Kalau kita perhatikan di negara kita, dah banyak sangat syarikat yang menjual donut sebagai tema restoran mereka. Ada juga yang membuka gerai dan kiost yang semata-mata menjual donut. Mereka bersaing secara sihat untuk menarik hati pelanggan dengan menghidangkan donut yang cantik dengan warna-warna yang menarik. Tidak kurang juga yang memberikan kelainan dengan memberikan pelbagai perisa istimewa dalam hiasan donut mereka.



Bagi saya pula, donut tradisional tetap menjadi pilihan. Donut jenis ini tidak memerlukan pelembut atau apa-apa bahan kimia untuk menjadikannya lembut. Malah saya berani katakan, donut yang saya buat menggunakan resepi ini "dijamin gebu sampai esok." Saya rasakan donut yang saya sediakan sendiri lebih selamat untuk keluarga saya. Tanpa pengawet, tanpa perasa tiruan, tanpa bahan kimia, tanpa pewarna tiruan dan lebih jimat. Resepi donut ini hanya memerlukan teknik untuk menghasilkan donut yang gebu dan lazat. Ingatlah, donut yang menggunakan bahan kimia dan tiruan sebenarnya memberikan hasil yang penuh dengan kepalsuan. Beralihlah kepada donut asli. Lembut dan gebu secara semulajadi. Sedap bukan kerana msg atau perisa tiruan. Tahan lama bukan kerana pengawet.

Bahan-bahan untuk Donut Gebu Tradisional
1kg Tepung gandum
1 pkt Yis segera mauripan (11g)
2 cmb Susu pekat manis
1/2 cmt Garam
1/2 cwn Minyak masak
550g Air bertapis
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam

Cara membuat Donut Gebu Tradisional
  1. Larutkan garam, susu kedalam air. Gunakan air pada suhu bilik sahaja.
  2. Gaulkan yis dan tepung gandum sehingga rata.
  3. Masukkan minyak masak dan gaul ramas sehingga sebati. Kalau boleh sehingga tiada lagi butiran-butiran kasar. Lagi halus adunan, lagi menariklah donut yang terhasil.
  4. Masukkan cecair sekaligus dan gaul dahulu menggunakan kelima-lima hujung jari sehingga tiada lagi air bertakung.
  5. Kemudian barulah diuli sehingga menjadi doh yang sangat lembab dan melekit. Adunan akan melekat di tangan. Jangan risau, kaut adunan yang melekat ditangan menggunakan sudu.
  6. Rehatkan adunan tanpa ditutup selama 15-20 minit. Tak perlu cuci tangan dulu.
  7. Setelah direhatkan, uli semula 2 - 3 minit sehingga tiada lagi adunan yang melekat di tangan dan mangkuk adunan.
  8. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dengan berat 50g setiap satu. Boleh menghasilkan kira-kira 34 biji donut.
  9. Bulatkan setiap adunan tadi menjadi bebola yang licin.
  10. Leperkan sedikit bebola tadi lebih kurang setebal 1 - 1.5 cm dan tebuk lubang ditengahnya mengunakan penutup botol atau alat yang sesuai. Trim sedikit bentuknya supaya bentuknya bulat dan tidak bersegi.
  11. Biarkan donut mengembang di tempat yang tertutup supaya adunan tidak kering lebih kurang 1/2 - 1 jam. Tidak perlu terlalu lama kerana ia akan mengembang lagi apabila digoreng.
  12. Goreng didalam minyak yang banyak dengan api sederhana sehingga kuning keemasan
  13. Tuskan sebelum digaulkan dalam gula castor atau dihias sesuka hati anda sebelum dihidang

Tip Masakan Komersial

  1. Penggunaan air bergantung kepada jenis tepung. Saya biasanya menggunakan tepung yang paling murah seperti blue key, lily atau cempaka.
  2. Lebih baik menguli menggunakan tangan berbanding mesin kerana, mesin menjadikan adunan lebih padat dan berat malah donut akan menjadi liat kerana kita menggunakan tepung pelbagai guna sahaja.
  3. Tak perlu melarutkan yis dalam air suam terlebih dahulu. Apabila yis segera digunakan, proses membiakkan yis hanya membuang masa sahaja.
  4. Proses mengembangkan donut lebih cepat untuk cuaca di negara kita. Kalau di rumah saya, setengan jam sudah mencukupi. Jika donut terlebih kembang, rongga udara didalam donut terlalu besar. Kita juga sukar memegang donut untuk digoreng kerana teksturnya tidak kukuh. Bentuknya juga tidak cantik. Jika kurang kembang pula, donut menjadi berat dan mampat.
  5. Kita boleh menyimpan donut dalam peti sejuk beku dalam jangkamasa yang lama. Hanya perlu menngoreng donut ini sebentar sahaja untuk mematikan yis dan menetapkan bentuknya. Simpan dalam bekas kedap udara atau plastik dengan seal. Selepas dibekukan, perlu defrost dahulu sebelum digoreng.
  6. Untuk simpanan dalam jangka pendek, hanya perlu disimpan dalam bekas bertutup. Donut akan kekal gebu untuk 24 jam.
Banyak lagi tip mengenai donut gebu tradisional berdasarkan soalan yang diajukan kepada saya. Sila klik Artikel Persoalan Donut Gebu Tradisional