Setelah sekian lama membuat kek dan cupcake coklat dalam kategori sangat bercoklat kegemaran kanak-kanak, kini tiba masanya untuk membuat kek untuk diri saya sendiri. Sejenis kek yang lembut dan gebu seperti kek span dengan rasa coklat yang sipi-sipi. Kalau saya nak makan sesuatu yang bercoklat, lebih baik saya makan coklat bar je. Maka terhasillah cupcake coklat tipis khusus untuk penggemar kek tetapi bukan penggemar coklat yang ekstrem. Bagi yang baru nak belajar membezakan yang mana cupcake dan yang mana muffin, anda boleh mencuba resepi ini kerana ia mudah, ringkas, cepat dan sedap.

Bahan-bahan untuk Cupcake Coklat Tipis
2/3 cwn majerin
1 1/2 cwn gula kisar
1 cmt esen vanila
2 bj telur
2 1/2 cmt baking powder
1/2 cmt soda bikarbonat
3 cwn tepung
1 cwn susu cair
1/4 cwn air
50g chip coklat
1 cmb serbuk koko

Cara-cara Membuat Cupcake Coklat Tipis

  1. Campurkan dan ayak bahan kering iaitu tepung, soda bikarbonat, baking powder dan juga tepung.
  2. Pukul majerin dan gula sehingga kembang dengan kelajuan paling tinggi.
  3. Masukkan esen vanila dan telur sebiji demi sebiji sambil terus memukul.
  4. Kurangkan kelajuan kepada yang paling rendah. Masukkan bahan kering sedikit demi sedikit diselang-selikan dengan susu. Kalau gunakan senduk dengan teknik kaup balik lebih baik.
  5. Masukkan adunan cupcake kedalam 24 mangkuk cupcake.
  6. Taburkan sedikit coklat chip sebagai hiasan.
  7. Bakar pada suhu 180C dengan turbo fan atau 200C untuk oven tanpa turbo fan.
  8. Sejukkan diatas redai sebelum dihidang.

Tip Masakan Berguna

  1. Sebenarnya, harga koko sangat mahal sekarang ni. Sewaktu saya mula membuat blog ini, harga koko cuma RM8 sekilogram. Kini harganya melebihi RM20 sekilogram. Namun begitu saya masih lagi mengekalkan harga kek coklat saya terutama kek coklat moist. Mujur resepi komersial dapat menyerap kos-kos bahan yang sentiasa naik. Harap dapat terus mempertahankan harga kek coklat moist yang paling murah ini.
  2. Saya hanya menggunakan majerin sahaja kerana saya telah menggunakan susu. Jika saya gabungkan susu dengan mentega akan menyebabkan rasa susu yang terlalu kuat. Saya kurang menggemari rasa susu yang terlalu kuat kerana ia memuakkan. Adalah lebih bagus jika setiap hidangan yang anda jual tidak memuakkan. Barulah pelanggan boleh makan banyak-banyak tanpa rasa loya. Lagipun mentega jauh lebih mahal berbanding majerin. Jimat dapat, untung pun dapat.