Entah kenapa ada orang yang tergila-gilakan coleslaw dari salah sebuah restoran makanan segera popular dunia. Tak tahu apa yang menariknya. Makan sayur memang baik tapi tak de la sampai tahap terlalu taksub. Bagi yang memang tak makan sayur, hidangan macam ni awal-awal lagi dah ditolak tepi. Rasa-rasanya kalu coleslaw ni tak dimasukkan dalam pakej hidangan, mungkin beberapa mangkuk sahaja yang terjual sehari. Saya pun besar kemungkinan tak akan beli kerana hidangan mudah seperti ini sepatutnya dibuat sendiri. Setakat cincang, campur dan makan. Lepas ni, jangan beli lagi. Kalau murah tak pe la jugak. Kobis tu sangat murah. Kalau buat berniaga, memang boleh untung besar.


Bahan-bahan untuk Resepi Coleslaw Mudah dan Ringkas
200g Kobis Bulat.
1 bj Bawang Besar
½ btg Lobak Merah
100 ml Vinaigrette
100g Mayonis
Garam dan lada hitam
Gula jika perlu.

Cara membuat Coleslaw Mudah dan Ringkas
  1. Potong kobis bulat, carrot dan bawang besar kecil-kecil. Boleh dirampai, didadu halus atau dicincang kasar. Boleh gunakan parut untuk mendapatkan potongan halur memanjang yang sekata. Bahagian empulur kobis tak perlulah digunakan.
  2. Gaulkan sayur-sayuran dengan vinaigrette dan mayonis.
  3. Perasakan dengan garam dan lada sulah. Tambah gula untuk seimbangkan rasa masamnya. Gaul rasa semuanya.
  4. Sejukkan sebentar dalam peti ais. Apabila tiba waktu makan, baru keluarkan dan hidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. Saya pernah ceritakan mengenai vinaigrette. Jadi rujuk sahaja resepi vinaigrette atau asas french dressing.
  2. Sayur-sayuran yang digunakan seperti diatas banyak mengandungi air. Oleh itu potong sayur-sayuran itu kecil-kecil tetapi jangan halur kerana ia akan menyebabkan airnya keluar. Ini menjadikan coleslaw terlalu berair.
  3. Sayur-sayuran perlulah segar supaya ia kekal rangup sewaktu digunakan. Menyimpan didalam peti ais boleh menjadikan ia lebih rangup dan kerangupannya tahan lebih lama.
  4. Jenis mayonis menentukan berapa banyak vinaigrette, garam dan gula yang diperlukan. Ada mayonis yang sedikit masam, ada yang kurang manis dan sebagainya. Pengetahuan dalam merasa masakan amat penting untuk mendapatkan rasa yang seimbang. Sebaiknya buat sendiri mayonis anda untuk rasa yang unik dan sesuai dengan semua produk masakan anda.
  5. Saya sangat-sangat berharap agar anda dapat menghidangkan coleslaw di restoran masakan barat anda terutama pembeli-pembeli ebook masakan barat komersial saya. Lihatlah betapa jimatnya dan mudahnya hidangan ini. Hidangan seperti ini berfungsi sebagai penambah kuantiti tanpa menambahkan kos yang tinggi. Pinggan anda akan kelihatan penuh. Pelanggan juga mempunyai lebih pilihan.
  6. Alangkah bagusnya jika anda membuat hidangan ini menggunakan sayur-sayuran yang berbagai warna. Mungkin sayur seperti kobis ungu sedikit mahal tetapi ia menjadikan coleslaw anda lebih cantik dan menyelerakan. Coleslaw anda dapat di variasikan. Kalau anda berani, boleh tambah bahan yang boleh memberikan rasa yangberbeza. Apa kata tambahkan serbuk cili atau rempah kari. Amacam? Ada berani?