Sekali sekala bila nafsu tak dapat ditahan-tahan, saya makan juga udang walaupun tahu makanan laut seperti ini boleh membuatkan saya menggaru sepanjang minggu. Saya ikutkan juga tekak ini dengan membuat cucur udang yang saya suka. Makanan jajaan ini tidak kurang popularnya dan amat menguntungkan jika diniagakan. Memang harga udang sangat mahal terutama yang kasar. Jadi perlu tahu kaedah yang betul agar cucur udang yang dijual mendatangkan keuntungan yang setimpal. Sebelum saya ceritakan bahagian-bahagian yang boleh dijimatkan dalam tip masakan komersial, mari tengok resepi asas ini dahulu. Setelah itu, terpulang kepada anda bagaimana cucur udang yang ingin anda buat. Lebih sedap cucur udang itu, tentu lebih berbagai bahan yang digunakan dan lebih tinggi harga jualannya.


Bahan-bahan untuk Cucur Udang Asas
1 kg Tepung Gandum
11g Yis Segera Mauripan
1100 - 1200g Air
2 cmt Serbuk Kunyit
2 cmt Garam
¼ cwn Minyak Masak
300g Udang bersaiz besar (L)
Sayur-sayuran yang sesuai
Minyak Masak untuk menggoreng tenggelam


Cara-cara membuat Cucur Udang Asas
  1. Gaulkan tepung gandum, serbuk kunyit, garam dan yis dalam satu bekas yang cukup besar.
  2. Masukkan air dan kacau dengan senduk sehingga sebati untuk mendapat adunan yang pekat seperti adunan jemput-jemput.
  3. Tutup bekas adunan dan biarkan adunan mengembang selama satu atau 2 jam pada suhu bilik. Biasanya adunan mengembang lebih dari 2 kali ganda saiz asal.
  4. Sementara itu, potong sayur-sayuran mengikut kesesuaian dan tuskan. Udang dibersihkan juga dituskan.
  5. Setelah kembang, masukkan sayur-sayuran sambil dikacau perlahan. Tuangkan ¼ cwn minyak masak dan kacau lagi sehingga sebati.
  6. Panaskan minyak masak untuk menggoreng tenggelam dengan api sederhana.
  7. Setelah minyak panas, sendukkan sedikit adunan, letakkan seekor udang dan gorengkan.
  8. Goreng seperti biasa dan setelah sedikit perang, bolehlah diangkat dan dituskan. Serasi rasa bersama sos cili mudah dan ringkas dari resepi saya.


Tip Masakan Komersial

  1. Ada usahawan tak suka menggunakan yis dan lebih menggemari cucur udang yang leper. Bagi saya pula, yis boleh menjadikan saiz cucur udang lebih besar dan dapat menarik perhatian pembeli. Tetapi cara ini menambah pengunaan minyak masak ketika menggoreng kerana ia sedikit menyerap dalam cucur udang.
  2. Penggunaan minyak masak dalam adunan boleh menjadikan cucur udang lebih lembab dibahagian dalamnya dan permukaan luarnya lebih nipis dan garing. Ia juga menjadikan cucur udang tidak terlalu kenyal. Jika anda dapati cucur udang terlalu berminyak, kurang penggunaan minyak masak dalam adunan.
  3. Sayur-sayuran boleh menjadi penambah kuantiti yang ketara. Gunakan sayur-sayuran yang murah tetapi mempunyai isipadu yang besar seperti tauge, kobis, carrot dan sebagainya. Sayur-sayuran seperti ini boleh meningkatkan saiz dan kuantiti cucur udang sehingga sekali ganda banyaknya. Tetapi berpada-padalah kerana ramai yang tak menggemari sayur-sayuran diluar sana. Sayur-sayuran lain yang menjadi kegemaran anda juga boleh digunakan.
  4. Adunan ini boleh dibiarkan mengembang sehingga separuh hari dalam suhu bilik kerana yis akan terus membiak. Jadi anda boleh membancuh adunan dari pegi dan disimpan sehingga petang. Terlalu lama dibiarkan kembang memjadikan adunan mempunyai rasa masam kerana yis semakin bertambah.
  5. Lebih cantik jika cucur udang digoreng didalam senduk kerana bentuknya dapat ditetapkan dan saiznya boleh dikawal. Gunakan senduk stainless steel kerana ia tidak melekat tetapi pastikan mempunyai pemegang yang tahan panas. Rendamkan dahulu senduk dalam minyak panas. Bila senduk dah panas, tuskan minyak dan masukkan sedikit adunan kedalam senduk. Letakkan udang dan rendam semula senduk dalam minyak panas sehingga cucur udang timbul.
  6. Udang yang siap dibersihkan mestilah dituskan dan kalau boleh lapkan dengan kain atau tisu. Permukaan udang yang kering akan lebih mudah melekat pada adunan dan udang tak mudah tanggal ketika digoreng.
  7. Resepi diatas boleh menghasilkan sehingga 40 biji cucur udang. Melalui kiraan saya, margin keuntungan boleh mencecah sehingga 150% iaitu jumlah yang boleh dikatakan besar. Kawal harga jualan dan keuntungan cucur udang dengan menggunakan udang yang lebih kecil dan menambah kuantiti sayur-sayuran. Gunakan resepi sos cili mudah dan ringkas saya untuk cicahan yang lebih sedap dan menguntungkan.