Kalau dibandingkan antara cupcake dengan muffin, sudah tentulah muffin lebih mudah disediakan. Bagaimanapun cupcake lebih lembut dan gebu. Pernahkah anda cuba menyediakan muffin dengan kaedah penyediaan cupcake? Inilah yang telah saya lakukan. Hasilnya adalah seperti gambar-gambar dibawah. Daripada muffin bertukar kepada cupcake yang lembut dan gebu. Boleh cuba melalui resepi dibawah. Pastikan kaedah penyediaan diikuti dengan betul atau cupcake akan menjadi muffin semula.


Bahan-bahan untuk Cupcake Bluberi | Blueberry Cupcake
280g Tepung Kek
6g Baking Powder
80g Mentega
180g Susu Cair
160g Gula Kisar
2 bj  Telur A
200g Blueberry Pie Filling


Cara menyediakan Cupcake Bluberi
  1. Ayak tepung kek dan baking powder. Ketepikan.
  2. Pukul mentega yang disimpan pada suhu bilik bersama gula sehingga kembang dengan kelajuan maksimum.
  3. Kurangkan sedikit kelajuan mixer dan masukan ¼ bahagian susu. Terus memukul.
  4. Masukkan telur satu persatu sambil terus memukul.
  5. Kurangkan kelajuan mixer menjadi perlahan.
  6. Masukkan tepung dan susu berselang- seli sedikit demi sedikit sehingga habis.
  7. Akhir sekali masukkan blueberry pie filling dan kacau sedikit.
  8. Bahagikan samarata kedalam 12 cawan cupcake yang besar.
  9. Bakar 180˚C selama 30 minit atau sehingga masak tanpa fungsi turbo atau kipas.

<Tip Masakan Komersial
  1. Perkara asas dalam menghasilkan kek yang lembut dan gebu adalah pemilihan tepung gandum. Untuk resepi ini, saya menggunakan tepung kek dimana tepung ini lebih halus dan kurang glutennya. Ini membolehkan saya mencampurkan tepung kedalam adunan menggunakan mixer. Jika menggunakan tepung gandum biasa, sudah tentu gluten akan bersimpul dan menghasilkan kek yang keras dan liat. Jika anda menggunakan tepung gandum biasa, gunakan senduk dengan teknik kaup balik sahaja untuk mencampurkan tepung.
  2. Saya memang suka resepi kek yang menggunakan susu. Kebanyakkan resepi kek melayu menggunakan telur yang banyak. Bagi saya, daripada telur lebih baik susu. Hargapun bukan jauh sangat berbeza. Yang penting susu lebih berkhasiat dan banyak pilihan. Kalau rasa susu tu mahal, boleh gunakan susu cair sahaja macam resepi diatas.
  3. Jika memilih blueberry pie filling, gunakan filling yang kasar supaya serat-seratnya dapat mencorakkan cupcake. Anda juga boleh menggunakan buah-buahan segar atau dalam tin menggantikan bluberi. Pilih buah yang boleh dikisar atau dilecek yang mempunyai konsistensi seperti pie filling. Bagaimanapun anda perlu mengubahsuai kandungan gula bergantung kepada jenis buah.
p/s: Sekarang ni musim durian. Sedapnya kalau kek ni menggunakan jem durian. Kat sapa saya nak mintak sedekah durian ni….