Saya senyap bukan kerana sibuk shooting rancangan masakan televisyen atau sibuk ditemuramah untuk majalah. Bukan juga kerana bercuti ke Imbak Canyon menenangkan fikiran menerokai alam semulajadi.
Saya senyap kerana saya perlu senyap sebentar. Bulan Syawal pun dah habis. Dah masuk bulan baru pun, ada lagi tetamu datang beraya. Waktu begini, ilmu menghasilkan hidangan pantas, mudah dan ringkas memang sangat perlu. Kos yang menjimatkan juga penting tetapi yang paling penting, tetamu perlu dijamu dahulu dengan seberapa segera. Paling sesuai menyediakan seperti Cupcake Jam Strawberi seperti ini. Tetapi jika bukan kerana inginkan sesuatu yang gebu, dah lama saya buat muffin coklat berganda je.


Bahan-bahan untuk Cupcake Jam Strawberi.
150g Tepung Gandum Pelbagai Guna
115g Mentega/Majerin
140g Gula Pasir Kisar
2 bj Telur
1 ½ cmt Baking Powder
½ cwn Susu Segar / Susu Sejat
1 cmt Esen Vanila
12 cmt Jem Strawberi

Pssstt..  Offer Electric Waffle/Sandwich Maker serta Grill dah dibuka semula untuk 3 hari lagi. Klik disini.


Cara-cara membuat Cupcake Jem Strawberi
  1. Panaskan oven pada suhu 175˚C.
  2. Ayak tepung bersama dengan baking powder.
  3. Pukul dengan kelajuan sederhana laju, gula pasir dan mentega sehingga gebu.
  4. Masukkan telur satu persatu sambil dipukul lagi. Begitu juga dengan esen vanila.
  5. Kurangkan kelajuan menjadi paling perlahan. Masukkan tepung dan susu sedikit demi sedikit secara berselang-seli sehingga habis.
  6. Sudukan adunan ke dalam 12 biji cupcake yang besar. Masukkan jam strawberi ditengah-tengah dan tutup dengan adunan lagi.
  7. Bakar selama 15 hingga 20 minit. Jika menggunakan oven tanpa turbo mungkin mengambil masa sehingga 30 minit. Jika oven besar yang boleh memuatkan melebihi 2 adunan, mungkin hanya memerlukan 10 hingga 15 minit sahaja.
  8. Sejukkan sebentar sebelum dihidang bersama chocolate butter frosting.


Tip Masakan Komersial
  1. Dalam menghasilkan kek berasaskan butter, ramai yang gagal mengenalpasti tempoh yang sesuai untuk memukul adunan. Ia bergantung kepada kelajuan mixer. Lebih laju dan sekata pukulannya, kuranglah masa yang diperlukan. Secara mudahnya, berhenti memukul adunan sebaik sahaja ia mula memutih.
  2. Terkurang memukul, cupcake akan menjadi berat dan padat manakala apabila terlebih pukul, adunan akan naik terlalu tinggi dengan rongga yang besar seterusnya tidak mempunyai struktur yang kuat untuk menampung berat cupcake dan akhirnya turun semula setelah sejuk. Lebih teruk, ia mungkin menjadi lekuk.
  3. Sebelum dimasukkan susu dan tepung gandum, sebaiknya anda teliti dulu konsistensi adunan kerana anda perlu mengekalkan konsistensi seperti ini sehingga habis susu dan tepung gandum dimasukkan. Ini bermakna jika anda memasukkan tepung terlalu banyak pada satu-satu masa, adunan akan menjadi padat dan tiada lagi udara yang dikumpul sewaktu dipukul tadi. Jika terlalu banyak dimasukkan susu pula, adunan akan mendadih kerana minyak dan air tidak bercampur. Semua ini akan mencacatkan kek.
  4. Dengan asas buttercake ini, anda boleh membuat berbagai cupcake yang lain mengikut selera anda. Tambahkan kekacang, buah-buahan kering atau sejukbeku, juga buah-buahan dalam tin dan sebagainya. Petuanya hanya kekalkan konsistensi adunan agar tidak terlalu keras dan tidah terlalu lembut. Selepas ini, anda tak perlu lagi resepi tertentu untuk membuat apa-apa kek dan cupcake.

p/s. Tolong jangan makan panas-panas kerana ia boleh mendatangkan kecederaan yang serius.