Tak seperti masakan timur, masakan barat menggunakan apa sahaja makanan yang mereka gemari sebagai pembuka selera. Pembuka selera bermaksud makanan yang diambil dalam kuantiti kecil sebelum menikmati makanan utama dan ia bertujuan untuk membangkitkan selera. Dalam bahasa inggeris, ia disebut apetizer. Biasanya pembuka selera masyarakat kita terdiri dari sayur-sayuran seperti rojak, pecel, tetapi dalam masakan barat, mereka juga menjadikan protin dan karbohidrat sebagai pembuka selera. Ciri-ciri masakan barat masih sama. Yang penting, bahan yang digunakan mesti segar agar menyerlahkan rasa bahan itu sendiri. Jika udang yang digunakan, mereka mesti mahukan rasa udang. Kalau masakan kita, walaupun menggunakan udang, setelah masak rasa udang tak timbul lagi. Yang ada cuma rasa kari, rasa sambal, rasa tomyam dan sebagainya.


Resepi Cocktail Udang Galah
300g Udang Galah Besar
100g Mayonis
100g Cream Salad
½  cmb Sos Tomato
½ cmb Sos Cili
1 cmb Jus Lemon
1 cmt Worcesterchire Sauce
100g Lettuce
Garam


Cara membuat Cocktail Udang Galah
  1. Udang dibuang kulitnya dan dibersihkan. Tinggalkan ekornya sahaja. Belah belakangnya untuk mengeluarkan kotoran.
  2. Rebus udang galah dalam air mendidih selama 2 minit. Tuskan dan sejukkan.
  3. Didalam bekas yang lain, satukan mayonis, cream salad, sos cili, sos tomato, worcesterchire sauce.
  4. Perasakan dengan garam dan jus lemon. Sejukkan dalam peti ais sehingga diperlukan.
  5. Potong letuce dan susun dalam mangkuk. Susunkan pula udang galah. Tuangkan sos cocktail tadi.
  6. Hiaskan dengan sedikit serbuk paprika dan hirisan lemon sebelum dihidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. Entri kali ini sebenarnya tertumpu kepada contoh sos salad yang boleh anda gunakan dalam perniagaan masakan barat anda. Tolong jangan hanya mengharapkan mayonis sahaja sedangkan anda boleh pelbagaikan rasanya.
  2. Saya tak menggunakan apa-apa herba barat dalam hidangan ini kerana didalam cream salad sudah terdapat beberapa herba yang diperlukan. Tanpa cream salad, anda boleh menambahkan beberapa herba yang wangi dan berperisa seperti thyme, parsley dan sebagainya. Sebaiknya gunakan yang segar.
  3. Sos cili untuk memberikan rasa sedikit pedas dalam salad yang sesuai dengan bahan berasaskan protin yang kita gunakan. Mungkin masyarakat kita memerlukan lebih rasap pedas, jadi anda boleh gunakan Tabasco Sauce. Buat sendiri Tabasco Sauce yang tentunya halal. Nak lagi jimat, buat sendiri mayonis dirumah. Paprika juga memberikan rasa pedas tetapi kali ini, ia digunakan sebagai hiasan yang memberi sedikit warna ceria dalam hidangan.
  4. Untuk memberikan rasa lebih berkrim, boleh tambahkan double cream yang pekat dan lemak. Ada masanya mayonis yang kita gunakan kurang hebat rasanya terutama mayonis yang murah dan kurang popular. Ketika inilah, ilmu mempelbagaikan rasa dengan cara mudah diperlukan. Ada masanya anda memerlukan gula untuk rasa sedikit manis dan saya lebih gemarkan rasa ini.
  5. Beginilah mudahnya menyediakan masakan barat. Apa sahaja boleh digunakan. Bagaimanapun saya harap anda dapat memperbaiki penilaian anda dalam merasa hidangan agar lebih mudah anda seimbangkan rasa masakan terutama garam gula dan asam. Bila anda dah mahir, apa sahaja bahan yang diberi, anda dapat gunakan untuk menghasilkan hidangan yang lazat dan hebat.