Hujung Disember 2012, saya mendapat seorang anak saudara yang baru. Bila dapat berita, terhegeh-hegeh la mengunjungi hospital dengan perasaan tak sabar. Di hospital, terbongkarlah kisah adik ipar saya yang mengidam durian crepe tapi belum kesampaian. Dalam perjalanan pulang pukul 5 petang, saya ceritakan kisah tadi kepada suami kerana saya berhasrat sangat nak beri adik ipar saya rasa durian crepe sebelum waktu melawat tamat pukul 7.30 malam nanti. Suami saya tak pernah rasa pun durian crepe ni. Tengok rupapun tak pernah. Terpaksa la ceritakan secara ringkas apa itu durian crepe. Tak berlengah, sebelum pulang kami mencari sedikit durian yang menjadi bahan utama durian crepe. Gambar dan resepi durian crepe dalam entri ini adalah dari suami saya berdasarkan gambaran yang saya beri kepadanya. Hebat jugak skill yang ditunjukkan walaupun tak pernah tahu apa itu durian crepe dan tanpa merujuk mana-mana resepi. Sejam lebih sikit dah sampai semula ke hospital bersama Durian Crepe. Resepi ini juga dicipta agar sesuai dimakan untuk ibu yang baru bersalin. Dalam pantang, boleh makan durian tak?


Bahan-bahan untuk Durian Crepe
50g Tepung Gandum
15g Gula Pasir
10g Tepung Ubi Kayu
80g Susu Cair
120g Air
1 cmb Minyak Masak
¼ cmt Esen Vanilla
50g Whipping Cream Non-Dairy
1 Ulas Durian
2 titik Pewarna Kuning jika perlu
Secubit Garam


Cara Membuat Durian Crepe
  1. Masukkan semua bahan kecuali whipping cream dan durian kedalam blender. Mulakan dengan air dan susu cair dahulu.
  2. Kisarkan sehingga semuanya sebati dan halus. Tapiskan batter supaya buih-buih dapat diasingkan jika perlu.
  3. Panaskan kuali dengan api perlahan. Tuangkan ¼ cwn batter dan golekkan kuali supaya batter tersebar rata.
  4. Setelah permukaan atas kering dan bahagian tepinya lekang dari kuali, barulah diangkat dan disejukkan. Teruskan sehingga semua batter habis.
  5. Untuk intinya, pukul whipping cream sehingga kental. Durian pula diasingkan dari bijinya..
  6. Bentangkan sekeping crepe dengan permukaan yang licin disebelah bawah.
  7. Letakkan 1 cmt whipping cream ditengah-tengah kemudian ½ cmt isi durian diatas whipping cream. Tutupkan isi durian dengan whipping cream lagi.
  8. Lipat crepe membungkus inti tadi kiri kanan atas dan bawah. Letakkan dalam cawan kertas dengan bahagian lipatan disebelah bawah membentuk seperti bantal.
  9. Sejukkan dalam peti ais dahulu sebelum dihidangkan.


Tip Masakan Komersial.
  1. Resepi crepe ini sangat menarik hati saya kerana bahan yang digunakan sangat minimum. Saya juga berpendapat tak perlu bersusah payah untuk crepe kerana ia hanya berfungsi sebagai sarung sahaja. Cukuplah tepung ubi kayu untuk menjadikan crepe lembut dan kenyal supaya ia mudah dilipat dan tak mudah koyak.
  2. Saya dapati banyak resepi crepe yang menggunakan berbagai jenis tepung seperti tepung jangung, tepung kastard yang sebenarnya tidak menjadikan crepe lebih baik malahan kos yang ditanggung akan bertambah. Untuk rasa crepe, susu cair dah mencukupi dan ia sangat serasi dengan bau vanilla.
  3. 1 cmb minyak masak yang ditambah dalam batter sudah cukup untuk menjadikan crepe mudah ditanggalkan dari kuali. Saya hanya menggunakan kuali melengkung biasa sahaja. Anda boleh menggunakan kuali leper tak melekat jika suka. Jika perlu, boleh sapukan sedikit minyak pada kuali jika kuali anda masih melekat lagi.
  4. Anda boleh tambahkan 1 biji telur dalam batter jika suka. Tak perlu ubahsuai bahan-bahan lain lagi kerana telur akan membeku apabila dipanaskan. Jadi tak perlu risau jika batter kelihatan cair. Bagaimanapun menggunakan telur dalam batter akan menyebabkan batter berbuih dengan banyaknya. Lebih baik tak perlu. Lebih mudah, lebih jimat.
  5. Crepe durian yang sedap bergantung kepada intinya. Jadi gunakanlah durian yang berkualiti tinggi dengan bau dan rasa yang kuat. Ada juga durian crepe yang menggunakan kastard durian. Saya rasa, kaedah ini bertujuan untuk menjimatkan penggunaan durian. Menggunakan isi durian lebih senang dan sedap. Setakat seulas durian sahaja, tak berbaloi untuk dijadikan kastard. Leceh sungguh.
  6. Saya dapati crepe durian yang dijual dipasaran memang tinggi harganya. Faktor utama tentulah kerana harga durian yang tinggi diikuti dengan penggunaan whipping cream. Sebenarnya anda masih boleh berjimat dengan resepi ini. Isi durian dan whipping cream boleh disimpan dalam peti ais sejuk beku. Hanya crepe sahaja yang perlu disediakan pada masa itu. Dengan resepi diatas ini, memang banyak yang dapat anda jimatkan.

p/s : Durian crepe dalam gambar ni kelihatan berfrost sikit sebab saya terpaksa simpan dalam peti ais sejuk beku sebelum ke hospital. Macam ni la jadinya kalau terkejar-kejar. Pala otak pun tak boleh fikir.