Churro adalah pastry choux yang digoreng dan dikategorikan sebagai snek. Churro terkenal di Spanyol, Perancis, Portugis dan kini berkembang di merata-rata dunia terutama Negara-negara yang pernah dijajah oleh mereka. Memang kebiasaannya penjajah akan menerapkan idealogi mereka kepada bangsa yang dijajah. Mungkin sekarang ni penjajahan bukan lagi secara kekerasan tapi tak bermakna tiada lagi penjajah di zaman sekarang.


Mengambil barang orang secara paksa boleh dikatakan sebagai perompak dimana mangsa boleh mendakwa pelaku. Bagaimanapun mengambil barang orang, dimana mangsa secara terpaksa merelakan pelakuannya bolehlah di kategorikan sebagai penjajah. Dah la nak free. Nak yang berkualiti pulak tu. Lepas tu bagi kat VVIP dengan bangganya. Nak ke dato-dato, tan sri-tan sri tu terima kalau tau anda bagi barang free? Saya lebih rela bagi barang free kat anak-anak yatim daripada bagi kat VVIP tu….



Bahan-bahan Cinnamon Churro
300ml Air
110g Mentega/Marjerin
200g Tepung Gandum
175g Telur
½ cmt Garam
½ cmt Serbuk Kulit Kayu Manis
1 cmb Gula Castor
1L Minyak Masak.



Cara-cara Membuat Cinnamon Churro
  1. Panaskan air dan mentega sehingga mendidih dengan api sederhana. Gunakan periuk atau kuali tak melekat.
  2. Setelah mendidih, kecilkan api, masukkan tepung gandum sekaligus. Berhati-hati, jangan sampai membuak.
  3. Kacau dengan senduk kayu hingga menjadi doh yang lembut berkilat dan tak melekat pada periuk.
  4. Tutup api dan biarkan sejuk. Ratakan pada kuali supaya lebih cepat sejuk.
  5. Dengan menggunakan mixer, pukul, telur, doh yang telah sejuk tadi dan garam sehingga licin dan halus.
  6. Masukkan adunan dalam piping bag. Gunakan nozzle berbentuk bintang.
  7. Panaskan minyak masak dengan api sederhana, diantara 180˚C – 190˚C.
  8. Paipkan adunan terus kedalam minyak panas dan gorengkan sehingga keemasan.
  9. Setelah masak, angkat dan tuskan.
  10. Golekkan kedalam gula castor yang dicampurkan serbuk kayu manis.
  11. Hidangkan segera sewaktu masih garing.



Tip Masakan Komersial.
  1. Ada kemungkinan ketika memasukkan tepung gandum kedalam air mendidih akan menyebabkan ia membuak. Untuk keselamatan, tutup api terlebih dahulu terutamanya jika anda menggunakan periuk yang kecil. Apabila rasa dah selamat, baru dibuka semula apinya.
  2. Setelah dimasukkan tepung, kacau dengan senduk kayu dengan pantas. Kalau anda tak sepantas saya, anda boleh kecilkan api. Pastikan rata dan semua air diserap oleh tepung. Tujuannya supaya tepung masak dengan sempurna.
  3. Doh pastry mesti betul-betul sejuk sebelum boleh dipukul dengan telur. Jika adunan masih panas,, ia akan memasakkan telur. Kalau telur dah masak, tak de maknanya dipukul lagi. Pukul dengan menggunakan k paddle. Kalau gunakan hand mixer, boleh gunakan whisk.
  4. Untuk menggoreng pastri, anda boleh membentuk ia menjadi apa-apa bentuk yang anda suka. Nak gulung, berpintal atau macam pretzel pun ok. Mungkin sedikit sukar untuk memastikan churro betul-betul lurus namun masalah ini dapat diatasi sekiranya anda menggunakan nozzle yang lebih besar.
  5. Churro akan mengembang apabila digoreng. Churro yang cantik mempunyai gelembung-gelembung udara yang nipis dipermukaannya. Ini menunjukkan ia cukup garing. Bagaimanapun kegaringan ini tidak bertahan lama. Perlu dihidangkan serta merta selepas digoreng.
  6. Untuk resepi ini, saya hanya menggunakan topping manis berperisa kulit kayu manis sahaja. Anda boleh menggunakan segala topping yang anda suka. Paling popular adalah coklat. Boleh juga sprinkle dengan manik, kekacang dan sebagainya sekiranya anda menggunakan topping yang melekit. Cubalah royal icing kalau anda sukakan manis melampau. Lebih senang perisakan dengan berbagai jenis esen.
  7. Resepi yang sama boleh digunakan untuk cream puff. Bezanya hanya kaedah memasak iaitu anda perlu paipkan keatas dulang dan dibakar dalam oven. Lain kali kalau rajin, baru saya cerita. 
  8. Secara komersial, mereka lebih gemar menggunakan shortening berbanding mentega atau majerin. Menggunakan shortening lebih stabil dimana bentuknya lebih kekal dan kurang mengecut setelah dimasak. Harganya juga lebih murah. Dari segi rasanya, mentega tentu lebih sedap. Bagaimanapun rasa ini sebenarnya dengan mudah mereka tutup dengan menggunakan topping yang beraneka rasa dan warna.
  9. Dalam gambar diatas, pastri yang bulat tu adalah adunan yang sama tetapi saya masukkan inti keju cheddar didalamnya. Cheese Ball seperti ini memang sedap bagi penggemar keju. Rangup diluar dan cair didalam. Memang terasa nikmatnya.