Sarapan di negara Eropah termasuk Perancis atau Itali biasanya ringkas dan masa sarapan pendek sahaja. Biasanya hanya secawan kopi atau teh dengan sedikit pastri. Segelas kecil jus buah-buahan juga memadai. Ini kerana mereka makan malam hanya selepas pukul 8 malam dan disana waktu ini sudah dianggap lewat. Berbanding dengan orang Amerika, mereka makan lebih awal jadi apabila paginya mereka akan terlalu lapar dan memerlukansarapan yang lebih banyak. Dari sinilah munculnya perkataan ‘breakfast’. Bagi mereka, masa diantara makan malam dengan sarapan adalah satu tempoh yang panjang tanpa makanan lebih kurang puasa. Oleh kerana masa puasa yang panjang ini, menyebabkan tubuh kita benar-benar memerlukan tenaga dengan cepat. Oleh itu sarapan berkhasiat, seimbang dan mudah dicerna lebih sesuai. Bagi yang nak menguruskan badan, selalunya mereka melupakan sarapan kerana mereka percaya, masa puasa yang lebih panjang boleh membantu membakar kalori lebih banyak.

Bahan-bahan untuk French Toast
4 kpg Roti Sandwich
2 bj Telur
½ cwn Susu Segar
Secubit Garam dan Lada Hitam
Secubit Serbuk Buah Pala (pilihan)

Cara membuat French Toast
  1. Pecahkan telur dalam mangkuk dan gaulkan bersama susu.
  2. Perasakan dengan garam, lada hitam dan buah pala.
  3. Panaskan kuali leper tak melekat. Jika gunakan kuali biasa, sapukan sedikit minyak.
  4. Celupkan sekeping roti dalam adunan telur dan goreng kedua-dua permukaan roti sehingga keperangan.
  5. Angkat dan hidangkan panas-panas bersama sapuan yang sesuai seperti mentega, madu, jem dan cream keju.

Tip Masakan Berguna
  1. Jika kita perhatikan di restoran makanan barat, kita akan dapati sarapan mereka memang ringkas. Cuba le tengok restoran badut, orang tua rambut dan janggut putih atau bandar tua. Selalunya hanya pancake, sandwich, telur dan sebagainya. Peminat masakan barat, boleh la cuba resepi french toast ini dirumah kerana jika makan direstoran dah tentu anda kena ketuk cukup-cukup.
  2. Masyarakat Malaysia lebih gemar makanan berat sebagai sarapan walaupun hampir tengah malam pun mereka masih makan. Nak kata mereka memerlukan tenaga yang banyak, tak juga. Bagaimanapun sarapan seperti mi goreng, nasi lemak dan roti canai tetap menjadi pilihan. Ada juga yang makan nasi campur macam makan tengah hari. Siap ada satay lagi. Apa kata berubah kepada sarapan yang lebih ringkas tapi berkhasiat seperti french toast ini.
  3. Menggunakan susu sebenarnya dapat menambahkan kuantiti disamping berkhasiat dan lazat. Dengan serapan yang baik menjadikan roti lebih berjus. Dengan ini banyak khasiat dapat dipertahankan.