang mempopularkan hidangan ini bernama Pakcik Hash Brown. Masyarakat barat mengenalinya dengan nama potato pancake. Kalau diterjemahkan jadilah lempeng kentang. Nampaknya nama hash brown lebih popular. Secara asasnya, hash brown adalah kentang semata-mata. Cuma kaedahnya sedikit unik kerana ia menggunakan sifat-sifat kentang yang berkanji untuk menjadikan bentuk dan rasanya lebih menarik. Kaedah ini hampir serupa dengan kaedah cakar ayam cuma cakar. Keropok yang dibuat dari pulut tu saya lupa lak namanya. Orang jawa memanggilnya dengan nama krechek. Kaedah membuatnya juga ada persamaan dengan hash brown kerana pulut melekit setelah masak. Cakap banyak tak guna. Jom tengok apa yang saya maksudkan melalui resepi dibawah ini. Kalau lebih suka kentang goreng, boleh cuba belajar cara membuat kentang goreng rangup dan sejukbeku komersial. Bagi yang suka kat Neelofa pulak, boleh tengok ni (klik)


Bahan-bahan untuk Resepi Hash Brown Patties
500g Kentang
1L Minyak Masak untuk menggoreng.


Cara membuat Hash Brown Patties
  1. Kentang dibuang kulitnya dan dibersihkan.
  2. Parut atau racik kentang kasar-kasar. Lebih baik jika pendek-pendek tetapi lebih mudah diparut panjang.
  3. Panaskan minyak masak dengan api sederhana. Setelah minyak panas, gorengkan kentang yang diparut kasar tadi. Jangan masukkan banyak sekaligus. Cukup sekadar kentang boleh tenggelam bebas.
  4. Kacau sambil menggoreng selama kira-kira 1 hingga 2 minit bergantung kepada saiz parutan.
  5. Tak perlu tunggu sehingga kentang empuk keseluruhannya. Apabila nampak ada kentang yang mula melekat pada sudip, angkat dan tuskan. Kalau boleh lapkan supaya minyak dapat diasingkan sebanyak mungkin.
  6. Gunakan apa-apa acuan untuk membentuk patties. Tekankan kentang yang digoreng tadi menjadi rata setebal 2 hingga 3 cm.
  7. Teruskan menggoreng dan membentuk patties sehingga habis semua kentang.
  8. Sejukkan kentang supaya ia melekat elok dan bentuknya kekal. Boleh disimpan dalam peti ais atau disejukbekukan untuk tahan lebih lama.
  9. Sebelum dihidangkan, goreng semula dalam minyak yang banyak sehingga garing dan kekuningan. Enak dimakan bersama sos cili atau dilapis bersama daging untuk dibuat burger.


Tip Masakan Komersial.
  1. Hanya 2 bahan itu sahaja yang penting untuk di buat hash brown patties. Sangat mudah dan murah. Bagaimanapun, jika anda inginkan rasa yang tersendiri, bolehlah di tambah bawang besar yang didadu atau herba-herba masakan barat. Gaulkan bahan-bahan ini sebelum membentuk patties.
  2. Dalam masakan barat, potato pancake masih menggunakan bahan yang sama. Bezanya, mereka terus menggoreng kentang yang diracik diatas kuali leper dengan sedikit minyak. Cara ini lebih cepat tetapi kebarangkalian kentang untuk berpecah sangat tinggi. Ini menyebabkan bentuknya kurang menarik.
  3. Setelah digoreng, kentang akan mengeluarkan kanji yang menyebabkan ia melekat sesama sendiri. Bagaimanapun, tak semua jenis kentang mendapat hasil yang baik. Pilihlah kentang yang mempunyai kandungan kanji yang tinggi. Gunakan kentang yang segar dimana apabila anda picit, akan terasa kentang itu padat dan keras. Saya hanya menggunakan kentang yang paling murah sahaja. Walaupun masih mendapat bentuk dan kerangupan yang sederhana, namun warnanya kemerahan apabila digoreng untuk kali kedua.
  4. Setelah kentang diracik, ia mengeluarkan sedikit air. Perahlah dahulu sebelum digoreng.Kesannya tak ketara sangat kerana saya menggunakan kaedah menggoreng minyak banyak.
  5. Anda boleh menggunakan kaedah kukus atau menggunakan microwave asalkan dapat mengeluarkan kanji dalam kentang untuk membolehkan ia melekat. Jika menggunakan kaedah merebus pula dikhuatiri kanjinya akan hilang bersama air rebusan.
  6. Hash Brown boleh disejukbekukan sekurang-kurangnya untuk tempoh 6 bulan dengan pembungkusan kedap udara yang bersih. Jadi buatlah stok banyak-banyak untuk sarapan ala barat yang enak.
p/s Cantik betul hash brown dipasaran. Serpihan kentangnya sekata macam dikutil dengan kuku je. Macam mana agaknya mesinnya bekerja?