Kali pertama saya makan Claypot Yee Mee hampir 20 tahun yang lalu di Pertama Complex Kuala Lumpur. Pada masa tu memang tak ramai yang tahu mengenai masakan ini. Claypot Yee Mee sebenarnya mudah saja namun tak ramai usahawan melayu yang berminat menjualnya. 

Peralatan Dapur Murah Berkualiti

Yee Mee popular dikalangan masyarakat cina jadi, menjual produk ini pasti menguntungkan kerana dapat menarik pelanggan dari kaum cina. Kita sepatutnya sedar, kaum cina mempunyai kuasa membeli yang besar. Dari pemerhatian saya, makanan yang dijual di restoran cina kebanyakkannya lebih mahal dari makanan di restoran melayu. Jika ada melayu yang menjual makanan cina, bukan sahaja dapat menarik pembeli dari melayu malah kaum-kaum yang lain juga dengan syarat, makanan itu mesti memenuhi citarasa mereka. Kalau jual masakan cina, mesti ada citarasa cina, baru pelanggan cina nak datang, betul tak? Claypot Yee Mee jauh berbeza dengan Hotplate Yee Mee. Warna je pun dah berbeza. Boleh baca sendiri Resepi Hotplate Yee Mee


Bahan-bahan untuk Resepi Claypot Yee Mee
1 kpg Yee Mee
500ml Air Stok Rebusan
1 cmt Serbuk Pati Ayam
½ cmt Serbuk Bawang Putih
¼ cmt Serbuk Halia
2 kuntum Bunga Cengkih
1 kpg Cendawan Shitake
1 cmt Minyak Bijan
½ cmt Serbuk Lada Sulah
1 bj Telur
1 Tangkai Sawi atau lain-lain sayuran
Garam dan Gula jika perlu.


Cara membuat Claypot Yee Mee
  1. Sediakan air stok rebusan dengan merenihkan tulang ayam bersama cendawan shitake dan bunga cengkih. Perasakan dengan garam dan gula.
  2. Sawi dibersihkan dan dipotong kemudian dicelur dengan stok rebusan. Ketepikan. Jika menggunakan ayam, daging, udang dan sebagainya bolehlah direbus dan diketepikan juga.
  3. Panaskan mangkuk claypot dan letakkan sekeping yee mee dan air rebusan.
  4. Taburkan serbuk bawang putih, serbuk halia, serbuk pati ayam, serbuk lada sulah dan minyak bijan.
  5. Kacau sebentar apabila mula merenih untuk menggaulkan bahan dan memastikan seluruh yee mee kembang sekata.
  6. Susunkan ayam atau daging yang dihiris nipis, sayuran dan akhir sekali pecahkan sebiji telur.
  7. Tutup mangkuk claypot dan biarkan merenih 10 saat.
  8. Angkat dan terus dihidangkan.


Tip Masakan Komersial.
  1. Paling penting dalam menghasilkan Claypot Yee Mee yang sedap adalah sewaktu menyediakan air rebusan. Sebaiknya disediakan lebih awal sebelum berniaga kerana ini adalah proses paling lama dalam menyediakan Claypot Yee Mee. Jika air rebusan sempurna, penyediaan hidangan yang seterusnya hanya mengambil masa tak sampai 1 minit.
  2. Masakan cina memang ringkas, tak banyak bahan dan senang disediakan. Minyak bijan dan cendawan shitake akan memberikan rasa masakan cina yang sebenar. Tak perlu tumis, tak perlu susah-payah. Rebuskan sahaja semuanya.
  3. Sup ini hanya menggunakan bunga cengkih sahaja. Itulah sahaja rempah yang penting untuk sup ini. Jika anda rasa sup melayu lebih sedap, boleh gunakan mana-mana resepi sup dari masakan melayu yang anda suka. Bagaimanapun, resepi ini menjamin keuntungan maksimum dalam perniagaan tanpa mengabaikan citarasa masakan cina.
  4. Cendawan shitake perlu direndam dengan air panas terlebih dahulu selama sekurang-kurangnya 2 jam. Kemudian barulah diperah airnya dan dihiris nipis-nipis sebelum direbus.
  5. Masakan cina cepat disediakan kerana mereka menggunakan banyak bahan-bahan segera. Bawang putih dan halia pun cuma tinggal tabur je. Bagaimanapun jika anda rasa serbuk-serbuk ini mahal atau susah dicari, boleh gunakancara biasa dengan bawang putih dan halia segar. Cuma perlu pastikan semuanya ditumis dahulu untuk mengeluarkan harumannya.
  6. Banyak bahan-bahan yang selalunya dibazirkan, boleh kita gunakan dalam menghasilkan stok yang sedap. Bahagian-bahagian ayam yang tak digunakan, lembu, kulit udang, tangkai dan akar sayur-sayuran, empulur, biji, kulit dan sebagainya boleh direbus dalam stok. Inilah rahsia masakan usahawan. Tiada bahagian yang dibazirkan. Sebab itulah masakan mereka lebih berperisa. Bayangkan berapa banyak bahan yang mereka gunakan setiap hari, lebihannya semuanya direbus. Inilah salah satu sebab mengapa masakan dirumah tak sesedap masakan yang dibeli. Jangan lupa menapis stok sebelum digunakkan!
  7. Anda boleh gunakan berbagai sayur-sayuran dalam resepi ini. Jika untuk berniaga, pilihkan 1 atau 2 jenis sayuran sahaja. Potong dan susun cantik-cantik, mesti pelanggan tertawan.Tauhu juga boleh digunakan.
  8. Bila berniaga, tak kan nak sediakan satu menu sahaja. Sebenarnya anda boleh pelbagaikan menu hidangan seperti yang cina lakukan. Bezanya hanya bahan yang disusun diatas mi. Kalau yee mee ayam, susunkan ayam sahaja diatas nya. Jika yee mee udang, susunkan 3 atau 4 ekor udang besar diatasnya. Begitu juga jika daging, ketam, vegetarian, tauhu, cendawan dan sebagainya. Untuk ikan, mungkin anda perlu membuang tulangnya terlebih dahulu kemudian digoreng atau dipanggang untuk mengelakkan ikan hancur apabila direbus. Rasanya tak pernah jumpa lagi yee mee dengan ikan macam ni.
  9. Seringkali kita dapati, banyak bahan yang ditabur diatas Claypot Yee Mee. Ini adalah pilihan untuk menyedapkan masakan. Diantaranya adalah, minyak bawang putih, minyak cili, daun bawang, bawang goreng dan sebagainya. Anda boleh buat minyak bawang putih dengan cara menggoreng bawang putih yang dicincang kedalam minyak sehingga kekuningan. Sejukkan dan simpan dalam botol kaca. Untuk minyak cili, hanya perlu menggoreng cili boh dengan minyak yang banyak sehingga garing. Tapiskan minyaknya dan simpan minyak dalam botol. Gunakan ½ atau 1 cmt untuk setiap claypot yee mee yang dipesan.
  10. Kadang-kadang, masyarakat cina gemarkan sup yang lebih berperisa. Anda boleh tambahkan 1 cmt sos tiram dalam stok. Boleh juga menambahkan ikan bilis atau sos ikan dalam stok seperti sup untuk yong tauhu. Apapun yang anda tambahkan, pastikan ia mudah dan sesuai untuk berniaga contohnya Sup Cendawan Tiram.
  11. Menggunakan ayam atau daging yang diperap untuk disusun diatas yee mee pasti lebih sedap dan menarik. Ini terpulang kepada anda. Boleh gunakan ayam panggang, ayam goreng berempah, ayam atau daging stir fry contohnya Resepi Ayam Lada Hitam dan sebagainya. Namun yang pasti, kosnya akan melonjak tinggi malah masa menyediakan juga akan berlipat kali ganda.
  12. Kalau melayu, mesti nak sambal kicap ye tak? Anda sediakan je la. Letak kat tepi counter. Siapa nak pedas, boleh datang ambil. Apa kata sediakan juga cili jeruk…
  13. Yee mee adalah sama dengan mi yang lain dengan bahan utamanya tepung gandum, Istimewanya, yee mee mempunyai warna yang gelap mungkin kerana rempah yang digunakan dan rasanya juga unik. Saya tak pasti bahan apa yang digunakan, mungkin kicap atau seasoning yang biasa kita jumpa. Tak berpeluang nak bertanya kepada yang pakar. Jika ada sesiapa yang tahu, boleh jelaskan dalam kotak komen dibawah atau hubungi saya.