Kalau buat donut, anda semua mesti inginkan donut yang lembut dan gebu. Berbanding dengan Donut Gebu Tradisional yang saya paparkan dahulu, Donut Gebu Modern juga tidak kurang hebatnya. Terdapat banyak perbezaan diantara Donut Gebu Tradisional dan Donut Gebu Modern. Donut Gebu Modern menggunakan bahan-bahan yang lebih tinggi harganya. Bagaimanapun konsep  Resepi Masakan Komersial masih di utamakan dimana resepi ini hanya menggunakan bahan-bahan yang betul-betul perlu dan penting sahaja.


Kedua, Donut Gebu Modern sesuai di buat menggunakan mesin pengadun. Nak menggunakan tangan pun boleh juga cuma perlu menggunakan tenaga sedikit atau donut tidak akan segebu seperti yang dikehendaki. Ia juga boleh dicetak menggunakan acuan donut dan akan mengembang bulat dan cantik tanpa bersegi ketika digoreng. Ketiga, tekstur Donut Gebu Modern juga lembut termasuk kulitnya. Jika dibandingkan dengan Donut Gebu Tradisional, kulitnya lebih rangup tetapi dalamnya lembut dan gebu. Rujuk Resepi Donut Gebu Tradisional untuk mengetahui ciri-ciri uniknya. Kedua-dua resepi hebat dan boleh dijadikan donut sejukbeku.


Bahan-bahan untuk Resepi Donut Gebu Modern
300g Tepung Roti
200g Tepung Pelbagai Guna
80g Gula Pasir
20g Susu Tepung
11g Yis Segera Mauripan (1 paket)
1 cmt garam
230ml Air
1 bj Telur A
40g Shortening
1L Minyak Masak untuk menggoreng


Cara membuat Donut Gebu Modern
  1. Masukkan bahan-bahan kering kedalam mixer iaitu tepung roti, tepung pelbagai guna, gula pasir, susu tepung, yis segera dan garam. Gaul sedikit untuk meratakannya.
  2. Tambahkan air dan telur. Uli sebentar lebih kurang 2 minit sehingga menjadi doh.
  3. Masukkan shortening dan uli sehingga lembut, licin dan berkilat. Bergantung kepada kekuatan mixer, biasanya mengambil masa diantara 15 hingga 30 minit.
  4. Uji tahap kekenyalan doh dengan mengambil sedikit doh kemudian ditarik sekeliling doh. Jika boleh ditarik nipis seperti roti canai tanpa koyak, ini bermakna doh sudah sedia. Jika belum, sila uli lagi.
  5. Setelah doh sedia, keluarkan dari mixer dan bulatkan menjadi seketul bebola besar yang licin.
  6. Masukkan bebola doh kedalam mangkuk mixer semula dan tutup untuk mengelakkan dok kering. Biarkan doh mengembar untuk kali pertama. Untuk suhu di Malaysia, setengah jam sudah mencukupi.
  7. Setelah kembang, letakkan doh diatas meja yang ditabur sedikit tepung. Canai doh setebal 1 hingga 2 cm.
  8. Gunakan acuan donut untuk memotong doh menjadi bentuk donut.
  9. Letakkan diatas dulang dan biarkan ia mengembang untuk kali kedua. Seperti tadi, setengah jam sudah mencukupi.
  10. Panaskan minyak masak dengan api sederhana. Gorengkan donut sehingga kekuningan.
  11. Hidangkan dengan salutan kegemaran atau tanpa salutan.


Tip Masakan Komersial
  1. Donut Gebu Modern menggunakan campuran tepung roti dan tepung pelbagai guna untuk mengelakkan ia menjadi terlalu lembut sehingga menyebabkan strukturnya mampat. Selain itu, ia juga dapat menjimatkan kos.
  2. Apabila menggunakan susu tepung, kita memerlukan tambahan gula untuk yis hidup. Jika menggunakan susu pekat manis seperti Donut Gebu Tradisional, kita tak memerlukan gula tambahan lagi. Anda boleh menggunakan mana-mana susu yang anda suka asalkan jumlah cecairnya betul.
  3. Shortening menjadikan donut lebih lembut. Perbezaan ini dapat dirasai dibahagian kulitnya.
  4. Saya tidak menumbuk doh setelah dibiarkan kembang untuk kali pertama kerana saya inginkan rongga udara yang lebih besar untuk donut saya. Jika rongga udara terlalu halus, saya rasakan donut menjadi berat dan perlu dibiarkan kembang untuk kali kedua lebih lama.
  5. Anda boleh membakar donut didalam oven dengan suhu 190˚C selama 12 minit jika mahukan donut yang lebih berkhasiat dengan syarat menggunakan 100% tepung roti. Hasilnya tentulah seperti roti!
  6. Untuk gambar diatas, saya menyalut donut dengan gula castor berperisa. Cuma 3 biji je saya buat semata-mata untuk gambar. Tak elok makan manis-manis. Untuk salutannya, hanya campurkan 1 cmb gula castor dengan ½ cmt serbuk kulit kayu manis.
  7. Memang jauh bezanya kos Donut Gebu Modern dan Donut Gebu Tradisional. Bagaimanapun Donut Gebu Modern tetap berbaloi dan menguntungkan kerana ia dibuat dan dicetak menggunakan peralatan. Saya syorkan donut jenis ini dijual dengan hiasan dan salutan yang menarik, berwarna-warni dan berbagai perasa.
  8. Ketebalan doh yang dicanai sebelum diterap menggunakan acuan doh perlulah sesuai supaya mendapat donut yang bulat tanpa bersegi dan berbucu. Ukur saiz acuan donut anda iaitu jarak diantara bulatan luar dan bulatan dalam. Ketebalan doh yang dicanai yang paling sesuai adalah lebih kurang separuh dari jarak itu.