Chicken soup bolehlah dikategorikan sebagai asas bagi masakan barat memandangkan bahan dan teknik asas yang digunakan sangatlah mudah. Walaubagaimanapun tanpa teknik yang betul, agak sukar untuk menghasilkan sup yang boleh dijadikan produk jualan di gerai atau restoran-restoran masakan barat komersial.

Perkara pertama yang perlu diingat jika menyediakan masakan barat adalah, masyarakat barat gemar masakan dengan perasa asli. Maksudnya jika memasak ayam, mereka mahu rasa ayam yang sebenar yang tidak dipengaruhi oleh rempah-rempah dan pelbagai bahan tambahan. Tak seperti masakan melayu yang terlalu banyak bahan dan rempahnya sehinggakan kita terpaksa tanya "ini ayam ke daging? Kenapa daging ni rasa macam kambing?" Jadi jika membuat masakan barat, jangan letak terlalu banyak bahan. Hanya gunakan rempah dan herba yang paling minimum supaya rasa bahan utama tidak terhalang oleh bahan-bahan lain. Itulah sebabnya kebanyakan masakan barat hanya menggunakan garam dan lada hitam sahaja sebagai bahan perapan. Ciri-ciri masakan barat ini penting untuk membezakan masakan barat dengan masakan-masakan yang lain.

Bahan-bahan asas untuk Cream of Chicken Soup
1 cmt tepung gandum
1 cmt mentega
1/2 L air rebusan ayam
garam dan lada hitam

Cara memasak Cream of Chicken Soup
  1. Panaskan mentega sehingga cair.
  2. Gorengkan tepung gandum dan kacau menggunakan whisk sehingga mendapat tekstur berbentuk pasir.
  3. Masukkan air rebusan dan kacau sehingga sup menjadi pekat dan tidak berketul.
  4. Perasakan dengan garam dan lada hitam.
  5. Boleh dihidangkan bersama roti bawang putih (garlic bread)

Tip Masakan Komersial

  1. Kalau nak jual sup ayam, pastikan ada cebisan ayam didalamnya. Tak la rasa kosong sangat. Boleh masukkan 1 cmb ayam yang dicincang.
  2. Menambah sayur-sayuran boleh menambahkan kesedapan masakan, memberikan warna yang menarik serta lebih berkhasiat. Boleh tambahkan karet cincang, giant celery yang dihiris, leek dan sebagainya.
  3. Tak sah masakan barat tanpa herba barat. Bagi sesiapa yang telah membaca ebook tulisan saya Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial, sudah tentu tahu herba yang digunakan sewaktu membuat stok rebusan ayam. Sewaktu perasakan sup ayam ini, boleh la dimasukkan secubit oregano.
  4. Banyak eksperimen yang anda boleh jalankan untuk menghasilkan sup yang sedap. Banyak herba-herba barat yang boleh dicuba. Saya cadangkan anda pergi ke mana-mana restoran makanan segera yang menghidangkan sup ini dan cuba semangkuk. Sambil-sambil tu belek apa bahan tambahan yang dimasukkan. Kemudian cipta versi anda sendiri. Kebanyakkan sup yang dijual banyak menggunakan kiub pati ayam segera untuk memberikan rasa ayam yang kuat. Anda boleh berbuat demikian jika mahu. Bagi saya, tidak sama sekali kecuali kuib pati ayam itu saya buat sendiri.