Bila hari raya je mesti ada dodol. Bila dodol je mesti hari raya. Sama seperti ketupat dan lemang, hidangan ini memang tradisi setiap kali hari raya. Kerana kepopularannya, tak hairanlah jika ramai usahwan dodol muncul setiap kali menjelang raya. Harga terkini di bandaraya saya mencecah RM23 sekilogram. Dodol ni berat dan padat. Sekilogram tu cuma sebesar botol setengah liter je. Ada juga dodol komersial yang dijual dalam tiub plastik. Sebesar cerut je dah RM7.50. Fuhh! lagi mahal. Kalau difikir semula memang logik la. Kelapa dah mahal, gula pun semakin mahal. Kaedah memasak sikit punya leceh. Masa memasak tak payah cerita la. Jom buat sendiri. Dapat jimat duit, dapat makan banyak cuma perlu tenaga lebih. Kat bandar pun saya buat dodol juga. Walaupun pakai dapur gas, tanpa aroma asap, kira ok la. Kepuasan buat sendiri memang tak terhingga.


Bahan-bahan untuk Dodol Mahkota Tradisional
500g Tepung Pulut
500g Gula Melaka
250g Gula Pasir
1000g Pati Santan


Cara membuat Dodol Mahkota Tradisional
  1. Pecahkan gula melaka sekecil yang mungkin supaya ia lebih cepat larut.
  2. Campurkan santan dengan tepung pulut. Kacau sampai tidak bergentel. Boleh campurkan air kalau terlalu pekat dan sukar mendapatkan campuran yang halus.
  3. Buka api kecil dan kacau adunan tadi terus menerus supaya ia memekat sedikit demi sedikit dengan sekata.
  4. Setelah sedikit pekat, barulah dimasukkan gula melaka dan gula pasir sambil terus mengacau.
  5. Besarkan api sedikit bila semua gula telah larut dan adunan lebih pekat dari mula-mula tadi sebelum dimasukkan gula.
  6. Teruskan mengacau tanpa henti sehingga dodol betul-betul pekat dan berwarna gelap. Mungkin mengmbil masa diantara tiga hingga empat jam.
  7. Bila dodol dh tak melekat lagi pada kuali dan berminyak, barulah dimatikan apinya.
  8. Bungkuskan atau masukkan dlm bekas yang sesuai setelah sejuk.


Tip Masakan Komersial

  1. Untuk mendapatkan dodol yang lebih gelap, anda boleh menggunakan gula merah yang lebih gelap warnanya. Kalau gula melaka tu, warnanya saya rasa semuanya sama. Tak begitu gelap.
  2. Dipasaran terdapat gula yang rupanya sama seperti gula melaka. Gula ini dinamakan gula masak dan diperbuat dari gula tebu yang dimasak sehingga perang dan pekat kemudian dicetak sama seperti gula melaka. Gula ini lebih murah tetapi berbeza hasilnya dari segi rasa dan tekstur dodol. Jangan tertipu dengan membeli gula masak pada harga gula melaka. Terdapat juga gula melaka campuran nira dan tebu. Yang ini kategori pertengahan.
  3. Penggunaan gula pasir bertujuan untuk memberikan kelikatan pada dodol. Jika menggunakan lebih gula pasir, dodol akan lebih liat dan melekit. Kalau lebih gula melaka pula, dodol lebih rapuh, mudah dipotong dan dicubit.
  4. Ada penggemar dodol yang lebih suka dodol yang lembik dan boleh ditarik panjang. Saya suka yang pekat, kental dan mudah dipotong. Semuanya bergantung kepada berapa lama anda sanggup mengacau dodol. Berapa lamapun yang and pilih, pastikan minyak dari santan keluar dulu baru fikir nak berhenti mengacau atau tidak.
  5. Resepi diatas boleh menghasilkan lebih kurang 2kg dodol. Untuk saudara kita di luar negara tu, bolehlah mencubanya. Bukan susah sangat pun. Sungguh berbaloi bila buat sendiri cuma penat dan perlu masa yang lama je.