Dalam bahasa melayu, vegetarian dipanggil apa ye? Yang saya tahu, vegetarian diet adalah pemakanan hanya berasaskan tumbuh-tumbuhan. Vegetarian termasuklah sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin. Bagaimanapun ada vegetarian yang juga menjadikan susu dan produk tenusu sebagai sebahagian dari diet mereka. Ini dipanggil lacto vegetarian diet. Terdapat juga lacto-ovo vegetarian diet yang menambah susu atau telur atau kedua-duanya dalam diet mereka. Apabila mengamalkan vegetarian diet, kita masih boleh mendapatkan semua nutrisi yang diperlukan tubuh tetapi perlu mempelbagaikan menu untuk mendapatkan protin, zat besi, zink dan vitamin B12 yang amat penting.

Pelbagai sebab seseorang itu mengamalkan vegetarian diet antaranya untuk tujuan keselamatan kerana produk seperti ayam dan daging banyak mengandungi hormon atau ubat-ubatan untuk tumbesaran haiwan. Selain itu ramai yang mengamalkan vegetarian diet kerana agama, kepercayaan, budaya, etnik, persekitaran, ekonomi dan paling banyak kerana kesihatan termasuklah kerana nak jaga badan…

Bahan-bahan untuk Grilled Tomato
2 bj Tomato
1 cmb Minyak Zaitun Extra Virgin
1 ulas Bawang Putih
½ bj Bawang Merah
½ cmt Basil Segar
½ cmt Oregano Segar
½ cmt Thyme Segar
Garam dan lada hitam


Cara membuat Grill Tomato

  1. Cincang kasar bawang putih, bawang merah, basil, oregano dan thyme. Gaul sebati.
  2. Tomato dibelah dua dan dikeluarkan bijinya.
  3. Isikan tomato yang dibelah dengan bahan cincang tadi.
  4. Renjiskan dengan minyak zaitun dan taburkan garam dan lada sulah secukup rasa.
  5. Grill diatas bara atau pemanggang elektrik sehingga keperangan dan tomato sedikit kecut. Kedua-dua permukaan perlu di grill.
  6. Hidangkan bersama roti sewaktu panas.


Tip Masakan Berguna

  1. Bagi yang baru berjinak-jinak dengan masakan barat, resepi ini sangat baik untuk dicuba. Untuk resepi ini anda dapat meneliti 3 jenis herba barat iaitu basil, oregano dan thyme. Analisa herba-herba ini terutama bau dan rasanya yang menjadi ciri-ciri masakan barat yang unik. Oleh kerana tiada bahan lain yang kuat rasa dan baunya, jadi anda dapat menilai herba-herba ini dengan lebih baik.
  2. Menggunakan herba kering untuk hidangan ini kurang sesuai kerana fungsi herba dalam resepi ini bukan sahaja untuk rasa dan bau tetapi juga bertindak sebagai sayur-sayuran. Tak mahal pun herba ini. Di Jusco, setiap herba ini berharga lebih kurang RM2 sahaja sepokok. Lengkap dengan pasu dan tanahnya sekali.
  3. Minyak zaitun sangat baik untuk diet. Tak perlu hadkan penggunaan minyak zaitun. Selagi masakan kita tak berlinangan dengan minyak, selagi itu kita boleh menggunakan minyak zaitun. Pelik pulak jadinya kalau tomato terapung atas minyak zaitun. Bagaimanapun tip ini khusus untuk individu yang berkemampuan. Pernah tengok tak orang makan roti cicah minyak zaitun?
  4. Saya tak ada grill jadi hanya menggunakan oven sahaja. Boleh bakar dalam oven dengan fungsi grill dengan suhu rendah selama 1 hingga 1½ jam. Boleh juga menggunakan kuali leper tetapi bahagian bawah tomato yang bulat tu susah pulak nak bakar. Permukaan atasnya memang akan jadi cantik.