Salai adalah satu proses pengawetan secara tradisional untuk memanjangkan jangka hayat sesuatu produk makanan. Namun, di zaman yang serba mudah ini, menyalai kurang diamalkan kerana produk segar boleh dibeli setiap hari bila-bila masa sahaja. Jika dulu, kita memelihara haiwan sebagai sumber makanan. Setelah disembelih, haiwan yang besar seperti lembu dan kerbau dimakan sedikit demi sedikit. Untuk memastikan ia tahan lebih lama, ia perlu disalai sebelum disimpan. Kini, salai lebih kepada kaedah masakan yang memberikan rasa istimewa dan unik. Contoh hidangan salai yang ingin saya sampaikan hari ini adalah Daging Salai Masak Lemak Cili Api.


Kadang-kadang terbayang-bayang akan keenakkan Daging Salai Masak Lemak Cili Api. Rasanya unik dengan kehadiran smokey flavour dari pada asap. Warna masak lemak cili padi akan menjadi lebih gelap. Tugas menyalai, saya serahkan kepada anak saya. Biar dia rasa keseronokan bermain pondok-pondok sambil belajar sesuatu yang baru.



Bahan-bahan untuk Resepi Daging Salai Masak Lemak Cili Padi
500g Daging Lembu
2 cmt Serbuk Kunyit
1 bj Bawang Besar
10 bj Cili Padi
½ inci Halia
2 ulas Bawang Putih
200ml Santan Pekat
500ml Santan Cair
3 cmt Garam
2 cmb Minyak Masak

Cara membuat Daging Salai Masak Lemak Cili Padi
  1. Daging lembu dibiar dalam ketulan besar 4 atau 5 inci. Lumurkan garam dan kunyit secukupnya.
  2. Salai diatas api kayu yang bertutup. Balik-balikkan sekali setiap setengah jam sehingga cukup kering lebih kurang 3 atau 4 jam.
  3. Setelah daging salai siap, biarkan sejuk.
  4. Tumbuk cili padi, bawang besar, bawang putih dan halia hingga lumat.
  5. Daging dihiris nipis melintang urat lebih kurang 2-3 mm.
  6. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan tumbuk sehingga wangi. 
  7. Masukkan santan cair, serbuk kunyit, daging, asam gelugur dan garam.
  8. Biarkan mendidih 5 hingga 10 minit.
  9. Akhir sekali masukkan santan pekat. Tunggu merenih seketika sebelum dihidangkan.



Tip Masakan Komersial
  1. Kaedah masakan masak lemak cili padi ini adalah yang paling mudah dan ringkas. Masakan tradisional memang mudah. Dengan rasa daging yang kuat, biasanya saya tak menggunakan bawang, bawang putih dan halia. Cukup hanya cili padi, santan dan kunyit. Saya memang biasa memasak dengan bahan yang terhad. Guna apa yang ada. 
  2. Konsep menyalai yang betul adalah memanaskan makanan dengan suhu rendah secara perlahan-lahan. Oleh itu, makanan perlu dijauhkan dari api. Cukup dengan mengalirkan asap sahaja kerana suhu asap sudah cukup memberikan suhu sekitar 80C – 90C.
  3. Keseluruhan nyalaan sebaiknya ditutup untuk memerangkap asap dan haba dari bara. Peralatan menyalai modern sedikit berbeza dengan grill biasa. Grill biasa, makanan diletakkan betul-betul diatas bara untuk mendapatkan suhu yang tinggi melebihi 300C. Manakala peralatan menyalai modern, bara daripada kayu berada ditepi kemudian haba dan asap dialirkan ke makanan yang berada dikiri atau kanan.
  4. Untuk mendapatkan asap yang cukup, saya menggunakan bara daripada kayu getah. Kayu getah memang popular untuk menyalai makanan kerana ia boleh menghasilkan asap yang banyak dengan rasa yang istimewa. Jika menggunakan arang, tidak banyak asap yang terhasil dan rasa smokey flavour yang unik sukar diperolehi. Jika anda menyalai menggunakan arang, pastikan masukkan sedikit kayu kering untuk menghasilkan asap. Jenis kayu akan mempengaruhi rasa salai.
  5. Rumah saya dikampung dikelilingi kebun getah. Sangat mudah mencari kayu kering untuk menyalai. Buat bara diatas tanah sahaja. Salaikan daging diatas redai dan tutup dengan zink. Berkepul-kepul asap keluar. Anak saya memang setia menunggu daging salai. Sanggup pula dia duduk disitu beberapa jam.
  6. Saya biasanya tak menggunakan sebarang bahan perapan untuk menyalai. Cuma kali ini saya menggunakan garam dan kunyit kerana saya nak meratah sedikit di keliling unggun api.