Kalau tak cuba, macam mana nak tau. Ye tak? Ternyata Donut Gebu Lobak Merah ini tak sesukar mana. Saya dah biasa membuat donut terutama dengan resepi terbaik saya, Donut Gebu Tradisional yang sangat mudah menjadi dan tak banyak ragam. Kadang-kadang saya menambahkan bahan lain seperti kentang, labu atau keledek dan yang sekarbohidrat dengannya. Namun belum pernah lagi menggunakan sayur-sayuran seperti lobak merah.

Memasak adalah aktiviti indoor tanpa modal besar, yang NO 1.
Klik untuk tahu aktiviti NO 2 dan seterusnya.


Nak harapkan bantuan dari orang lain memang tak mungkin la. Orang yang terdekat dengan saya pun tak sudi membantu. Habis semua ilmu saya disedutnya tanpa sedikitpun nak berkongsi ilmu dia dengan saya. Tolong saya mencari ilmu pun tak de. Terasa macam nak jadi orang yang kedekut ilmu pulak. Jadi berpandukan ilmu yang saya ada dan sedikit pemahaman dari resepi-resepi di internet maka inilah Donut Gebu Lobak Merah yang rangup diluar dan lembut didalam. Makan banyak pun tak rasa muak.



Bahan-bahan untuk Donut Gebu Lobak Merah
500g Tepung Gandum Pelbagai Guna
6g Yis Segera
200g Lobak Merah
50g Susu Pekat
1 cmt Baking Powder
150g Air
1 cmt Garam
50g Minyak Masak
Minyak Masak untuk menggoreng



Cara Membuat Donut Gebu Lobak Merah
  1. Bersihkan lobak merah, potong kecil dan kisar dengan air, garam dan susu pekat sehingga halus.
  2. Campurkan tepung gandum dengan yis dan baking powder. Gaul rata.
  3. Masukkan minyak kedalam campuran tepung dan gaul ramas hingga tiada lagi butiran tepung yang kasar.
  4. Buat perigi ditengah dan tuangkan kisaran lobak merah sekaligus.
  5. Gunakan hujung jari untuk mencampurkan tepung dan air kemudian apabila tiada lagi air bertakung barulah diuli dengan tapak tangan sekadar untuk meratakan air dan tepung.
  6. Doh akan menjadi sangat lembut dan melekit. Kaup doh yang melekat di tangan supaya tidak membazir dan rehatkan doh 15 hingga 20 minit untuk tepung menyerap cecair.
  7. Setelah itu, barulah diuli semula dan sepatutnya kali ini dah tak melekit lagi. Anda akan dapat doh yang licin dan lembut. Tak perlu uli lama-lama. 1 minit pun dah mencukupi.
  8. Bahagikan doh kepada 50g sebiji dan bulat-bulatkan. Letak atas dulang dan susun dengan jarak 2 kali saiz doh. Jika takut doh melekat, boleh taburkan sedikit tepung diatas dulang. Habiskan menimbang semua doh.
  9. Setelah habis timbang dan bulatkan doh, ambil doh yang pertama dan leperkan sedikit kemudian tebuk lubang ditengah menggunakan penutup botol minuman ringan. Trim lubangnya supaya licin dan sekata. Letakkan semula ditempat tadi.
  10. Habiskan menebuk lubang dan biarkan donut mengembang pada suhu bilik 27˚C – 32˚C ditempat yang tertutup. Pada suhu begini, donut dah boleh digoreng selepas setengah jam.
  11. Panaskan minyak masak dengan api sederhana dan gorengkan sehingga sedikit keperangan. Jangan goreng terlalu banyak dalam satu-satu masa. Pastikan donut boleh terapung bebas didalam minyak.
  12. Setelah masak, angkat dan tuskan minyak kemudian golek  didalam gula halus atau gula castor. Boleh juga dicampurkan 1 cmt serbuk kulit kayu manis dengan 1 cmb gula castor macam yang saya buat dalam gambar untuk rasa yang lebih seimbang dengan lobak merah.




Tip Masakan Komersial
  1. Saya banyak menerima soalan dank omen berkenaan donut dalam artikel Donut Gebu Tradisional. Banyak panduan yang saya berikan. Oleh kerana resepi Donut Gebu Lobak Merah ini diadaptasi dari Donut Gebu Tradisional, jadi anda boleh gunakan maklumat ini. Sila klik disini. Untuk perbincangan lebih lanjut mengenai Persoalan Donut Gebu Tradisional, sila klik disini.
  2. Dalam Donut Gebu Tradisional, saya tak menggunakan serbuk penaik kerana saya inginkan donut itu lebih asli dan gebu secara semulajadi. Untuk Donut Gebu Lobak Merah, bantuan serbuk penaik diperlukan kerana sifat lobak merah lebih berat dan padat dan apabila dicampurkan dengan tepung, tepung juga menjadi berat. Lagipun saya hanya menggunakan tepung pelbagai guna yang paling murah sahaja. Kalau guna tepung roti, mungkin lain pula ceritanya.
  3. Menggunakan susu pekat manis sebenarnya bertujuan untuk membekalkan gula supaya yis menjadi aktif. Ia juga memberikan rasa lemak kepada donut dan susu memang sesuai dengan lobak merah. Anda boleh menggunakan susu tepung kalau ada tapi jangan lupa menambahkan gula untuk yis. Boleh juga menggunakan gula sahaja tetapi rasanya tentu berbeza.
  4. Jika anda suka donut yang lebih rangup kulitnya, anda boleh menambahkan minyak masak lebih banyak. Bagaimanapun, minyak menyebabkan tekstur dalam donut lebih berderai. Kurang minyak pula menjadikan donut lebih kenyal dan liat. Tentukan bagaimana jenis donut yang anda mahukan. Jangan ikut bulat-bulat resepi saya. Selera saya belum tentu sama dengan selera saya. 
  5. Selalunya saya tak taburkan tepung diatas dulang kerana doh ini jarang sekali melekat dengan dulang. Bagaimanapun jika anda dapati doh melekat sewaktu mahu dilubangkan, maka sebaiknya anda letakkan tepung. Doh juga akan melekat jika terlebih kembang.
  6. Seperti yang saya katakan tadi, biasanya ½ jam sahaja donut dah cukup kembang. Selepas 1 jam, donut mungkin sukar diangkat untuk digoreng kerana adunannya telah menjadi lembut. Tempoh yang baik sepatutnya tidak menyebabkan donut menjadi penyek sewaktu diangkat dan tiada lekuk kesan jari.
  7. 50g untuk satu donut sepatutnya menghasilkan donut yang besar. Jadi donut yang besar memerlukan masa yang lebih lama untuk bahagian dalamnya masak. Jadi pastikan apinya tidak terlalu besar supaya kulitnya tidak hangus sebelum dalamnya masak. Masa yang sesuai sepatutnya lebih kurang 2 minit iaitu 1 minit untuk setiap permukaan.
  8. Apabila menggoreng, saya ada satu teknik yang banyak membantu. Selalunya apabila menggoreng donut, saya akan masukkan donut satu persatu kemudian selepas donut yang ke 5, saya akan terbalikkan  donut yang pertama hingga ke 5. Kemudian barulah saya masukkan donut yang ke 6 hingga ke 10 kalau kuali cukup besar. Kemudian terbalikkan donut yang ke 6 hingga 10. Begitulah seterusnya hingga kuali penuh. Tujuannya supaya sebelah permukaan donut tidak menjadi keras terlebih dahulu sebelum ia mengembang secara maksimum. Apabila digoreng, donut ini akan mengembang lagi. Jika tidak diterbalikkan lebih awal, ia akan mengembang ke bahagian yang masih lembut iaitu bahagian yang belum terkena minyak.