Saya tak de la gemar sangat makan benda-benda yang masam ni. Badan saya juga tak membenarkan saya makan sesuatu yang berasid tetapi sekali-sekala kalau kena jeruk-jeruk yang lazat macam jeruk cermai ni okla jugak. Jeruk ni saya buat pun semata-mata untuk blog ini sahaja. Semuanya dah pun saya sedekahkan kepada sesiapa yang menggemarinya. Anda pun boleh membuat jeruk seperti ini dari resepi dan  panduan dibawah. Sekurang-kurangnya anda tahu apa yang anda makan.


Bahan-bahan untuk Resepi Jeruk Cermai
3 kg Buah Cermai
2kg Cuka Makan
2kg Gula Pasir
2L Air
Sedikit pewarna


Cara membuat Jeruk Cermai
  1. Larutkan gula dalam air dan cuka.
  2. Rasa dan ubahsuai kandungan gula dan cuka supaya seimbang.
  3. Warnakan dengan pewarna jika perlu.
  4. Masak larutan gula dan cuka tadi sehingga mendidih.
  5. Sejukkan semalaman atau sehingga betul-betul sejuk.
  6. Bersihkan buah cermai, tuskan dan masukkan dalam balang.
  7. Waktu pagi, tuangkan larutan cuka dan gula tadi kedalam balang sehingga lebih tinggi dari paras buah cermai.
  8. Biarkan buah terendam sehingga malam.
  9. Setiap malam, tapis jeruk tadi dan masak semula air jeruk sehingga mendidih.
  10. Biarkan larutan sejuk semalaman lagi sebelum dituangkan semula dalam balang berisi buah cermai tadi.
  11. Lakukan proses menapis, memasak, menyejukkan dan merendam sekurang-kurangnya 3 malam barulah buah cermai sesuai dimakan.


Tip Masakan Komersial
  1. Cuka makan biasanya dibuat dari asid asetik. Bagaimanapun mungkin juga dibuat dari asid yang lain. Tahap kemasaman asid ini biasanya tidak sama mengikut jenama. Jadi anda perlu merasa air jeruk ini untuk mendapatkan keseimbangan rasa masam dan manisnya.
  2. Saya jarang menambahkan garam dalam jeruk. Bagi saya, rasa masin akan mengganggu rasa manis yang sedap.
  3. Saya memang tidak akan menggunakan pengawet dalam makanan, begitu juga dengan jeruk. Jadi jeruk ini tidak akan bertahan lama bergantung kepada kebersihan. Dalam jeruk komersial, mereka biasanya menambahkan sodium benzoat untuk mengelakkan ia dari berkulat. Jika anda ingin menggunakan pengawet, harap jangan menambahkan lebih dari 0.05%. Sebaiknya jangan letak.
  4. Macam-macam buah yang anda nampak dipasaran sesuai dijadikan jeruk. Antara yang popular adalah mempelam, betik, kedondong dan sebagainya. Rasa buah ni ada yang masam dan ada yang tidak. Jadi jika anda menggunakan buah yang kurang masam seperti betik, anda perlu mengurangkan penggunaan gula dan cuka. Untuk cermai, saya suka lebih kan gula kerana buah cermai sangat masam dan kelat.
  5. Teknik menjeruk bergantung kepada proses resapan dan osmosis. Jadi anda perlu memahami proses-proses ini untuk kejayaan menghasilkan jeruk yang sedap. Jika perlu mengulangi proses menapis, memasak, menyejuk dan merendam, lakukan sahaja. Ia juga bergantung kepada jenis buah yang anda gunakan.