Resepi Fettucini Makanan Laut | Fettuchini Seafood Marinara
Posted by Norasikin Basri on Friday, February 4, 2011
Under: Resepi Masakan Barat
Penting untuk anda tahu, masakan barat amat mementingkan keaslian rasanya. Mereka tidak gemar rasa seperti udang, sotong, ketam dan lain-lain dipengaruhi oleh rasa rempah-rempah termasuk garam dan gula. Tidak hairanlah jika anda mendapati rasa sos untuk fettucini makanan laut ini terlalu hambar, tawar, tak pedas dan kurang perasa untuk lidah orang Malaysia. Oleh itu, kalau nak makan masakan barat, pastikan lidah anda terbiasa dengan ciri-ciri masakan barat. Makan banyak kali baru terasa nikmatnya. Tapi jangan pula sampai kena bercakap pelat omputeh.
1/2 pkt Pasta Fettucini atau secukupnya
2 ulas bawang putih
1/2 bj bawang besar
1 cmb mentega
1/2 L Sos Bechamel (Klik untuk dapatkan resepi Sos Bechamel Istimewa saya)
10 bj cendawan butang
2 bj tomato
250g makanan laut segar (udang, sotong, isi ketam)
Garam dan lada sulah
Cara membuat Fettucini Makanan Laut
- Rebus pasta fettuchini mengikut arahan pada pembungkusnya dan hidang didalam pinggan.
- Bawang besar dan bawang putih dicincang. Tomato didadu. Kalau suka boleh buang kulit dan bijinya) Cendawan butang dihiris nipis. Makanan laut dipotong mengikut citarasa anda.
- Panaskan mentega, tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga layu. Tidak perlu sehingga bertukar warna menjadi perang.
- Masukkan makanan laut dan digaul sebati sehingga makanan laut masak.
- Masukkan tomato dan cendawan butang dan gaul lagi sebentar sahaja.
- Tuangkan sos bechamel, dan perasakan dengan garam dan lada sulah.
- Tuangkan keatas pasta fettucini, hiaskan dan sedia dihidang.
Tip Masakan Komersial
- Memasak makanan laut tidak boleh terlalu lama. Cukup untuk seminit atau 2 minit sahaja bergantung kepada kuantiti makanan laut itu. Makanan laut jika dimasak terlalu lama menyebabkan ia mengecut. Sotong pula kalau dimasak terlalu lama membuatkan isinya menjadi keras dan kenyal.
- Setiap kali menghias masakan barat, gunakanlah sayuran dengan pelbagai warna. Sayuran yang perlu dimasak seperti brokoli, bolehlah dicelur sebentar dan disejukkan dalam air untuk mengekalkan warnanya.
- Bagi yang pernah membaca ebook tulisan saya Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial, anda boleh menggunakan pelbagai sos yang saya ajarkan untuk resepi pasta ini untuk kelainan.
- Cuba juga menggunakan pasta-pasta lain yang banyak dijual dipasaran dengan teknik yang sama. Bezakan pada hiasan dan bahan utamanya untuk menambah menu dalam restoran anda seperti pasta sayur-sayuran, pasta ayam, daging dan sardin dan lain-lain. Kalau boleh buat sesuatu yang tak pernah terfikir oleh orang lain.
In : Resepi Masakan Barat
Tags: fettuchini makanan laut fettuchini seafood marinara masakan barat komersial sebenar asli pasta sos sauce
blog comments powered by Disqus



