Tiap kali bulan puasa, memang saya sedikit sibuk. Saya rasa semua orang sibuk. Ada yang sibuk mencari duit, ada yang sibuk menyediakan persiapan hari lebaran. Masing-masing terpaksa mengubah jadual kegiatan seharian untuk aktiviti bulan puasa. Sahabat saya sorang ni pulak sibuk dengan bisnes baru dia. Singgah-singgah la tengok apa yang ada kat Galeri Cik Suri JP ni. Bila dah sibuk, habuan perut selalu diketepikan. Sampai masa, pergi bazaar ramadhan. Bagi saya, hidangan cepat, mudah dan ringkas tetap menjadi pilihan macam daging masak kicap ni. Tak perlu apa-apa syarat. Tak perlu bahan istimewa. Bila tak sempat je, masak kicap selalu jadi menunya.


Bahan-bahan untuk Daging Masak Kicap
300g Daging Lembu
½ bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
1 bj Lada Merah
¼ btg Lobak Merah
100ml Kicap Lemak/Manis/Masin
1 inci Kulit Kayu Manis
2 bj Buah Pelaga
2 Kuntum Bunga Cengkih
1 Kuntum Bunga Lawang
1 cmb Jus Limau Nipis
2 cmb Minyak Masak
Garam dan Gula


Cara Membuat Daging Masak Kicap
  1. Daging dipotong nipis dan dibersihkan. Bawang besar dan bawang putih dan halia dihiris nipis. Lada merah dibelah dua. Lobak merah dipotong memanjang.
  2. Panaskan minyak masak dan tumiskan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang sehingga wangi.
  3. Tumiskan juga bawang putih, bawang besar dan halia.
  4. Masukkan daging, goreng sedikit sehingga daging berubah warna.
  5. Masukkan kicap dan lobak merah. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau.
  6. Biarkan mendidih sehingga daging empuk. Jika perlu tambahan air.
  7. Dua tiga minit sebelum diangkat, masukkan cili merah.
  8. Hidangkan bersama nasi putih ketika berbuka atau bersahur.


Tip Masakan Komersial
  1. Apabila memotong daging, pastikan dipotong melawan urat kerana apabila uratnya pendek-pendek, daging lebih lembut dan mudah dikunyah.
  2. Biasanya di restoran, mereka lebih gemar menggunakan kicap pekat kerana ia lebih murah dan hanya sedikit diperlukan. Kuahnya juga mudah menyaluti daging.
  3. Apabila daging dimasak, ia akan mengeluarkan jusnya. Jadi tak perlu menambah air lagi kerana kuahnya akan muncul kemudian. Apalagi apabila menggunakan kicap cair. Bagaimanapun apabila menggunakan daging yang lebih liat, air diperlukan untuk menjadikan daging empuk.
  4. Untuk daging, saya suka menggunakan rempah penumis. Jika ikan masak kicap, jarang sekali saya menggunakan rempah penumis ini.